Pages

Photobucket
Showing posts with label Bicara Agama. Show all posts
Showing posts with label Bicara Agama. Show all posts

Friday, June 1, 2012

Dakwah Itu Cinta

~ cinta yang mengikat hati-hati ini kepada Pencipta ~ 

"..Allah menjadikan kamu cinta kepada keimanan dan menjadikan keimanan itu indah di dalam hatimu serta menjadikan kamu benci kepada kekafiran, kefasikan, dan kedurhakaan. Mereka itulah orang-orang yang mengikuti jalan yang lurus." 
[Al-Hujurat, 7]

Dakwah itu cinta,
yang bermuarakan cinta kepada Allah swt,
cinta kepada RasulNya,
cinta kepada kaum keluarga, 
cinta kepada masyarakat.

 Dakwah itu cinta,
memastikan setiap hati terasa keindahannya..
menjadikan nurani mudah tersentuh dengan kelembutannya..

bukanlah dakwah jika ia menyakiti jiwa..
hingga akhirnya manusia meminggirkan agama.


Friday, August 5, 2011

Wasiat Dari Kekasih Agung

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih

Daripada Abu Dzar, dia berkata: "Kekasihku (Rasulullah saw) berwasiat kepadaku dengan tujuh perkara:
1) Mencintai orang miskin
2) Melihat orang yang lebih rendah kedudukannya
3) Menyambung silaturrahim kepada kaum kerabat
4) Memperbanyakkan ucapan "La haula walaa quwwata illa billah"
5) Berani mengatakan kebenaran meskipun pahit
6) Tidak takut dengan celaan
7) Tidak meminta-minta sesuatu kepada manusia
~[HR Ahmad]

Mencintai Orang Miskin
Islam menganjurkan umatnya agar berlaku tawaduk (merendah hati) terhadap orang miskin, menolong dan membantu mereka.
Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: "Barangsiapa yang menghilangkan satu kesusahan dunia dari seorang muslim, Allah akan menghilangkan darinya satu kesusahan di hari kiamat. Dan barangsiapa yang memudahkan kesulitan orang yang dibebani hutang, Allah akan memudahkan baginya di dunia dan akhirat" [HR Muslim]

Melihat Orang Yang Lebih Rendah Kedudukannya
Rasulullah saw memerintahkan agar kita melihat orang yang berada di bawah kita dalam masalah dunia. Tujuannya, tidak lain tidak bukan agar kita selalu bersyukur dengan nikmat Allah swt. Tidak qanaah (berasa cukup dengan apa yang Allah kurniakan kepada kita), tidak irihati  serta dengki dengan kenikmatan orang lain.

Menyambung Silaturrahim
Rasulullah saw bersabda bermaksud: "Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menyambung silaturrahim" [HR Bukhari]

Memperbanyakkan ucapan "La haula walaa quwwata illa billah"
Rasulullah saw memerintahkan untuk memperbanyakkan ucapan ini agar kita terlepas dari berasa tidak cukup. Kita serahkan semuanya kepada Allah swt. Makna kalimat ini juga sebagai sikap tawakkal , hanya kepada Allah kita menyembah dan hanya kepadaNya kita memohon pertolongan.

Berani Mengatakan Kebenaran Meskipun Pahit
Sesungguhnya jihad yang paling utama ialah mengatakan kalimah kebenaran (haq) kepada penguasa yang zalim. Bukan dengan cara provokasi atau membuka aib mereka.

Tidak Takut Dengan Celaan
Sebagai seorang pendakwah, mereka harus sabar menyampaikan ilmu dengan hikmah. Wahai penyeru tauhid, janganlah berhenti menyeru kepada kebenaran hanya kerana tentangan dan cercaan.

Tidak Meminta-minta Kepada Manusia
Orang yang dicintai Allah, rasul dan manusia adalah mereka yang tidak meminta-minta. Seorang muslim harus berusaha dari hasil jerih payah tangannya sendiri.
"Sungguh, seseorang dari kamu mengambil tali lalu membawa seikat kayu bakar kemudian dia menjualnya, sehingga dengannya Allah menjaga kehormatannya. Itu lebih baik baginya daripada meminta-minta kepada manusia. Mereka sama ada memberi atau tidak memberi" [HR Bukhari]

Thursday, March 31, 2011

Aku Nak Kawen!!!

