Pages

Photobucket

Friday, August 27, 2010

Atas Nama Cinta

Kita belajar makna cinta dari seorang ibu yang menyusui anaknya dalam dukungan. Kedua belah tangannya sibuk membetulkan selimut si bayi. Dalam dadanya tiada sesuatu selain ketulusan memberi atas nama cinta.

Kita belajar makna cinta dari seorang ayah yang membawa pulang sekarung padi dan sejag air setelah seharian berpenat-lelah di sawah. Dalam dadanya, tiada sesuatu selain kegembiraan memberi atas nama cinta.



Kerana cinta bukan hanya sekadar pelukan hangat, belaian lembut, atau kata-kata penuh romantis. Kita belajar apa itu cinta dari apa pun yang ada di muka bumi. Dari cahaya matahari, dari sepasang merpati, dari sujud dan tadahan doa. Dari apapun!

Pada semua kelahiran yang bersambut dengan cinta, hingga kematian dalam cinta, kita dalam hidup ini, tiada lain selain mewujudkan cinta.

Kerana itu, tiada yang boleh kita lakukan selain atas nama cinta kita yang teragung: cinta buat Yang Maha Agung, Allah SWT.

Apapun keputusanNYA buat kita, Allah yang berbicara, yang menentukan untung nasib kita, kerana setiap sesuatu yang ditakdirkan itu pasti ada hikmahnya.

Sunday, August 22, 2010

Bahasa Diam

Awak dah ada seseorang yang istimewa ke?
Diam.
Macam mana awak boleh kenal dia?
Diam lagi.
Dia tu kacak tak? Dia orang mana?
Masih lagi diam. Sesekali tersenyum dengan pertanyaan rakannya itu.
Ish..awak ni. Saya tanya tu, awak diam, saya tanya ni awak diam..malaslah nak layan awak.


***
Kadang-kadang diam adalah pilihan yang paling baik.


Bila tiada jawapan untuk sesuatu persoalan, diam salah satu pilihan.


Bila api kemarahan memuncak tinggi, diam itulah air yang menyejukkan perasaan.


Bila hati dilanda kesedihan, diam itu pengubat rasa.


Bila diri merajuk, diamlah kadang-kadang yang menjadi pemujuk.


Sukar dimengerti, susah untuk difahami. Itulah bahasa diam. Dalam diam ada seribu pengertian. Dalam diam ada seribu persoalan. Dalam diam ada seribu jawapan. Dan dalam diam juga ada seribu tafsiran.


Ada 'diam-diam ubi berisi' dan ada juga 'diam-diam besi berkarat'. Kata orang tua-tua 'diam itu tanda setuju'. Mungkin ya mungkin tidak. Kerana bahasa diam hanya didengari oleh hati yang berbisik. Tiada ucapan mahupun luahan.


Andai berdiam diri itu yang yang terbaik, diamlah. Andai dengan diam mendatangkan keburukan, maka bersuaralah.

Nabi saw bersabda: "Berdiam diri itu mengandungi hikmat-hikmat dan sedikit benar orang yang membuatnya"

Friday, August 13, 2010

No Title 3

Oh, Tuhan!
Untuk semua yang semestinya aku lakukan
tapi tidak aku lakukan
dan untuk semua yang semestinya aku tinggalkan
tapi tidak aku tinggalkan
aku memohon keampunan dari-Mu
Oh, Tuhan!
Untuk dosaku yang kalau sekalipun tidak terhitung
dalam bilangan yang diketahui oleh manusia
dan ingkarku yang kalau sekalipun melayakkan aku
menjadi manusia paling ingkar
aku memohon keampunan dari-Mu
Oh, Tuhan!
Aku sujud penuh hina mengakui
Engkaulah Rabb dan akulah hamba.

Ramadhan yang hadir cuma sekejap, hargai ia sebaik mungkin.
Salam Ramadhan Kareem


Saturday, August 7, 2010

Doa: Kita Meminta DIA Mendengar

Doa itu senjata orang beriman. Doa adalah senjata yang unik. Senjata yang bukan sekadar menyerang, namun senjata yang dapat memberi kekuatan, ketenteraman dan keyakinan kepada diri tuan punya senjata.

Semasa berdoa, kita bercakap dan Tuhan mendengar. Kita merintih, Tuhan mendengar. Kita berdoa dan meminta, Tuhan terus mendengar. Tanpa jemu. Hingga kita jemu berdoa. Sehingga kita dicabut nyawa olehNya. Dia mendengar setiap bisikan hambaNya.

ADAB BERDOA

- Ada puji-pujian kepada Allah, selawat dan salan ke atas Rasulullah, keluarga dan para sahabat.
- Berdoa hanya kepada Allah. Sandarkan segala permintaan dan hajat hanya kepadaNya.
- Berdoa dengan bersungguh-sungguh dan penuh keyakinan terhadap kekuasaan Allah SWT dan memohon keampunan daripadaNya.
- Berada dalam keadaan suci dan bersih seperti berwuduk.
- Menjaga sumber rezeki seperti makanan, minuman, pakaian dan segalanya adalah halal.
- Halakan wajah ke arah kiblat dan mengangkat kedua tangan memohon doa.
- Bersikap rendah hati, tulus ikhlas, rendahkan suara, khusyuk serta penuh rasa takut, cinta dan rindu kepada Allah swt.


Ya Allah, kepadaMu aku memohon..

WAKTU DIANJURKAN BERDOA

- Berdoa di dalam Kaabah, ketika di Safa dan Marwah dan di seluruh masjid al-Haram.
- Hari Arafah (9 Zulhijjah), hari yang Allah tidak menolak sebarang permintaan daripada hamba-hambaNya.
- Satu pertiga malam
- Semasa azan dan antara azan dan iqamah
- Semasa sujud dalam sembahyang
- Ketika berhadapan dengan musuh dalam peperangan
- Ketika bermusafir
- Sewaktu hujan turun
- Semasa mendengar ayam berkokok
- Setiap waktu selepas solat fardhu
- Malam lailatulqadar
- Bulan Ramadhan
- Ketika minum air zamzam

Berdoalah. Dan iringi doa dengan usaha dan tawakkal. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar dan Maha Memperkenankan.

Allah suka pada hambaNya yang sentiasa meminta,
tetapi manusia benci pada manusia lain yang suka meminta.
Jadi, berdoalah selalu..