Pages

Photobucket
Showing posts with label Diariku. Show all posts
Showing posts with label Diariku. Show all posts

Saturday, August 6, 2011

Berakhirnya Ceritera Disini

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah, lafaz pujian hanya untukNya yang masih memberi kita nyawa untuk merasai kemuliaan Ramadhan. Terima kasih Ya Allah kerana Kau izinkan aku untuk merasai lagi Ramadhan. Semoga Ramadhan kali ini adalah yang terbaik buat kita semua.

Berakhir sudah perjalanan hidup selama 12 minggu disini. Alhamdulillah. Perjalanan suka duka, riang ketawa, kerinduan, kesunyian, kebosanan, keseronokan, bersendirian mahupun bersama-sama diadun sebati selama tempoh itu. Akhirnya adunan itu menjadi memori yang indah untuk dikenang. Tamatlah sebuah ceritera kehidupan yang penuh warna-warni.

perjalanan sebuah kehidupan :-)

Haruskah diucap selamat tinggal? Ya, harus kerana inilah saatnya. Selamat tinggal ibd, selamat tinggal utm, selamat tinggal negeri johor. Menanti detik-detik masa untuk meninggalkan kembara hidup disini. InsyaAllah, jika dipanjangkan umur, diberi peluang dan ruang, kaki ini akan berpijak lagi di bumi selatan ini.

Terima kasih buat semua yang meraikan diri ini. Terima kasih atas layanan yang diberi. Pertemuan yang cukup membahagiakan, kenangan yang sangat indah serta pengalaman yang begitu berharga akan terpatri kukuh di ingatan. InsyaAllah, andai berjodoh kita bersua kembali bertemu lagi. Selamat  tinggal, johor ^_^

Friday, April 15, 2011

The End

Salam ceria salam bahagia buat semua. Senyum-senyum selalu..(^_^)

Setelah dilanda virus kemalasan mengupdate blog yang ditahap maksima, akhirnya hari ini berjaya juga merajinkan diri untuk menulis. Tahniah pada diri (^_~). Ditambah pula dengan kesibukan yang sengaja dicari (sebab buat keje last minit..huhu), maka tahap kemalasan itu semakin berganda-ganda.

~the end but not forever~

Alhamdulillah, hari ini secara rasminya berakhir sesi pembelajaran untuk semester ini. Minggu depan bermulalah study week dan diikuti dengan final exam. Sebut pasal final, tiba-tiba terasa berdebar-debar. InsyaAllah, senang je soalan tu (ahha..kena positive thinking ^_^). But now, the end. Namun, untuk sementara. Perjuangan belum selesai.

Pahit manis, suka duka sepanjang semester ini akan menjadi memori untuk dikenang. Jerit perih, tangisan dan air mata serta gelak tawa terpatri kukuh dalam ingatan. Dan tidak dilupa, ke'stress'an, ke'tension'an dan sanggup bersengkang mata menyiapkan projek, assignment dan psm pasti membuatkan bibir mengukir senyum bila diingati. Pelbagai ragam berbagai aksi yang telah dilakar sepanjang satu semester ini.

Semoga segalanya berbalas dengan kejayaan. Now, struggle for final. Bisik pada diri "ya, aku boleh!!!" InsyaAllah.. Dan pasti boleh dengan daya upaya dan pertolongan dari Allah.

Friday, February 25, 2011

Seminggu Yang Mencabar

La Tahzan..=)

Hari ini saya mampu menarik nafas lega. Lega bukan kerana segalanya telah selesai tetapi sekurang-kurangnya saya mempunyai waktu untuk diri sendiri. Namun, perjuangan saya masih panjang. Perjalanan hidup masih tiada nokhtahnya lagi. Dan mungkin yang sedang menanti hari esok lebih mencabar buat saya.

Dalam seminggu ini, saya benar-benar diuji. Segalanya berlaku serentak. Semuanya menuntut komitmen. Langkah saya longlai. Semangat saya terbang melayang. Hanya ‘ketensionan’ yang tergambar di wajah. Perasaan saya ketika itu hanya Allah saja yang tahu. Terasa ingin menangis, menjerit dan mengamuk saat itu.

Air mata tika itu usah dikata. Laju saja membasahi pipi. Namun, saya sebolehnya cuba menahan daripada dilihat oleh orang lain. Bukan kerana ego, bukan juga ingin menunjuk kuat tetapi saya tidak mahu mementingkan diri. Mereka disekeliling saya lebih besar ujiannya. Saya harus kuat agar mereka juga terus kuat. Hakikatnya, saya sangat lemah saat itu.