AKU tahu, kau sendirian
berhajatkan teman
AKU ciptakan dari jenismu
agar kau berasa tenteram

*****

Hujan takdak, ribut tak mai, guruh tak berdentum..tiba-tiba tajuk penuh kontroversi. Eh..eh, kenapa ceq cakap utara ni. Haha..layan jelahh. Tajuk je yang kontroversi, harapnya tiadalah spekulasi. Bukan juga untuk menimbulkan sensasi tapi hanya ingin mengubah persepsi.

"Aku tak sabar nak kawen" luah seorang teman kepada teman baiknya.

"Gatal kau ye" balas temannya.

Atau...

"Mak, kalau orang nak kahwin, mak bagi tak? tanya seorang anak kepada ibunya.

"Haa..jangan nak menggatal. Belajar dulu sampai habis tu" keras amaran seorang ibu.

Inilah fenomena yang kerap berlaku.

Asal keluar dari mulut perempuan nak cepat kahwin, kita labelkan dia gatallah, mianglah, tak sabarlah, tak malulah. Apa yang gatalnya nak dirikan masjid, nak hidupkan sunnah Rasulullah. Nak malu apanya kalau benda yang kita nak buat itu betul. Itu malu tak kena tempat tu.

Lainlah kalau yang asyik berkepit dengan lelaki bukan muhrim ke hulu ke hilir. Yang tu yang patut dikata gatal. Bukan setakat gatal, tapi tak malu, jenis muka tembok dan semua skalilah. Tapi orang kita dah anggap benda tu biasa dan tak perlu dimalukan. Hmmm..dunia dah tunggang terbalik.

Sepatutnya bila ada perempuan yang cakap dia tak sabar nak kahwin, kita kena beri galakan dan sokongan, ucap tahniah sebab dia nak buat pahala. Kita kena respect sebab dia bersedia nak pikul tanggungjawab yang bukan sedikit. Bukan label dia gatal. Tapi of course dia kena tahu dan faham apa makna perkahwinan itu dulu. Betulkan niat untuk berkahwin itu.

"Macam mana pula kalau perigi mencari timba? Bukan terhegeh-hegeh namanya tu" Ni satu lagi suara sumbang masyarakat kita. Come on lah, kalau benda lain nak sangat bebas, kena berfikiran terbukalah, jangan kolot sangatlah tapi untuk soal-soal macam ni, bukan setakat sempit malah tak terbuka langsung pemikiran kita.

Adat dan syariat, dua perkara yang berbeza. Jangan bersendikan adat tapi berpaksilah pada syariat. Kalau perigi mencari timba yang dipersoalkan, bukankah jalan keluarnya sudah tersedia? Gunalah tali (orang tengah) sebagai penghubungnya. Andai maruah yang dijaja, bukankah maruah masih terpelihara? Andai malu yang diperkata, bukankah sifat malu itu masih terjaga?

Memetik kata-kata seorang kakak "Kalau syariat mmbenarkan kenape nak malu? banyak lg perkara laen yang wajib di malukan tp orang perempuan skarang dah x malu..contohnya berpeleseran, mendedah aurat..itu yg wajib dimalukan" (credit to kak aai). Inilah silap orang kita. Yang ringan diberat-beratkan, yang berat diringankan. Masalah persepsi yang perlu diubah. Tibalah masanya untuk kita membebaskan diri daripada belenggu adat yang tak berpaksikan syariat.

*****
Adam yang kesunyian
lalu ALLAH ciptakan Hawa
sebagai peneman
dikala tangis dan tawa


Sunday, March 27, 2011

Amanah Buatmu

.: amanah buatmu :.

