Pages

Photobucket
Showing posts with label Muhasabah. Show all posts
Showing posts with label Muhasabah. Show all posts

Friday, June 1, 2012

Dakwah Itu Cinta

~ cinta yang mengikat hati-hati ini kepada Pencipta ~ 

"..Allah menjadikan kamu cinta kepada keimanan dan menjadikan keimanan itu indah di dalam hatimu serta menjadikan kamu benci kepada kekafiran, kefasikan, dan kedurhakaan. Mereka itulah orang-orang yang mengikuti jalan yang lurus." 
[Al-Hujurat, 7]

Dakwah itu cinta,
yang bermuarakan cinta kepada Allah swt,
cinta kepada RasulNya,
cinta kepada kaum keluarga, 
cinta kepada masyarakat.

 Dakwah itu cinta,
memastikan setiap hati terasa keindahannya..
menjadikan nurani mudah tersentuh dengan kelembutannya..

bukanlah dakwah jika ia menyakiti jiwa..
hingga akhirnya manusia meminggirkan agama.


Monday, May 14, 2012

Quote 1: Just Believe




Just believe in Allah.
He knew the best, right?
^__^


Saturday, April 21, 2012

Awan, Dengarlah Nasihat Hujan

Awan : Hujan, tolong jangan pergi.

Hujan : Awan, ada waktunya melepaskan itu lebih baik. Aku tidak sanggup melihatmu menanggung beban hanya kerana tidak ingin aku pergi.

 Awan : Tapi aku masih mampu.

Hujan : *senyum* Ya, mungkin kau masih mampu. Tapi sampai bila kau akan mampu bertahan?

Awan : *diam*

Hujan : Aku harus patuh pada Tuhan kita. Dan kau pun harus akur pada Dia. Dia tahu betapa beratnya kau menanggung beban, kerana itu Dia perintahkan aku untuk turun ke bumi membasahi tanah-tanah gersang yang lebih memerlukan aku daripada kau perlukan aku.

Awan : *mahu menangis*

Hujan : Sungguh, kadang-kadang melepaskan itu lebih baik walaupun saat itu terasa begitu berat sekali. Tapi, Allah kan ada? Mengapa mahu bersedih? *sebak menahan perasaan*

Awan : Pergilah kau Hujan. Aku rela demi Tuhanku. Hanya demi Tuhanku. Terima kasih Hujan. Mendengarmu, aku mengenalku.

Hujan : *Allahu Rabbi* Selamat tinggal Awan. Doakan aku bermanfaat untuk mereka yang lain.

Awan : *airmata jatuh tanpa henti*

Hujan pun turun bersama air mata. Sakit. Saat melepaskan. Saat dilepaskan. Tapi Allah lebih tahu segalanya. Perasaan ini hanya sementara. Mungkin Langit tidak akan mengerti akan kesakitan Awan dan Hujan. Langit hanya menyaksikan. Tapi belum tentu Langit itu faham pengorbanan.

Awan, Hujan menghadiahkanmu Pelangi. Kamu lihat, cantik bukan? :)

Subhanallah Alhamdulillah Allahukbar.

Kemanisan selepas kepahitan.
Kesenangan selepas kesusahan.
^___^

sumber: disini


Friday, April 6, 2012

Maaf, Saya Sibuk!!

24 jam yang berharga

Subhanallah, Maha Suci Allah
Tuhan yang menciptakan keindahan untuk kami nikmati agar bertambah keimanan kami kepada-Nya.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah
Tuhan yang memberikan keizinan untuk kami terus hidup di atas muka bumi yang terhampar luas ini.

Allahu Akbar, Allah Maha Besar
Tuhan yang Maha Berkuasa, menurunkan rezeki dan bala agar bertambah tawakkal kami kepada-Nya.

Terima kasih, Ya Allah..

A: Adda, jom gi masjid malam ni. Ustaz Ariff bagi talk..tajuk pun best 'destinasi cinta'.
B: Maaf, saya sibuk sikit malam ni. Awak ajaklah sahabat-sahabat yang lain. Saya kena siapkan report, esok kena hantar. Assignment pun ada 2 yang kena hantar esok. Dan-dan esok jugalah, lecturer nak buat kuiz. Maaf ye, lain kali kita gi sama. 

Realiti sebagai pelajar, kadang-kadang kita berdepan dengan situasi ini. Sibuk dengan lectures. Sibuk dengan assignment. Sibuk nak study. Sibuk nak exam. Sibuk dengan itu. Sibuk dengan ini. Sibuk sangat-sangat. Tapi kalau sibuk yang dijadikan alasan, memang tak ada orang boleh pertikaikan sebabnya ia memang ternyata benar. Maka, tak perlulah nak susah-susah gi dengar ceramah, pergi majlis ilmu...sebabnya pelajar memang sibuk kan? ^^ Itupun kalau benar-benar sibuk (:
 
A: Akim, kau pergi tak usrah esok?
B: Tak gi kot. Aku sibuk la. PSM aku ni tak gerak-gerak lagi ni. Projek tuk bahasa Jerman aku ni pun x sentuh lagi. Ada discussion lagi malam esok. Arghh..tension!!