Keluhan demi keluhan dilepaskan. Penat, serabut dan tension. Hanya itu yang dirasakan. Ditambah dengan keadaan kesihatan yang kurang baik, saya hilang arah seketika. Tidur yang tidak cukup, test yang tidak berjawab (sekadar contengan dengan mencipta rumus sendiri ^_^) dan tiada langsung persediaan (study). Buat pertama kalinya untuk sem ini(sebelum ni pernah sekali dua..hehe), saya terponteng kelas. Diulangi, ‘ter’ponteng bukan sengaja ye =)

Alhamdulillah, hari ini keadaan kembali normal. Jiwa terasa lapang. Hati lebih tenang dan perasaan sedikit tenteram. Seketika, saya duduk sejenak, memuhasabah diri. Saat susah mahupun senang, ingatlah Allah. Saat sakit atau sihat, ingatlah Allah. Saat kaya ataupun miskin, ingatlah Allah. Saat demi saat, ingatlah Allah sentiasa. “Sesungguhnya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang.” Bila hati tenang, kerja yang susah menjadi senang. Beban yang berat terasa ringan. InsyaAllah.

Sunday, January 16, 2011

Tidak Seperti Dulu

Maha suci Allah yang memegang hati hamba-hambaNya. Ya Allah, tetapkan hati hambaMu ini.

Seusai mengaminkan doa, saya mendongak kepala memandang langit di atas. Biarpun terhalang dek bangunan, saya suka memandang ke luar tingkap itu. Ada ketenangan pada setiap ciptaanNya. Melihat langit biru dan awan berarak tenang memberi saya perasaan yang sukar untuk diluahkan.

Saya memuhasabah diri seketika. Perasaan saya kosong. Kenapa tiada lagi perasaan itu? Perasaan gementar dan berdebar-debar seperti sebelum ini. Mungkin kerana agak lama saya meninggalkannya. Hampir setengah tahun itu satu tempoh yang panjang. Perasaan itu hilang. Kembali memegang amanah selepas satu tempoh membuat saya kekok. Saya berusaha untuk menyesuaikan diri kembali. Namun, saya seolah gagal menemui rentak itu.

Bukan saya sengaja. Setiap perkara ada waktunya. Dan waktu ini mungkin waktu yang sukar buat saya. Banyak perkara yang berlaku. Banyak juga yang perlu difikirkan. Saya melepaskan satu keluhan kecil. Saya inginkan perasaan itu. Kerana gementar itu, saya berusaha melakukan yang terbaik. Kerana debaran itu, saya mempersiapkan diri dengan semaksimumnya. Ya Allah, aku ingin menjadi aku yang dahulu. Kembalikan perasaan itu untuk aku teruskan apa yang tersisa.


Buat renungan bersama.

Saujana - Patah Hati

Kau tidak seperti dulu
Yang ku kenali dulu
Rupa hilang seri
Manakah manisnya

Kau tidak seperti dulu
Yang ku kenali dulu
Madah tak berlagu
Manakah girangnya

Patah hati
Jangan terdampar sepi
Jangan tersungkur mati
Patah hati
Jangan leburkan mimpi
Jangan memakan diri

Bukankah Tuhan ciptakan malam
Untuk beradu menanti siang
Bukankah Tuhan titiskan hujan
Menanti limpah kemarau panjang

Ya Allah, jangan biarkan aku tersungkur. Jangan biarkan aku hanyut. Tetapkan hati ini. Kuatkan diri ini. Peganglah erat hatiku agar aku terus dekat denganMu.

Monday, January 3, 2011

Kenangan Lalu Harapan Baru

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah..Alhamdulillah..Alhamdulillah

Setelah seketika meninggalkan dunia blog, membiarkan ia sunyi tanpa coretan, permulaan tahun 2011 diharapkan memberi semangat baru. Semangat untuk menulis khususnya. Sedar tak sedar, sudah dua hari kita meninggalkan tahun 2010. Dan tirai 2010 melabuh pergi membawa sejuta rasa di hati, pengalaman, kebahagiaan, kedukaan dan pelbagai ragam hidup.

Rakaman perjalanan hidup sepanjang 2010 tersimpan kukuh di hati. Bersama kedukaan di pengakhiran tahun, air mata kedukaan, tangisan kekecewaan, harapan yang berkecaian, saya melangkah dengan harapan baru. Semoga tahun ini menjanjikan sinar baru. InsyaAllah.

Hidup harus diteruskan bahkan harus dijalani dengan lebih baik. Jangan dikesali apa yang telah terjadi. Itulah pengalaman yang akan mendewasakan kita. Yang manis bertambah manis tetapi yang pahit tetap ada manisnya. Cuma tinggal kita saja yang harus mencari dimana kemanisan disebalik setiap yang berlaku itu.