Pendahuluan

Amanah merupakan satu perkara yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Ia menentukan masa hadapan sesebuah masyarakat. Semua peranan yang dimainkan oleh setiap individu berkisar di sekitar dengan amanah yang telah diletakkan ke atas dirinya. Manusia tidak boleh melepaskan dirinya dari menunaikan amanah yang telah dibebankan kepadanya oleh kehendak-kehendak kehidupan. Salah satu daripadanya ialah urusan-urusan pentadbiran yang merupakan satu urusan yang mesti dipelihara dan dikawal tanpa dicemari oleh unsure-unsur yang merosakkan. Setiap orang adalah bertanggungjawab untuk memperbaiki sebarang kerosakan yang berlaku dalam urusan pentadbiran kerana ia merupakan satu amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya. Setiap orang mesti menunaikan amanah kepada tuhan, diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Pengertian

Amanah berasal daripada perkataan arab - amanah, yang bermaksud tenteram, aman, selamat dan harmoni. Dalam pengertian nilai dan akhlak, amanah ialah menghargai kepercayaan orang lain terhadap diri seseorang dengan melaksanakan tuntutan yang terdapat dalam kepercayaan itu. Amanah dengan erti kata lain ialah tanggungjawab yang diterima oloh seseorang yang kepadanya diberikan kepercayaan bahawa ia dapat melaksanakannya sebagaimana yang dituntut, tanpa mengabaikannya. Apabila tanggungjawab itu ditunaikan dan kepercayaan yang diberikan itu dihargai, maka orang yang menerima dan melaksanakannya mendapati dirinya tenteram, aman, selamat dan harmoni. Amanah meliputi pelbagai lapangan, antaranya :
1. Amanah Terhadap Allah Dan Rasul
2. Amanah Terhadap Diri Sendiri
3. Amanah Terhadap Masyarakat Dan Perkhidmatan

1. Amanah Terhadap Allah Dan Rasul
Ia bermula daripada kedudukan manusia sebagai hamba Allah SWT. Dan fungsi sebagai khalifahNya. Tanggungjawab manusia sebagai hamba Allah ialah patuh, taat dan tunduk kepadaNya. Tanggungjawab manusia sebagai khalifah pula ialah membangun, memakmur dan melaksanakan islah di bumi ini mengikut kehendak dan tuntutan yang terkandung dalam syariat dan ajaranNya seperti yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Kedudukan manusia sebagai hamba dan khalifah Allah dengan fungsinya untuk taat, patuh dan mengimarahkan bumi Allah ini ialah satu amanah yang mesti dilaksanakan sepenuhnya. Segala tuntutan agama dan kewajipan yang ditetapkan hendaklah dipikul dan dilaksanakan seperti yang dikehendaki tanpa lalai, ragu dan sambil lewa. Jika ini dilaksanakan, maka seseorang itu telah menunaikan amanahnya kepada Allah SWT sepertimana firmanNya :
Maksudnya:
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedangkan kamu mengetahui (salahnya).
[Al-Anfal : 27]

Segala pemberian dan nikmat Allah SWT hendaklah dimanfaatkan untuk kebaikan dan digunakan mengikut peraturan dan hukum yang telah ditetapkan. Apabila amanah Allah ini ditunaikan, maka manusia akan merasai ketenangan, kedamaian dan keselamatan jiwa yang tidak terhingga. Hilanglah kegelisahan dan kekacauan dalam dirinya. Sebuah organisasi dan masyarakat yang anggotanya menjaga, memelihara dan menghargai amanah Allah akan berada dalam suasana aman, tenteram dan penuh harmoni. Dengan itu produktiviti akan bertambah dan kebaikan akan berkembang.

Amanah terhadap Rasul ialah cabang daripada amanah terhadap Allah. Rasul menyampaikan segala ajaran Allah SWT dan menunjukkan bagaimana ajaran itu dilaksanakan. Rasulullah SAW telah menyediakan as-Sunnah dan Qudwah (ikutan). Ia merupakan amanah Rasulullah SAW kepada umatnya yang perlu dipelihara, dihargai serta dipatuhi.