Ini gaya pelajar tahun akhir. Sibuk dengan projek itu, projek ini. PSM lagi. Logik la kan kalau tak gi usrah sebab sibuk?^^ B-) 
cool Tapi kalau tengok jadual lecture, tahun dua, tiga lagi penuh. Kelas pukul 8 pagi sampai 6 petang. Full tu. Dah la lima enam subjek core. Assignment pun banyak. Kuiz tiap-tiap minggu pun ada.Tapi dulu-dulu pergi je usrah tiap-tiap minggu. Dah jadi aktiviti wajib kot setiap minggu. Bila dah jadi senior ni, boleh la kot nak escape usrah. Mungkin sebab dah tahu semua tu, usrah pun bincang yang sama je. Sebab senior ni ada alasan sibuk, jadi tak perlulah pergi. Kononnya, jadi senior ni sibuk =)
 
A: Awak nak jadi tak ajk Program Dakwah Kampus? Kami tak cukup orang lagi ni..
B: Hmm.. Takpelah, awak tanya orang lain dululah.. ana sibuk dua tiga minggu ni. Test dah nak dekat. Ana nak fokus untuk study..

Masa pegang jawatan dalam persatuan dulu, takde pulak kata sibuk. Siap offer diri lagi nak join segala aktiviti yang u anjurkan. Yelah kan, tu sebab nak dapat merit. Walau sibuk dengan pelajaran tapi kena join jugak aktiviti-aktiviti lain. Tapi sebab program ni mana ada merit, tak join pun takpe. Walhal, 'merit' kat Sana nanti lagi mahal harganya.

Maaf, saya sibuk..
Eh, aku busy la...
Sory, ana sibuk sekarang ni...
Sibuk! Sibuk! Sibuk!...

Kalaulah sibuk itu dijadikan alasan, maka tak ada orang la yang akan pergi usrah, yang nak buat kerja-kerja Islam. Sebab semua boleh bagi alasan sibuk tu. Bila asyik-asyik bagi alasan sibuk, lama-lama sebut je usrah, program ilmu, kerja-kerja dakwah..mulut automatik akan kata sibuk. Padahal takde maknanya sibuk kalau siap boleh goyang kaki lagi, siap boleh gi shopping makan angin.

Ini baru je bergelar pelajar. Belum lagi berkerjaya, berkeluarga. Ada suami/isteri dan anak-anak. Kalau dah bekerja dan berkeluarga, maunya sibuk semedang! Nak fikir usrah, majlis ilmu pun takde masa, lagi-lagi nak buat kerja-kerja untuk Islam. Sibuk la katakan!
 
MAKA, beruntunglah orang yang sentiasa sibuk dengan kerja-kerja Islam, sibuk mengutip bekalan ukhrawi disamping sibuk dengan urusan harian yang sedia ada tapi tak pernah melafazkan kata sibuk itu. Sibuknya bukan alasan tapi dia sentiasa sibukkan dengan amalan. Beruntunglan manusia-manusia yang sentiasa sibuk, sibuk untuk Allah!

Semoga kita semua terutama diri yang menulis ini tidak tergolong dalam golongan manusia yang sibuk beralasan. Biarlah sibuk kita untuk Allah :)
 
 
 

Tuesday, December 13, 2011

Saya Jelous Dengan Awak

Menjelang minggu-minggu terakhir kuliah, kesibukan mula melanda. Sibuk. Memang sibuk dengan kerja-kerja yang belum disiapkan, kerja yang sering ditangguh, report dan assignment yang menanti due date dan tidak kurang juga dengan presentation yang menunggu hari. Menghitung kerja-kerja yang harus dilakukan, terasa tertekan dalam diri. Namun, inilah hakikat kehidupan. Tidak akan lari dari kesibukan. Kerja-kerja duniawi ini tidak akan pernah habis. Tinggal kita sahaja yang harus bijak merancang dan mengatur masa.

Kembali kepada tujuan asal posting kali ini. Bukan ingin membicarakan tentang kehidupan peribadi sebenarnya. Sekadar mengupdate sesuatu di laman maya ini. Posting kali ini adalah yang ke 101^^. Oh, memang saya jarang menulis dan mengupdate laman ini. Dan ini pun sekadar copy paste dari laman facebook. Moga ada manfaatnya.

kita sahabat kan? ^^

Suatu hari Aisyah sedang berbual-bual dengan Shera dibawah rendang pohon yang redup…

Shera: Mesti seronok kan dapat jadi awak?

Aisyah: Kenapa pulak? (sambil membetulkan tudung labuhnya yang sedikit ditiup angin)

Shera: Sebab awak adalah awak dan saya jealous dengan awak.

Aisyah: Boleh saya tahu sebabnya?

Shera: Sebab awak baik semacam...kalau solat awak khusyuk, solat sunat pulak selalu awak lazimi.. baca Al-Quran awak fasih..siang awak nampak gembira, bergelak ketawa, tapi malam saya selalu nampak awak menangis di tikar sejadah. Awak cantik, tapi awak sikit pun tak perasan awak cantik. Awak sangat humble. Muka awak tenang je..lembut, penuh dengan senyuman sampai orang tak puas tengok awak. Kalau nak buat ape-apa, mesti awak jaga niat..awak cuba faham semua orang dan baik dengan semua orang. Mulut awak tak pernah lekang sebut nama ALLAH..semua awak bedal ‘subhanallah, Alhamdulillah, masyaALLAH, insyaALLAH’…semualah.. sunnah rasulullah semua awak buat,satu pun takde yang awak tinggal.. saya jelous sebab mesti ALLAH sayang awak..mesti rasulullah rindu awak..(berwajah sedih)

Aisyah: Ooo..macam tu. Kalau macam tu, sayalah orang yang akan lebih jealous dengan awak..