Tahun baru, azam baru, semangat baru, semester baru..jom sama-sama memperbaiki diri, merealisasikan mimpi dan memburu kejayaan!

p/s: teringat masa zaman sekolah dulu, excited pergi sekolah sebab baju baru, kasut baru, beg baru, semua baru..

Saturday, November 13, 2010

Selamat Pagi Dunia


Menghirup udara bersih di awal pagi
tenang dan damai rasa di hati

Kicauan burung yang riang menyanyi
membuat aku tersenyum sendiri

Bila sang mentari menyinari
seluruh dunia indah berseri

Menghayati anugerah ciptaan Ilahi
hati bertasbih tanda memuji

Salam sabtu di bumi ump..selamat pagi!
Moga redha Allah mengiringi


.:seharum mawar..mekarnya mewangi:.

seusai riadah,
November 13
sutera_iman


Monday, October 25, 2010

Ketika Bayu Menyapa

Awan biru berarak tenang. Sang bayu bertiup nyaman. Laut dan pantai menjadi saksinya. Saksi kita pernah bersama. Bersuka ria. Riang ketawa. Bercanda bersama. Dijalan ini kita bersua. Dan terus bersama. Membawa risalahNya. Dan InsyaAllah sampai menutup mata.

Bayu terus menyapa. Seketika aku terbuai dalam irama sang ombak. Indahnya saat itu. Di depan mata terbentang keagunganNya. Diiringi ketawa teman sekeliling. Dunia ini indah. Bila semuanya kerana Allah.

***

Mana sorakan biru?

Sabar! Tengah berfikir ni.

Yang lain menunggu. Menumpu sepenuh perhatian.

Ok, satu dua tiga…
Biru….tenang…..

Hahaha…ketawa mereka meletus.

Biru, memang si tenang.

***

Di gigi air, masing-masing terbongkok.

Tu, cepat tangkap. Ada satu lagi.
Ok, buat garisan.

Yang lain datang menjenguk. Berminat dan turut serta.

Ish..kesian kat dia. Dah jadi nyawa-nyawa siput.

Haha..pepatah baru ke ni?

***

Dan bayu terus menyapa alam. Kekadang tenang kekadang garang. Moga kami juga seperti bayu. Terus menjalankan amanah. Tetap setia dijalanNya. Walau perlahan atau berlari kencang. Tanpa lelah atau putus asa. Hingga akhir nyawa. Hingga hujung usia.

Satukan hati-hati kami Ya Allah. Ameen.

 memori Kempadang,
Oktober 24, 2010


Thursday, October 21, 2010

Monolog Sang Hati




Allahu Rabbi..
Tiada kata yang terluah
Hanya perasaan diburu gelisah
Allah..
Tanggungjawab kian bertambah
HambaMu ini terlalu lemah
Ya Allah..


Wednesday, October 6, 2010

Indahnya Bahasa

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah, keadaan kembali normal. Hati semakin tenang walaupun tugasan semakin banyak. Kesibukan makin menghimpit (tapi banyak buang masa lagi...Ish, apa nak jadi ni?). Tak tahu nak coret apa sebenarnya ni. Tapi terasa nak menulis juga. Menulis itu satu terapi. Ye ke? Entahlah. Mungkin ya kot.

Orang kata saya ni bersastera. Haha, rasa macam nak gelak je bila mereka kata macam tu. Tak pernah-pernah pun ambil aliran sastera. Belajar sastera dulu pun sebab memang itu silibus dalam BM. Itu pun hanya komponen sastera (komsas). Tapi saya akui, saya suka bahasa yang puitis. Saya suka kata-kata yang memberi motivasi. Tapi bukanlah ayat-ayat yang tinggi gaya bahasanya. Tak terjangkau dek akal nak fikir apa maknanya. Sastera itu terlalu hiperbola, metafora, anafora, dan macam-macam lagi la. So, saya ni bukanlah orang sastera.

*****
WANITA

Wanita
Kaulah ratu kaulah bidadari
Kau idaman setiap lelaki
Peneman sejati dikala sepi
Penyejuk damai hati ini
Penunjuk arah tatkala gelita
Penawar hati disaat duka.

Oh wanita
Di dunia kaulah harta
Umpama permata yang paling berharga
Dipuja dan didamba oleh semua
Keranamu dua Adam bersengketa
Keranamu jua bahagia tercipta.