Perkataan Rasulullah dalam bentuk perintah, nasihat dan saranan menjadi sunnahnya. Begitu juga perbuatan dan pengakuannya merupakan sunnah yang menjadi amanah untuk diterima dan dilaksanakan sebagai tanggungjawab yang dituntut. Patuh dan taat kepada Rasulullah SAW merupakan sebahagian daripada ketaatan dan kepatuhan kepada Allah SWT. Seseorang dianggap mengkhianati amanah Allah dan RasulNya jika kewajipan yang telah ditentukan, diabaikan. Begitu juga jika ia tidak memelihara ketinggian dan maruah agama Allah, tidak berjuang menegakkannya dan tidak berusaha untuk menghayatinya dengan penuh keimanan dan keyakinan.

2. Amanah Terhadap Diri Sendiri
Manusia dan segala anggotanya menjadi amanah Allah SWT. Akal, mata, telinga, kaki, tangan dan lain-lain anggota merupakan amanah Allah. Setiap diri kita mempunyai tanggungjawab dan kewajipan dari segi rohaniah dan juga lahiriah. Menjaga kebersihan , kesihatan diri dan memberikan hak-hak anggota tubuh badan merupakan sebahagian daripada amanah terhadap diri yang telah ditetapkan oleh Islam.

Kebersihan rohaniah dan memelihara anggota daripada digunakan untuk perkara yang dilarang oleh Allah SWT menjadi tanggungjawab dan tuntutan yang terkandung dalam pengertian amanah. Mata yang dikurniakan oleh Allah adalah amanah. Ia hendaklah digunakan untuk tujuan yang diredhai Allah dengan menghindarkannya daripada melihat perkara yang dilarang. Telinga hendaklah digunakan untuk tujuan yang baik dengan menghindarkannya daripada mendengar perkataan yang terlarang seperti mendengar umpatan.

Lidah menjadi amanah Allah. Ia hendaklah dijaga dan dipelihara daripada segala kejahatan. Lidah adalah lebih tajam daripada mata pedang. Jika disalahgunakan ia amat berbahaya kepada diri dan masyarakat. Lidah yang tidak dijaga akan menjadi pembawa fitnah yang boleh merosakkan hidup dan membinasakan diri sendiri. Oleh itu, semua anggota tubuh badan dan pancaindera merupakan amanah Allah kepada manusia yang perlu dijaga dan dipelihara dengan cara memanfaatkannya untuk tujuan yang diredhai Allah.

3. Amanah Terhadap Masyarakat Dan Perkhidmatan
Manusia merupakan makhluk bermasyarakat yang saling bergantung dan memerlukan antara satu sama lain. Tiada sesiapapun yang dapat memenuhi semua keperluannya tanpa pengantungan kepada orang lain. Penduduk kota yang memiliki pelbagai kemudahan memerlukan khidmat para petani dan nelayan untuk mendapatkan keperluannya seperti beras, sayuran dan ikan. Mereka memerlukan khidmat para penternak untuk mendapatkan daging.

Para peniaga memerlukan pelanggan manakala pengguna memerlukan khidmat peniaga. Para pemimpin memerlukan pengikut. Pengikut memerlukan bimbingan dan kepimpinan para pemimpin. Tegasnya, tiada siapa yang mampu hidup bersendirian, kerana manusia itu makhluk bermasyarakat. Setiap orang memerlukan perkhidmatan orang lain dan setiap yang dimiliki oleh seseorang bukanlah pemilikan yang mutlak, tetapi menjadi amanah yang terpaksa diserahkan kepada orang lain apabila tiba masanya. Penyerahan yang berlaku itu merupakan perkhidmatan dalam hubungan kemasyarakatan dan kehidupan yang memerlukan pergantungan antara satu dengan yang lain.

Apabila pergantungan itu diterjemahkan kepada perkhidmatan, bermakna setiap orang dipertanggungjawabkan untuk memberikan perkhidmatan kepada yang lain mengikut susunan dan kepentingan yang ditetapkandalam kehidupan bermasyarakat. Perkhidmatan yang dilaksanakan dengan jujur dan ikhlas dalam hubungan manusia bermasyarakat merupakan penghayatan amanah yang besar ertinya dalam hidup dan penghayatan beragama. Msyarakat bermula dengan perhubungan dan komunikasi antara manusia. Perhubungan dan komunikasi yang membentuk keluarga, kelompok, unit-unit masyarakat dan seterusnya ummah, bangsa dan negara.