Shera: Kenapa??( wajah itu terus berubah penuh tanda tanya)

Aisyah: Sebab awak ada cita-cita nak jadi baik macam saya. Bila ALLAH bagi awak hidayah dan awak betul-BETUL grab, awaklah orang yang paling beruntung saat itu. Masa tu, ALLAH ingat awak. Kalau awak baca Al-Quran gagap-gagap, ALLAH gandakan pahala dengan usaha awak tu lebih. Awak lagi cantik dan humble dari saya sebab awak rasa saya cantik dan tak rasa diri awak lagi cantik. Awak selalu jaga niat jugak, niat awak nak buat baik dan menuju kearah kebaikan. Awak juga selalu faham orang lain sebagaimana awak sedang fahami saya sekarang. Kalau mulut saya selalu sebut nama ALLAH, tapi hati awak mesti selalu tersentak dengan nama ALLAH. Saya tahu sebab awak selalu perhati bila saya sebut nama ALLAH. Saya lagi JELOUS dari awak..sebab ALLAH lebih ingat dan sayangkan awak lebih dari saya. Rasulullah mengalukan awak untuk mengingati baginda. Betul-betul SAYA JEALOUS DENGAN AWAK…

~~"I don’t care what you are doing, but I respect who you are. You know why?
Because maybe who you are tomorrow will be better than who I am today.."~~


Saturday, July 16, 2011

Nur Itu KasihNya

Alhamdulillah, hari ini baru saja selesai menonton nur kasih the movie. Err..bukan bersyukur kerana berjaya menonton sehingga tamat, bukan juga kerana dapat menyaksikan Adam dan Nur malah jauh sekali bukan kerana happy endingnya. Tapi bersyukur kerana dapat meluangkan masa bersama sahabat-sahabat. Alhamdulillah, hubungan yang jauh dapat dirapatkan dan yang sedia dekat makin dieratkan. 

 Ya Allah..kasihMu ku damba

“Bukan mudah untuk berubah”.

Angguk. Tiada siapa menafikan hakikat ini. Tapi suara-suara lain kedengaran.
“Untuk berubah tidaklah sesukar mengekalkan perubahan itu”.
Betul, berubah itu tidaklah susah tapi untuk kekal konsisten itu yang tersangat sukar. 

“Saya belum bersedia”. Skema jawapan yang sering diulang-ulang setiap kali persoalan bila nak berubah ditimbulkan.

“Saya tak nak hipokrit”. Wahh..nampak telus dan jujur je jawapan. “Saya tak nak berubah sebab manusia”. Sebaiknya begitu tapi kadang-kadang Allah temukan kita dengan seseorang yang mnejadi asbab titik tolak perubahan. Hidayah Allah itu datang dari pelbagai penjuru. Secara direct, melalui seseorang bahkan melalui makhluk lain sekalipun. Itu kuasaNya. Biarlah dikatakan hipokrit sekalipun asalkan kita berusaha berubah ke arah yang lebih baik. 

“Saya takut”. Jawapan yang meruntun jiwa. Saya takut perubahan ini tidak kekal lama, saya takut saya akan kembali seperti dulu, saya takut saya tidak mampu berdepan dengan ujian yang mendatang. Allah...dilema yang menjadi gelora di dalam jiwa. Antara mahu tapi bimbang. Sungguh, bukan senang untuk mengatasi perasaan itu.
Tapi amat menyedihkan jika alasan saya takut dengan persepsi masyarakat, takut memikirkan bagaimana penerimaan orang sekeliling terhadap kita kelak. 

Dan seribu satu lagi alasan yang boleh dicipta bila hati seolah-olah keras seperti batu. Nur kasihNya sentiasa mengetuk pintu hati namun hati yang beku itu sering menolaknya jauh. Ibarat hati batu kepala kayu. Oh..alangkah rugi manusia sebegitu! 

Saat nur hidayahNya menyapa, peluklah erat-erat agar ia tidak terlepas pergi. Bimbang tiada lagi kali kedua untuk kita. Mungkin hidayah yang dititipkanNya itu tidak akan kita perolehi lagi. Nur kasihNya yang tidak dikasihi dan dihargai, akhirnya kita yang rugi sendiri. 

Berubahlah ke arah kebaikan.
Berubahlah sekalipun payah.
Berubahlah untuk hidup yang lebih indah.
Berubahlah kerana itu tanda Dia masih sayangkan kita.
Berubahlah selagi belum terlambat.

Friday, June 10, 2011

Jangan Kamu Marah

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

"Satu hari datang seorang pemuda kepada Rasulullah saw dan berkata: Wahai Rasulullah, berikan aku nasihat".
"Rasulullah saw menjawab, jangan kamu marah"
“Lelaki itu bertanya lagi, apakah ada lagi nasihat yang lain?”
“Rasulullah menjawab, jangan kamu marah”
“Sekali lagi lelaki itu bertanya”
“Rasulullah SAW tetap menjawab, jangan kamu marah”
(sila rujuk hadis 16. Jangan marah)

Berkali-kali Rasulullah mengulangi nasihat yang sama; jangan kamu marah. Pasti ada sebabnya, bukan? Saya yakin dan percaya, pasti semua orang pernah merasai perasaan marah. Marahkan seseorang atau sesuatu. Jika tidak pernah, saya ucapkan tahniah kepada anda. Saya cukup kagum dengan anda kerana mampu mengawal kemarahan. Sungguh, kemarahan adalah sesuatu yang sukar dikawal.


