Pages

Photobucket

Friday, February 25, 2011

Seminggu Yang Mencabar

La Tahzan..=)

Hari ini saya mampu menarik nafas lega. Lega bukan kerana segalanya telah selesai tetapi sekurang-kurangnya saya mempunyai waktu untuk diri sendiri. Namun, perjuangan saya masih panjang. Perjalanan hidup masih tiada nokhtahnya lagi. Dan mungkin yang sedang menanti hari esok lebih mencabar buat saya.

Dalam seminggu ini, saya benar-benar diuji. Segalanya berlaku serentak. Semuanya menuntut komitmen. Langkah saya longlai. Semangat saya terbang melayang. Hanya ‘ketensionan’ yang tergambar di wajah. Perasaan saya ketika itu hanya Allah saja yang tahu. Terasa ingin menangis, menjerit dan mengamuk saat itu.

Air mata tika itu usah dikata. Laju saja membasahi pipi. Namun, saya sebolehnya cuba menahan daripada dilihat oleh orang lain. Bukan kerana ego, bukan juga ingin menunjuk kuat tetapi saya tidak mahu mementingkan diri. Mereka disekeliling saya lebih besar ujiannya. Saya harus kuat agar mereka juga terus kuat. Hakikatnya, saya sangat lemah saat itu.

Keluhan demi keluhan dilepaskan. Penat, serabut dan tension. Hanya itu yang dirasakan. Ditambah dengan keadaan kesihatan yang kurang baik, saya hilang arah seketika. Tidur yang tidak cukup, test yang tidak berjawab (sekadar contengan dengan mencipta rumus sendiri ^_^) dan tiada langsung persediaan (study). Buat pertama kalinya untuk sem ini(sebelum ni pernah sekali dua..hehe), saya terponteng kelas. Diulangi, ‘ter’ponteng bukan sengaja ye =)

Alhamdulillah, hari ini keadaan kembali normal. Jiwa terasa lapang. Hati lebih tenang dan perasaan sedikit tenteram. Seketika, saya duduk sejenak, memuhasabah diri. Saat susah mahupun senang, ingatlah Allah. Saat sakit atau sihat, ingatlah Allah. Saat kaya ataupun miskin, ingatlah Allah. Saat demi saat, ingatlah Allah sentiasa. “Sesungguhnya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang.” Bila hati tenang, kerja yang susah menjadi senang. Beban yang berat terasa ringan. InsyaAllah.

Sunday, February 13, 2011

Politik & Revolusi

picture ~ deviantart by avedic

Dunia Politik

Bila menyebut politik, ramai yang akan terbayang UMNO, PAS, PKR dan yang seangkatan dengannya. Hakikatnya, itu pemahaman sempit. Politik bukan sekadar parti pembangkang atau kerajaan. Politik itu luas.

Saya juga pernah begitu. Sebut sahaja politik, fikiran terus berlegar ke arah itu. Politik itu kotor. Itu tanggapan saya dahulu. Kerana politik, manusia keji-mengeji, kata- mengata dan sebagainya. Kerana politik, manusia bermusuhan. Kerana politik, manusia mementingkan diri. Namun hari ini saya sedar, bukan politik yang kotor. Tetapi tangan-tangan manusia yang mengotorkannya.

Tanggungjawab

PRU-13 semakin hampir. Bilakah tarikhnya? Kita tunggu dan lihat nanti. Yang pasti, debarannya kian terasa. Debaran? Barangkali debaran untuk memilih siapa yang layak diangkat sebagai pemimpin =) InsyaAllah, jika dipanjangkan umur, pru-13 akan menjadi detik saya memangkah pemimpin pilihan hati. Siapa agaknya ye?

“Kalau tak mengundi, tak boleh ke?” saya pernah melontar soalan ini. Dan jawapan yang diterima “boleh, tapi kena menjawab di Sana kelak” atau “mana boleh, ia tanggungjawab kita untuk memilih pemimpin yang baik”

Mengundi itu tanggungjawab semua (bagi yang cukup umur je..). Kita bertanggungjawab memilih pemimpin yang amanah, yang mampu mentadbir negara, yang boleh memacu rakyat menuju redha Allah. Semuanya terletak ditangan kita. So, jadilah pengundi yang bijak!

Revolusi

Saya teringat komentar emak saya semasa pulang bercuti baru-baru ini.

“Tengok Mesir tu..tak suka pemerintah, rakyat terus gulingkan. Kalau kat Malaysia, pemimpin buat apa saja pun, rakyat tengok je”

“Kalau ada yang bertindak lebih sikit, terus kena tangkap” komen emak semasa menonton berita.

“Kalau bertindak ramai-ramai, penjara pun tak muat” balas adik saya. Saya yang mendengar, tersenyum dengan jawapan itu.

Turnisia dah berevolusi, Mesir juga, negara-negara Islam yang lain pun sedang ke arah itu...Malaysia, bila lagi?