Penutup

Oleh yang demikian, setiap yang bergelar manusia harus mengetahui, memahami seterusnya mengamalkan segala bentuk amanah yang telah diberikan dengan sebaik-baiknya samada amanah terhadap Allah dan Rasul, diri sendiri mahupun kepada masyarakat dan perkhidmatan kerana ia telah dipertanggungjawabkan, setiap tanggungjawab perlu dilunaskan agar tidak merosakkan penghidupan kita di dunia ini.

.:sumber

Saturday, August 7, 2010

Doa: Kita Meminta DIA Mendengar

Doa itu senjata orang beriman. Doa adalah senjata yang unik. Senjata yang bukan sekadar menyerang, namun senjata yang dapat memberi kekuatan, ketenteraman dan keyakinan kepada diri tuan punya senjata.

Semasa berdoa, kita bercakap dan Tuhan mendengar. Kita merintih, Tuhan mendengar. Kita berdoa dan meminta, Tuhan terus mendengar. Tanpa jemu. Hingga kita jemu berdoa. Sehingga kita dicabut nyawa olehNya. Dia mendengar setiap bisikan hambaNya.

ADAB BERDOA

- Ada puji-pujian kepada Allah, selawat dan salan ke atas Rasulullah, keluarga dan para sahabat.
- Berdoa hanya kepada Allah. Sandarkan segala permintaan dan hajat hanya kepadaNya.
- Berdoa dengan bersungguh-sungguh dan penuh keyakinan terhadap kekuasaan Allah SWT dan memohon keampunan daripadaNya.
- Berada dalam keadaan suci dan bersih seperti berwuduk.
- Menjaga sumber rezeki seperti makanan, minuman, pakaian dan segalanya adalah halal.
- Halakan wajah ke arah kiblat dan mengangkat kedua tangan memohon doa.
- Bersikap rendah hati, tulus ikhlas, rendahkan suara, khusyuk serta penuh rasa takut, cinta dan rindu kepada Allah swt.


Ya Allah, kepadaMu aku memohon..

WAKTU DIANJURKAN BERDOA

- Berdoa di dalam Kaabah, ketika di Safa dan Marwah dan di seluruh masjid al-Haram.
- Hari Arafah (9 Zulhijjah), hari yang Allah tidak menolak sebarang permintaan daripada hamba-hambaNya.
- Satu pertiga malam
- Semasa azan dan antara azan dan iqamah
- Semasa sujud dalam sembahyang
- Ketika berhadapan dengan musuh dalam peperangan
- Ketika bermusafir
- Sewaktu hujan turun
- Semasa mendengar ayam berkokok
- Setiap waktu selepas solat fardhu
- Malam lailatulqadar
- Bulan Ramadhan
- Ketika minum air zamzam

Berdoalah. Dan iringi doa dengan usaha dan tawakkal. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar dan Maha Memperkenankan.

Allah suka pada hambaNya yang sentiasa meminta,
tetapi manusia benci pada manusia lain yang suka meminta.
Jadi, berdoalah selalu..

Wednesday, July 28, 2010

MAAFKANLAH!

Berkata memang mudah namun melakukannya cukup sukar. Ya, memaafkan adalah sesuatu yang payah untuk dilakukan lebih-lebih lagi jika hati teruk terluka. Kadang-kadang, bertahun-tahun berlalu namun masih lagi sukar memberi kemaafan.

KEUTAMAAN MEMBERI KEMAAFAN

1) Sikap pemaaf merupakan ciri-ciri orang yang bertakwa.
"Dan segeralah kamu (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhanmu dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa, iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah)! Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara baik." (Ali Imran, 133-134)

2) Allah mengampunkan mereka dan menempatkan mereka di syurga.
"Dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu. Tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah)! Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." (An-Nur, 22)

3) Allah mengasihi mereka yang pemaaf.
"(Orang yang bertakwa ialah) orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah)! Allah Mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara baik" ( Ali Imran, 134)

*****
~ berikanlah kemaafan~

MAAFKANLAH!