Wanita yang kucinta
Kecantikanmu bukan untuk dijaja
Maruahmu bukan untuk dinoda
Mahkotamu bukan untuk manusia durjana
Tapi untuk yang berhak sahaja
Yang berjanji melafaz setia
Berikrar kasih di dalam redhaNya.

Wanita
Indahmu bukan kerana rupa
Jua bukan kerana lirikan mata
Tidak jua kerana lenggok manja
Tapi kerana iman di dada
Terbias seri pada wajahnya
Kerana taqwa seorang hamba.

Duhai wanita
Jadilah dirimu mentari hati
Sopan bicaramu menambah seri
Lembut gayamu hiasan peribadi
Indah akhlakmu menawan diri
Teguh taqwamu pada Ilahi

Oh wanita ku sayang
Kita penghuni terbanyak di neraka
Kerana dosa diatas dunia
Kitalah jua bidadari di sana
Memegang title wanita solehah di dunia
Lantas wanita ku tercinta
Mana satu yang kau damba?
Nikmat dunia yang sementara
Atau indahnya syurga di hari muka.

*****
Atas permintaan seorang teman, maka terhasillah puisi ini. First time cipta sendiri tapi masih mengambil inspirasi orang lain. Haha..macam mana tu? Yang penting tak copy paste, betul tak? Asalnya seorang teman meminta tolong untuk buatkan sajak tapi mula-mula memang menolak. Ish, memang silap orang dia minta tolong. Tapi tak nak tolong kesian pula. Hajatnya nak copy paste sajak orang lain tapi tak jumpa yang sesuai. Tu sebab jadilah sajak yang entah apa-apa tu.
 
Saya bukan orang sastera kan? Walaupun sastera agak menarik untuk diterokai, namun saya cuma mengkagumi gaya bahasanya sahaja. Indahnya bait-bait kata, halus dan berseni bicaranya. Itulah seni bahasa. Cuma persoalan saya, bersastera dan berpuitis adakah sama?
 
Lagi satu sifat saya, saya tak suka menulis menggunakan shortform. Merosakkan bahasa. Kalau menaip mesej, terpaksa jugalah menggunakannya. Untuk menulis walau hanya chatting bersama kawan, saya sebolehnya mengelak menggunakan shortform. Mungkin untuk menghargai bahasa itu sendiri. Lebih menjengkelkan saya, apabila melihat bahasa muda-mudi sekarang. Ke jadi kew, aku jadi aq dan sebagainya. Dimana bahasa kita? Hehe..macam perjuangan menegakkan bahasa ibunda pula. Kata pepatah, bahasa jiwa bangsa. Jadi, cintailah bahasa kita!
 
Panjang pula coretan petang ni. Tadi kata tak tahu nak tulis apa..huhu.. Alhamdulillah, idea dari Allah. Salam maaf dari saya andai ada yang tidak bersetuju atau terasa dengan kata-kata saya.

Monday, October 4, 2010

Secangkir Rasa Di Hati

Alhamdulillah
Alhamdulillah
Alhamdulillah

3 0ktober 2010, genaplah umur saya 21 tahun. 21 tahun bernafas di atas dunia ini. 21 tahun Allah memberi saya kesempatan untuk menikmati hidup. 21 tahun menjadi hamba Ilahi. Alhamdulillah untuk semua itu. Namun, sepanjang 21 tahun, apakah saya benar-benar menjadi hambaNya. Astagfirullahala'zim...

Allah ya Allah...pada 3 oktober itulah juga saya bermain dengan perasaan. Berperang dalam diri. Saya benar-benar merasa kesakitan itu. Antara menerima atau menolak. Saya dalam dilema. Kepada Dia saya memohon petunjuk. Setelah hampir dua hari berfikir, akhirnya saya terpaksa menolak. Berat untuk saya melakukannya. Rasa bersalah menguasai diri. Tapi saya terpaksa melakukannya atas sebab-sebab tertentu. Kepada mereka, saya mohon maaf. Kepada Allah juga saya memohon agar inilah yang terbaik untuk semua.

daripada seorang sahabat..

Dan buat semua teman yang memberi ucapan dan mendoakan saya, jutaan terima kasih saya ucapkan. Kalian membuatkan saya tersenyum. Tersenyum walaupun hati saya tidak tenteram. Kalian hadiah dariNya untuk merawat kesakitan itu. Terima kasih Ya Allah.

21 tahun telah berlalu...masihkah ada hari esok untuk diri ini?