“Bukanlah dikatakan gagah itu orang yang kuat bergusti. Akan tetapi yang dikatakan gagah itu orang yang dapat memiliki (mengawal) dirinya ketika marah” [Hadith Muttafaq ‘alayh]


Kenapa Rasulullah berpesan sedemikian? Kerana sifat marah itu adalah salah satu sifat mazmumah. Marah juga adalah antara sifat syaitan. Seringkali kita dinasihatkan, apabila berada dalam keadaan marah, maka berwudhu'lah. Kerana marah itu api, maka untuk meredakannya haruslah dengan air. Dan marah juga boleh menjadi satu permulaan kepada segala perbuatan buruk yang lain. Contoh mudah seperti mengumpat, menfitnah, bergaduh bahkan sanggup membunuh. Dasyatnya 'aura' marah apabila ia menguasai diri kita.


Namun, jangan disalah anggap. Tidak semua marah itu membawa keburukan. Kadang-kadang, marah itu bagus tapi pada tempatnya. Marah itu perlu namun harus kena dengan gayanya. Letakkan akal di atas nafsu bukan marah membuta tuli. Marah yang dicela ialah marah yang perlu dijauhi yakni bukan kerana Allah dan agama.


Kategori Marah

Menurut Imam Ghazali, golongan manusia yang marah ni ada beberapa kategori :
1) Yang cepat marah dan lambat reda
2) Yang cepat marah dan cepat reda
3) Yang lambat marah dan lambat reda
4) Yang lambat marah dan cepat reda


Yang paling bagus antara ni ialah yang ke 4 iaitu, lambat marah dan cepat reda. Agaknya kita tergolong dalam golongan yang mana? Tepuk dada, tanya diri, tanyalah iman..


Bila Saya Marah


Kata kawan-kawan, saya ni sukar menunjukkan marah. Betul ke? Entah, itu kata mereka. Sejujurnya, bukan tak marah tapi tidak mengekspresikan marah itu kepada umum. Saya lebih suka memendam perasaan marah itu. Bila marah, saya lebih suka mendiamkan diri. Atau menjauhi sumber yang membuatkan saya marah. Dan, jika terpaksa berhadapan, maka saya hanya mendiamkan diri. Mengawal kemarahan dalam hati.


Bila saya menunjukkan reaksi marah itu, mereka kata saya ni nampak garang. Pulak dah.. Tapi, ni marah-marah manja je :-) Jika betul-betul marah, saya tak suka bercakap. Sepuluh patah ditanya, satu patah saya jawab =p


Jadi, jangan buat saya marah ye ^_^.

Wednesday, May 25, 2011

Lihatlah Kepada Cinta Mereka

~bercinta hingga ke syurga~

Dipendamkan di dalam hatinya, yang tidak diceritakan kepada sesiapa tentang perasaan hatinya. Tertarik dirinya seorang gadis, yang punya peribadi tinggi, paras yang cantik, kecekalan yang kuat, apatah lagi ibadahnya, hasil didikan ayahnya yang dicintai oleh umat manusia, yakni Rasulullah S.A.W. Itulah Fatimah Az-Zahrah, puteri kesayangan Nabi Muhammad, serikandi berperibadi mulia.

Dia sedar, dirinya tidak punya apa-apa, untuk meminang puteri Rasulullah. Hanya usaha dengan bekerja supaya dapat merealisasikan cintanya. Itulah Ali, sepupu baginda sendiri.

Sehingga beliau tersentap mendengar perkhabaran bahawa sahabat mulia nabi, Abu Bakar As-Siddiq, melamar Fatimah. “Allah mengujiku rupanya”, begitu batin Ali. Ia merasa diuji kerana siapalah dia dibanding Abu Bakar.

Kedudukan di sisi Nabi? Abu Bakar lebih utama, mungkin dia bukan kerabat dekat Nabi seperti Ali, namun keimanan dan pembelaannya pada Allah dan RasulNya tak tertandingi. Lihatlah bagaimana Abu Bakar menjadi kawan perjalanan Nabi dalam hijrah sementara Ali bertugas menggantikan beliau untuk menanti maut di ranjangnya.

Lihatlah juga bagaimana Abu Bakar berdakwah. Lihatlah berapa banyak tokoh bangsawan dan saudagar Makkah yang masuk Islam kerana sentuhan Abu Bakar; Utsman, Abdurrahman ibn Auf, Thalhah, Zubair, Sa’d ibn Abi Waqqash, Mush’ab. Ini yang tak mungkin dilakukan kanak-kanak kurang pergaulan seperti Ali. Lihatlah berapa banyak budak muslim yang dibebaskan dan para faqir yang dibela Abu Bakar; Bilal, Khabbab, keluarga Yassir, Abdullah ibn Mas’ud. Dan siapa budak yang dibebaskan Ali?

Dari segi kewangan, Abu Bakar sang saudagar, insyaallah lebih bisa membahagiakan Fatimah. Ali hanya pemuda miskin dari keluarga miskin. “Inilah persaudaraan dan cinta”, gumam Ali. “Aku mengutamakan Abu Bakar atas diriku, aku mengutamakan kebahagiaan Fatimah atas cintaku”. Namun, sinar masih ada buatnya. Perkhabaran diterima bahawa pinangan Abu Bakar ditolak baik oleh Nabi. Ini menaikkan semangat beliau untuk berusaha mempersiapkan diri.