Revolusi adalah perubahan. Perubahan dari buruk ke baik. Dari hitam ke putih. Dari belakang ke depan. Dari satu sisi, ke sisi yang lain.

Ya, Malaysia..bila lagi?

picture ~ deviantart by FuegoRojo

Bersedia

Pencetus sebuah revolusi adalah perubahan diri. Dan melakukan perubahan diri memerlukan sebuah persediaan.

Dan apa persediaan kita sebagai seorang mahasiswa? Buka mata dan lihatlah sekeliling kita. Api kehangatan pilihan raya kampus (PRK) semakin menyala-nyala. Apakah kita cakna padanya? Atau hanya menutup mata kerana bukan kita calonnya?

Sedar atau tidak, kita terlibat secara langsung dengannya. Kitalah yang akan memilih bakal pemimpin kita. Di tangan kitalah penentu segala yang akan berlaku. Jadi, bersediakah kita untuk memilih pemimpin yang terbaik? Pemimpin yang bukan sekadar mampu memimpin sebuah organisasi tetapi mampu juga membawa mereka di sekelilingnya mendekati Allah.

Untuk melahirkan pemimpin yang berjiwa besar, persediaan haruslah bermula dari sekarang. Bakat kepimpinan harus diasah dan digilap bermula dari bawah. Wahai mahasiswa-mahasiswa, kitalah pelapis generasi hari esok. Maka, persiapkanlah diri. Ayuh! Jalankan tanggungjawab dan jadilah insan yang cakna dan peka. Jadilah mahasiswa peduli!

Monday, February 7, 2011

Belajarlah Untuk Melepaskan


picture by deviantart

Situasi:

Si A seorang yang berkerjaya. Dia berusaha keras untuk menjadi yang terbaik. Prestasinya sangat bagus. Di tempat kerja, dia sentiasa dipuji dan disanjungi. Banyak masa dihabiskan untuk bekerja. Bahkan masanya di rumah banyak dihabiskan untuk menyiapkan kerja. Satu hari si A ini jatuh sakit tetapi dia melawan sakitnya itu untuk menyiapkan satu tugasan penting. Malangnya, dia terlewat untuk membentangkan hasil kerjanya kepada client. Lebih malang lagi, clientnya itu menerima hasil kerja orang bawahannya yang mana satu saat dia pernah menolak idea orang bawahannya itu. Segala penat lelahnya sia-sia dan dia kecewa sendiri. Akhirnya, si A itu sedar.

Pengajaran:

Dalam hidup ini, andai kita menggapai dan menggenggam sesuatu dengan kedua-dua belah tangan, maka kita tidak akan mampu lagi menggapai yang lain. Bagaimana jika kita melepaskan sebelah tangan itu? Sebelah tangan erat menggenggam dan sebelah tangan lagi masih bebas. Maka, kita masih berpeluang untuk menggapai sesuatu yang lain, bukan? Bahkan, tangan yang bebas itu boleh berpaut pada huluran tangan yang lain. Dengan itu, andai kita kecewa, kita punya tempat berpaut. Saat kita terluka, masih ada lagi yang menggagahkan kita.

Kadang-kadang, kita terlalu obses mengejar sesuatu. Mengejar dan terus mengejar tanpa menoleh ke kiri atau kanan. Kadang-kadang, kita terleka bahawa yang dikejar itu bukan milik kita. Adakala, kita terlalu ingin memiliki sesuatu. Ingin ia sentiasa kemas di genggaman kita. Fokusnya cuma satu, matlamatnya hanya itu. Tiada dua, tiada tiga, tiada yang lainya. Sampai satu saatnya, kita buta bahawa yang di genggaman itu membuatkan kita terluka.

Ada saatnya, kita harus belajar untuk memperlahankan langkah kejaran kita. Jika perlu, berhentilah seketika untuk melihat sekeliling. Pandanglah ke kiri dan kanan. Tolehlah ke belakang walau sekilas pandang. Sepertimana si A yang terlalu mementingkan kerjayanya, rupa-rupanya dia terlepas bahawa disepanjang perjalanan ke tempat kerja dihiasi taman yang cantik. Bunga-bunga indah mekar menghiasi alam. Bila fikiran hanya berfokus pada yang satu, segala yang ada disekeliling seolah ghaib. Akhirnya, diri sendiri yang rugi apabila tidak menyedari segala keindahan yang wujud.

Ingatlah, hidup ini bukan tertumpu kepada satu perkara sahaja. Banyak lagi yang harus diberi perhatian. Kata orang, dalam mengejar dunia, jangan dilupa bekalan untuk akhirat. Andai akhirat yang difokus, perlu diingat dunia juga harus diisi. Dengan lain kata, kedua-duanya harus seimbang.

Jika ia milikmu, ia tetap akan menjadi milikmu. Cuma cepat atau lambat saja bezanya. Jika ia bukan milikmu, ia takkan kau miliki walau sudah di genggamanmu.