Sabda Rasulullah yang bermaksud:
"Orang yang paling gagah perkasa antara kalian semua adalah mereka yang dapat mengawal nafsunya di waktu marah dan orang yang paling sabar antara kamu semua adalah orang yang suka memaafkan kesalahan orang lain padahal dia mampu membalasnya" (Riwayat Ibn Abi al-Dunya dan al-Baihaqi dengan sanad yang daif)

Demi ketenangan jiwa, demi kebahagiaan hidup, maafkanlah mereka yang pernah menyakitimu.

Monday, July 19, 2010

Istikharah: Petunjuk DariNya

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi atas segala nikmat yang diberikan. Syukur kerana kita masih lagi dikurniakan nikmat yang teragung iaitu Islam dan Iman. Syukur kerana kita masih lagi diberi kesempatan untuk terus bernafas di bumi ini. Selagi nadi belum terhenti, selagi kaki melangkah berani, selagi jari masih menari, selagi jasad belum dikebumi, panjatkanlah kesyukuran padaNya atas segala nikmat dan anugerahNya. Ya Allah, terima kasih atas segala anugerahMu padaku.

---------

Dari Saad Bin Abi Waqas r.a. katanya Rasulullah SAW bersabda:

Di antara kebahagian anak Adam ialah solat Istikharah daripada Allah Taala dalam segala urusannya. - (Hadis 146 Mastika Hadis Jilid 2)

Solat istikharah ialah solat untuk meminta perkhabaran atau meminta petunjuk yang baik iaitu apabila kita menghadapi dua pilihan, atau ragu-ragu dalam mengambil keputusan. Umumnya, bila disebut sahaja solat istikharah kebanyakan di kalangan kita hanya terkenangkan ketika hendak memilih jodoh. Ia begitu sinonim sekali dalam membuat keputusan untuk memilih bakal teman hidup tidak kira bagi lelaki atau perempuan. Namun, istikharah tidaklah rigip kepada soal memilih pasangan semata-mata. Istikharah juga boleh dilakukan untuk perkara yang tidak dianggap terlalu besar atau penting seperti hendak membeli rumah, memilih kursus pengajian dan sebagainya.

Hadith dari Jabir bin Abdillah, dia berkata, ” Nabi saw pernah mengajarkan kepada kami beristhikarah dalam segala perkara sebagaimana baginda mengajarkan kepada kami surah dalam Al-Quran.

"Jika salah seorang di antara kalian bingung dalam menghadapi perkara, maka solatlah sebanyak dua rakaat selain solat wajb."

Kemudian, ucapkanlah:

Ya Allah, aku memohon petunjuk daripadaMu dengan ilmuMu dan aku memohon ketentuan daripadaMu dengan kekuasaanMu dan aku memohon daripadaMu akan limpah kurniaanMu yang besar. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa dan Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkaulah yang Maha Mengetahui segala perkara yang ghaib. Ya Allah, seandainya Engkau mengetahui urusan ini (mohon hajat) adalah baik bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan hidupku sama ada cepat atau lambat, takdirkanlah ia bagiku dan permudahkanlah serta berkatkilah aku padanya dan seandainya Engkau mengetahui bahawa urusan ini (hajat) mendatangkan keburukan bagiku, pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan hidupku sama ada cepat atau lambat, maka jauhkanlah aku daripadanya dan takdirkanlah yang terbaik untukku serta berkatilah aku. Berikanlah kebaikan di mana saja aku berada dan jadikanlah aku ini orang yang redha atas ketentuanMu.  


Secara adatnya, solat istikharah dilakukan pada waktu malam yakni sebelum tidur. Tetapi dari segi syariatnya, solat istikharah boleh dilakukan sama ada siang atau malam, terutamanya bila hati terasa tenang. Sebaik-baik waktu untuk melakukan solat istikharah adalah pada 2/3 malam.

Dari segi hasilnya pula, tidaklah menjadi suatu kemestian di dalam istikharah bahawa seseorang itu mendapat melalui mimpi. Hakikatnya tanda istikharah boleh diperolehi dengan pelbagai cara seperti mimpi, gerak hati, ketenangan hati dan sebagainya.


Wallahua'lam.

---------

Ya Tuhan kami, berilah rahmat kepada kami dari sisiMu dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami (ini). - (Al-Kahfi 18:10)