Tapi, ujian itu bukan setakat disitu, kali ini perkhabaran lain diterima olehnya. Umar Al-Khatab, seorang sahabat gagah perkasa, menggerunkan musuh islam, dan dia pula cuba meminang Fatimah. Seorang lelaki yang terang-terangan mengisytiharkan keislamannya, yang nyata membuatkan muslimin dan muslimat ketika itu yang dilanda ketakutan oleh tentangan kafir quraisy mula berani mendongak muka, seorang lelaki yang membuatkan syaitan berlari ketakutan.

Ya, Al Faruq, sang pemisah kebenaran dan kebathilan itu juga datang melamar Fatimah. Ali mendengar sendiri betapa seringnya Nabi berkata, “Aku datang bersama Abu Bakar dan Umar, aku keluar bersama Abu Bakar dan Umar, aku masuk bersama Abu Bakar dan Umar”. Betapa tinggi kedudukannya di sisi Rasul, di sisi ayah Fatimah. Ali redha kerana dia tahu Umar lagi layak darinya.

Tetapi, sekali lagi peluang terbuka, tatkala perkhabaran diterimanya, bahawa pinangan Umar juga ditolak. Bagaimanakah sebenarnya menantu pilihan nabi, sedangkan dua sahabat baginda turut ditolak peminangannya?

Pada suatu hari Abu Bakar As-Shiddiq r.a. Umar Ibnul Khatab r.a. dan Sa’ad bin Mu’adz bersama-sama Rasul Allah s.a.w. duduk dalam masjid. Pada kesempatan itu diperbincangkan antara lain persoalan puteri Rasul Allah s.a.w. Saat itu baginda bertanya kepada Abu Bakar As-Shiddiq r.a “Apakah engkau bersedia menyampaikan persoalan Fatimah itu kepada Ali bin Abi Thalib?”

Abu Bakar As-Shiddiq menyatakan kesediaanya. Ia beranjak untuk menghubungi Ali r.a. Sewaktu Ali r.a. melihat datangnya Abu Bakar As-Shiddiq r.a. dengan tergopoh-gopoh dia menyambutnya kemudian bertanya: “Anda datang membawa berita apa?” Setelah duduk beristirahat sejenak Abu Bakar As-Shiddiq r.a. segera menjelaskan persoalannya:

“Hai Ali engkau adalah orang pertama yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya serta mempunyai keutamaan lebih dibanding dengan orang lain. Semua sifat utama ada pada dirimu. Demikian pula engkau adalah kerabat Rasul Allah s.a.w. Beberapa orang sahabat terkemuka telah menyampaikan lamaran kepada baginda untuk mempersunting puteri beliau. Lamaran itu telah beliau semua tolak. Beliau mengemukakan bahawa persoalan puterinya diserahkan kepada Allah s.w.t.

Akan tetapi hai Ali apa sebab hingga sekarang engkau belum pernah menyebut-nyebut puteri beliau itu dan mengapa engkau tidak melamar untuk dirimu sendiri? Kuharap semoga Allah dan RasulNya akan menahan puteri itu untukmu.” Mendengar perkataan Abu Bakar r.a. mata Saidina Ali r.a. berlinang air mata. Menanggapi kata-kata itu, Ali r.a. berkata: “Hai Abu Bakar, anda telah membuatkan hatiku bergoncang semula sesudah ia tenang. Anda telah mengingatkan sesuatu yang sudah kulupakan. Demi Allah aku memang menghendaki Fatimah tetapi yang menjadi penghalang satu-satunya bagiku ialah kerana aku tidak mempunyai apa-apa.”

Abu Bakar r.a. terharu mendengar jawapan Ali itu. Untuk membesarkan dan menguatkan hati Imam Ali r.a. Abu Bakar r.a. berkata: “Hai Ali, janganlah engkau berkata seperti itu. Bagi Allah dan Rasul-Nya dunia dan seisinya ini hanyalah ibarat debu bertaburan belaka!” Setelah berlangsung dialog seperlunya Abu Bakar r.a. berhasil mendorong keberanian Ali r.a. untuk melamar puteri Rasul Allah s.a.w.

Beberapa waktu kemudian Saidina Ali r.a. datang menghadap Rasul Allah s.a.w. yang ketika itu sedang berada di tempat kediaman Ummu Salmah. Mendengar pintu diketuk orang, Ummu Salmah bertanya kepada Rasulullah s.a.w.: “Siapakah yg mengetuk pintu?” Rasul Allah s.a.w. menjawab: “Bangunlah dan bukakan pintu baginya. Dia orang yang dicintai Allah dan RasulNya dan ia pun mencintai Allah dan Rasul-Nya!”

Jawapan Nabi Muhammad s.a.w. itu belum memuaskan Ummu Salmah r.a. Ia bertanya lagi: “Ya tetapi siapakah dia itu?” “Dia saudaraku orang kesayanganku!” jawab Nabi Muhammad s.a.w. Ali masuk kemudian mengucapkan salam dan dijawab oleh Rasul Allah s.a.w. Dia dipersilakan duduk di depan Rasulullah. Ali menundukkan kepala seolah-olah mempunyai maksud tetapi malu hendak mengutarakannya.

Rasul Allah mendahului berkata: “Hai Ali nampaknya engkau mempunyai suatu keperluan. Katakanlah apa yang ada dalam fikiranmu. Apa saja yang engkau perlukan akan kau peroleh dariku!” Mendengar kata-kata Rasul Allah s.a.w. yang demikian itu lahirlah keberanian Ali bin Abi Thalib untuk berkata: “Maafkanlah ya Rasul Allah. Anda tentu ingat bahawa anda telah mengambil aku dari pakcikmu Abu Thalib dan makcikmu Fatimah binti Asad di kala aku masih kanak-kanak dan belum mengerti apa-apa.

Sesungguhnya Allah telah memberi hidayat kepadaku melalui anda juga. Dan anda ya Rasul Allah adalah tempat aku bernaung dan anda jugalah yang menjadi wasilahku di dunia dan akhirat. Setelah Allah membesarkan diriku dan sekarang menjadi dewasa aku ingin berumah tangga; hidup bersama seorang isteri. Sekarang aku datang menghadap untuk melamar puteri anda Fatimah.

Ya Rasul Allah apakah anda berkenan menyetujui dan menikahkan diriku dengan Fatimah?” Dalam riwayat Ummu Salmah mengisahkan: “Saat itu kulihat wajah Rasul Allah nampak berseri-seri. Sambil tersenyum beliau berkata kepada Ali bin Abi Thalib: “Hai Ali apakah engkau mempunyai suatu bekal mas kahwin?”

“Demi Allah”, jawab Ali bin Abi Thalib dengan terus terang. Anda sendiri mengetahui bagaimana keadaanku tak ada sesuatu tentang diriku yang tidak anda ketahui. Aku tidak mempunyai apa-apa selain sebuah baju besi sebilah pedang dan seekor unta.”

“Tentang pedangmu itu” kata Rasul Allah s.a.w. menanggapi jawapan Ali bin Abi Thalib “engkau tetap memerlukannya untuk perjuangan di jalan Allah. Dan untamu itu engkau juga perlu buat keperluan mengambil air bagi keluargamu dan juga engkau memerlukannya dalam perjalanan jauh. Oleh kerana itu aku hendak menikahkan engkau hanya atas dasar mas kahwin sebuah baju besi saja. Aku puas menerima barang itu dari tanganmu. Hai Ali engkau wajib bergembira sebab Allah ‘Azza wa¬jalla sebenarnya sudah lebih dahulu menikahkan engkau di langit sebelum aku menikahkan engkau di bumi!”

Setelah segala-galanya siap dengan perasaan puas dan hati gembira dengan disaksikan oleh para sahabat Rasul Allah s.a.w. mengucapkan kata-kata ijab kabul pernikahan puterinya: “Bahwasanya Allah s.w.t. memerintahkan aku supaya menikahkan engkau Fatimah atas dasar mas kahwin 400 dirham. Mudah-mudahan engkau dapat menerima hal itu.”
“Ya Rasul Allah, itu kuterima dengan baik”, jawab Ali bin Abi Thalib r.a. dalam pernikahan itu.

***_***_***

Inilah jalan cinta para pejuang. Jalan yang mempertemukan cinta dan semua perasaan dengan tanggungjawab. Cinta itu adalah pengorbanan.

Dan ternyata tak kurang juga yang dilakukan oleh Puteri Sang Nabi, dalam suatu riwayat dikisahkan, bahwa suatu hari, Fatimah berkata kepada Ali: “Maafkan aku, kerana sebelum menikah denganmu aku pernah satu kali merasakan jatuh cinta pada seorang pemuda” Ali terkejut dan berkata, “Jikalau begitu, mengapakah engkau mahu menikah denganku? Dan siapakah pemuda itu”. Sambil tersenyum Fatimah berkata, “Pemuda itu adalah dirimu”

*********************

p/s : Begitulah cinta yang bersenikan diam. Mereka saling mencintai, tetapi memendam perasaan itu kerana tidak ingin cinta mereka melebihi cinta kepadaNya. Memang sukar menjadi mereka, tetapi untuk meneladani mereka tidaklah sukar. Wahai lelaki, jadilah seperti Ali, melamar gadis pilihanmu dengan jalan yang diredhaiNya, yakni pernikahan, bukannya couple, kerana bercouple itu banyak keburukan berbanding kebaikan.

Para wanita pula, teladanilah Fatimah, menjaga peribadinya biarpun hatinya meruntun cintakan pemuda sehebat Ali r.a. Titipkan cintamu kepada jodoh yang belum diketahui siapa, dan untuk mendapat yang terbaik, jadilah yang terbaik. Jika dirimu jatuh cinta, diamkanlah, kerana syaitan cuba menyelinap masuk untuk jadikannya cinta bernafsu. Jika dirinya bukan untukmu, redhailah, kerana Tuhan ada perancangan yang lebih baik lagi buat kita.

Wednesday, May 18, 2011

Agar Musibah Menjadi Muhasabah


Subhanallah. Alhamdulillah. Allahuakbar. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. PadaNya segala kekuatan dan kepadaNya jua disandar segala harapan.

Sahabat, kita adalah manusia yang sentiasa berada dalam pencarian. Terkadang kita teraba-raba dalam kegelapan. Terkadang ada cahaya yang datang menyuluh jalan, dan itulah yang kita namakan kehidupan. Carilah cahaya itu, cahaya yang terbit dari agama Ilahi.

Sahabat, perjuanganmu masih panjang dan berliku. Jika dalam benakmu tertanam keyakinan bahawa ada hamparan karpet merah dalam perjalanan hidup seorang penegak kebenaran, buanglah pemikiran itu jauh-jauh sehingga tidak terkesan lagi oleh pandangan mata.

Kita akan terus diasak dengan pelbagai cabaran, halangan dan penderitaan. Andai imanmu rapuh dan semangatnu terbang, tanyalah kembali dirimu sendiri. Apakah yang kamu santap untuk rohanimu? Sempurnakah ibadahmu? Ikhlaskah hatimu berdakwah dijalanNya? Kamu berada di jalan ini atas sebab Tuhan atau manusia? Soalan-soalan ini menagih jawapanmu.

Perjuangan menegakkan agama Allah menuntut pengorbanan. Cuba selak lembar sirah nabi. Betapa hebatnya dugaan yang ditempuh baginda saat ingin menyebarkan kebenaran Ilahi. Baginda dilempar najis, disakiti, dituduh gila dan pelbagai perkara buruk lagi. Apakah mungkin jalan yang kita tempuhi kini seteruk dan sedahsyat iru? Soal imanmu, soal bertalu-talu.

Namun beringatlah, fitnah sering dilemparkan pada manusia-manusia aneh seperti kita. Ya, aneh pada pandangan manusia yang tidak mengerti makna perjuangan. Namun, ingatlah juga bahawa cinta Allah tidak pernah mengecewakan. Langsung tidak mengecewakan, wahai sahabatku. Cukuplah ayat-ayat Allah yang menyembuhkan luka-luka perjuangan. Cukuplah hanya Allah bersama kita.

Jika dirimu dihimpit musibah, gunakanlah akal warasmu, tenang emosimu, teguh imanmu, agar ia menjadi muhasabah paling bermakna untuk kamu kecapi pengajarannya. Agar musibah menjadi muhasabah, agar gelisah bernilai ibadah.

“Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, mereka itu penghuni syurga. Mereka kekal di dalamnya.” [al-Baqarah: 82]

p/s: dipetik dari novel "Kuntum Cinta Di Taman Syurga" dan diedit agar mengikut kesesuaian situasi :-)

Tuesday, April 26, 2011

Dia Pasti Berikan Yang Terbaik!

maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?

ALLAH PASTI MEMBERIKAN YANG TERBAIK

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang...
Setiap manusia pastinya selalu menginginkan yang terbaik. Mendapat segala yang terbaik dan mengusahakan sesuatu yang terbaik, baik untuk dirinya mahupun untuk orang-orang yang tersayang…

Salah satu sifat seorang Muslim ialah selalu memohon dan meminta pada Allah, Zat yang Maha Kuasa. Satu persepsi dan pegangan bagi seseorang yang bepegang teguh bahawa jika mahukan sesuatu, mintalah pada Allah kerana Dia pasti tidak pernah menghampakan.

Meminta pada manusia, sekali dua kali, mungkin diberinya, tapi mungkin tidak pada permintaan yang berikutnya....
Tetapi jika berkehendakkan sesuatu, mintalah pada Allah, kerana Dia pasti tidak jemu dan bosan untuk menunaikannya, terkadang juga tidak diminta, diberi-Nya pula.

Mungkin terselit ungkapan tulus dalam bait-bait kata dalam banyak-banyak doa yang dipohonkan kepada Ilahi .. “ Ya Allah, berikanlah yang terbaik untukku....”.

Tetapi terkadang manusia lupa, terkadang yang dirasakan terbaik untuk diri kita menurut kacamata kita adalah yang terburuk untuk kita menurut pandangan Allah.

“...Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui...” (QS: 216)

Sebaliknya, berdoalah...”Ya Allah, berikanlah yang terbaik untukku, yang Engkau rasakan terbaik untukku...”.

Terkadang juga manusia itu lupa, bahawa yang dilaluinya dan diterimanya itulah yang diminta daripada Allah. Kita terkadang sering lupa, yang datang itulah yang terbaik untuk kita. Tanpa kita pinta, sesuatu ujian yang amat berat datang menjengah untuk mewarnai kehidupan dan menguji kesabaran kita. Suatu ujian yang dirasakan berat untuk dipikul dan terasa hilang kesabaran menghadapinya. Ujian yang kita tidak minta tetapi ia datang.

Sedangkan kita lupa, bahawa ujian itulah yang kita minta daripada Allah, sesuatu yang ‘terbaik’ untuk kita. Ibrah yang ‘terbaik’ untuk kita...untuk menjadikan kita yang ‘terbaik’ di pandangan Allah.

Begitulah, setiap sesuatu yang ‘terbaik’ itu, amat tinggi nilainya di mata Allah, tiap sesuatu yang ‘terbaik’ itu juga amat tinggi pengorbanannya pada Allah, tinggal pada diri kita, adakah kita sanggup untuk menghadapinya untuk mendapatkan yang terbaik itu serta sentiasa berbaik sangka kepada Allah atau sebaliknya......

Janganlah kita menjadi hamba yang kufur akan nikmat-Nya, hanya kerana belum diberi apa yang diinginkan. Yakinlah, Allah Maha Tahu apa yang terbaik bagi hamba-Nya.
Lihatlah sisi positifnya dari setiap keadaan kita.


tinta hati:
Dia pasti berikan yang terbaik buat hamba-hambaNya
tapi sudahkah kita lakukan yang terbaik sebagai hambaNya?

.: credit kepada seorang teman atas perkongsian ini:.




Saturday, March 19, 2011

Antara Dua Pilihan

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Lebih seminggu tidak menulis disini, terasa sedikit kekok untuk memulakannya. Menulis beberapa perkataan then padam balik. Tulis balik, padam lagi. Terasa ingin menulis namun tiada idea yang muncul. Bila idea datang, mood menulis pula tiada. Akhirnya membiarkan tanpa setinta bicara, sunyi dari berita.

picture: Azzariyat.Com

Begitulah hidup ini. Setiap waktu dihidang dengan pelbagai pilihan. Antara dua pilihan. Antara tiga pilihan. Antara seribu pilihan (erkk, banyak sangat ni :p ). Kadang-kadang Allah menguji kita dengan pilihan. Pilihan yang harus kita putuskan. Yang manakah yang terbaik. Yang mana harus diutamakan. Yang mana harus dipilih.

Ya, pilihan itu satu ujian. Ujian untuk menilai tahap keimanan hambaNya. Dalam membuat pilihan, adakah kita bersandar penuh padaNya? Atau adakah kita berpaksikan akal dan nafsu semata-mata? Dia memberi ujian Dia juga menyediakan jalan penyelesaiannya. Dalam membuat pilihan, kita boleh berdoa, istikharah, mengikut kata hati atau bisikan nafsu. Sekali lagi kita diberi pilihan. Bukankah kehidupan ini tidak lari daripada pilihan?

Antara A atau B
kiri atau kanan
hitam atau putih
kebaikan atau kemungkaran
halal atau haram
dosa atau pahala
kitalah yang memilihnya.



Dan pilihan kita yang terbesar adalah syurga atau neraka. Jika memilih syurga, maka ikutilah laluan yang betul untuk ke sana. Dan jika memilih neraka, maka anda bebas untuk melakukan apa sahaja. Ingatlah pilihan ini harus dibuat sekarang sebelum terlewat. Pilihan kita hari ini menentukan destinasi kita di Sana kelak.

p/s: Dalam membuat pilihan, pilihlah yang terbaik. Bukan terbaik untuk kepentingan diri tapi terbaik untuk iman kita. 

Sunday, January 9, 2011

Janji Yang Pasti

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah..selautan syukur hanya buatNya, Tuhan pemilik sekalian alam. Alhamdulillah, kita masih diberi kesempatan untuk melihat dunia ini. Dia yang Maha Penyayang masih sudi memberi pinjam nyawa untuk kita meneruskan perjalanan sebelum kembali ke negeri abadi.

"Setiap yang bernyawa pasti merasai mati" [Ali Imran: 185]

Sehari dua ini, saya dikhabarkan dengan berita sedih. Keluarga dan saudara-mara sahabat saya telah kembali menghadap Ilahi. Malah, saya juga tidak terkecuali. Benarlah janji Allah, sesungguhnya setiap yang bernyawa pasti akan mati. Cuma bezanya cepat atau lambat sahaja. Dan kita juga akan menyusuli mereka.

Kata sahabat saya, ini adalah peringatan untuk kita yang masih hidup. Hari ini, keluarga kita, saudara-mara dan orang sekeliling kita tetapi esok lusa mungkin giliran kita pula. Dia memberi peringatan bahawa kematian semakin dekat dengan kita. Jadikan ini ikhtibar untuk kita lebih bersedia menghadapi saat kematian dan kembali menemui Pencipta kita. Mudah-mudahan kita kembali kepadaNya dalam keadaan yang terbaik serta dalam keadaan beriman.

UJIAN DARINYA

Kehilangan orang tersayang adalah salah satu bentuk ujian buat hamba-hambaNya. Siapa yang tidak sedih atas kehilangan orang tersayang? Namun, kita harus redha dengan segala ketentuanNya. Dia menguji sejauh mana keimanan hambaNya. Adakah kita redha atau sebaliknya.
"Apakah manusia itu mengira, Kami akan membiarkan mereka berkata: 'Kami telah beriman', sedangkan mereka belum diuji?" [Al-Ankabut: 2]

Kata-kata seorang nurse kepada ma saya; "tengok tu, anak dah meninggal pun dia tenang lagi" Balasnya, "saya redha, nurse". Bukan tidak sedih, bukan tidak menangis tetapi sajauh mana kita sayangkan seseorang, ingatlah Allah lebih lagi sayangkannya. Pesan nenek saya, "jangan layan sedih tu, kita pun akan ke Sana juga"

MATI ITU PASTI!

Kematian adalah suatu yang hak, yang benar, yang pasti dan akan dirasai oleh semua makhluk yang bernyawa. Selagi kita masih bernyawa, hargailah peluang itu. Sesungguhnya, dariNya kita datang dan kepadaNya jua kita pulang.

Thursday, November 11, 2010

Apabila Diri Diuji


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam
Yang Maha Pemurah lagi Maha penyayang
Yang menguasai hari pembalasan (hari akhirat)
Engkaulah sahaja (Ya Allah) yang kami sembah dan kepada Engkaulah kami memohon pertolongan
Tunjukilah kami jalan yang lurus
Iaitu jalan orang-orang yang Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang telah Engkau murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.
[Al-Fatihah, 1-7]

*****
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
Bukankah Kami telah melapangkan dadamu (Wahai Muhammad)?
Dan Kami telah meringankan bebanmu darimu
Yang memberati tanggunganmu
Dan Kami telah meninggikan bagimu sebutan namamu
Oleh itu, (tetapkanlah kepercayaan) bahawa sesungguhnya bersama kesulitan disertai kemudahan
(Sekali lagi ditegaskan) sesungguhnya bersama kesulitan disertai kemudahan
Kemudian apabila engkau telah selesai (dari sesuatu urusan), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan urusan yang lain)
Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau berharap.
[As-Syarh, 1-8]

*****
Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.
[Al-Baqarah, 286]