Saturday, May 1, 2010

Lain Yang Ku Mahu, Lain Yang Ku Serbu

Semalam, keluar makan-makan bersama beberapa orang sahabat dan akak-akak yang akan ke LI. Sampai je di lokasi, tempat pertama yang dilalui adalah kedai ni. Tapi tak singgah lagi, lalu je kat depan sambil mata dah jeling-jeling mencari sesuatu. Then, terus pusing-pusing sampai tingkat atas sekali untuk cari lokasi destinasi sebenar yang ingin dituju. Rupanya ada kat tingkat bawah sekali. Huhu..penat-penat aje pusing kat situ.

Sebelum sampai ke destinasi, kena lalu depan kedai ni dulu. Then kali ini, singgah la kejap. Sebenarnya, kedai ni adalah satu kemestian setiap kali ke sini. Tengok-tengok tudung, tapi tak ada yang berkenan. Lepas tu, terus ke depan untuk tengok buku. Tinjau-tinjau, buku yang dicari tak ada kat sini. Tapi jumpa satu buku yang agak menarik minat untuk membelinya. Sebelum ni, memang dah baca review tentang buku ni. Macam best aje. Tapi masih berkira-kira nak beli ke tak. Maklumlah, hujung-hujung sem ni, ekonomi pun dah tak stabil. Akhirnya, tak beli buku ini.  Kaki terus dilangkah ke destinasi utama.

Dah nak habis makan, dapat mesej dari seorang sahabat ajak jalan-jalan. Bila saya bagitahu saya keluar, terus ada kiriman pesanan. Lepas makan, patah balik ke kedai ni untuk beli kiriman tu. Then, tengok balik buku tadi. Rasa nak beli je tapi masih berkira-kira lagi. Akhirnya, beli jelah. Lagipun, buku yang diidam tak ada.

Jeng..jeng..jeng. Ini dia buku itu.



Sedikit sinopsis untuk buku ini:
DENYUT KASIH MEDIK merupakan sebuah kisah perjuangan seorang doktor muda mengaplikasikan syariat di hospital ketika bergelar doktor pelatih (houseman). Ia juga kisah masyarakat kerana menyentuh isu-isu perubatan dalam kehidupan masyarakat. Bukan itu sahaja, ia kisah seorang pemuda yang hidupnya sarat impian dan cita-cita. Lebih menarik, ia bukan hanya menyentuh fiqh perubatan bahkan turut menyelitkan fiqh wanita dan fiqh cinta (cinta mengikut tuntutan agama).
Tambahan, buku ini juga turut menyelitkan info-info perubatan baik secara moden mahupun mengikut sunnah Baginda, dalil beserta ayat-ayat Al-Qur'an juga beberapa doa.

Berjayakah misi seorang doktor muda dalam memperjuangkan syariat di hospital ketika bergelar doktor pelatih? Nak tahu kesudahan cerita ini, bacalah sendiri.
Saya sendiri pun belum membedah secara keseluruhan buku ini. Hanya membelek sepintas lalu. Sedaya upaya menahan diri dari membacanya sekarang memandangkan paper belum lagi berakhir. Memberikan fokus pada study dulu walaupun hakikatnya taklah study sangat. Hehe..

InsyaAllah, buku ini akan dibaca masa cuti nanti. Walaupun buku yang di impikan belum lagi ditemui, buku ini menjadi pengubat sementara. Sabar dan terus bersabar. Andai berjodoh untuk membaca buku itu, InsyaAllah akan ketemu jua akhirnya. Cuma lambat atau cepat aje.


bisikan hatiku:
kedai ini adalah Darul Ansar kat Kuantan Parade...

Monday, March 29, 2010

B.F.F

BFF...sebut saja BBF, selalunya ia merujuk kepada 'best friend forever. Haa..apa kata kali ni kita tukar kepada 'BEST FRIEND FILLAH'. Still BFF kan? Lagipun..bila persahabatan kerana Allah, InsyaAllah ia lagi berkat. Bukankah itu yang kita mahu?..segalanya kerana ALLAH.

bertemu dan berpisah keranaNya

indahnya persahabatan kerana Allah

bahagia sama dirai...

duka sama dikongsi...




bisikan hatiku:

Sahabatku, aku sayang kamu kerana Allah.

Sunday, February 28, 2010

Berlabuhnya Tirai KEMBARA

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi atas kelancaran program pada kali ini. Akhirnya, KEMBARA '10 selamat melabuh tirainya dengan program terakhir iaitu perarakan dan majlis penutup. Namun banyak lagi kelemahan dan kekurangan yang harus diperbaiki.

Berlabuhnya tirai KEMBARA pada kali ini bukan beerti meneruskan perjuangan baginda terhenti setakat ini bukan juga bermaksud sunnah baginda harus diketepi. Akan tetapi ia perlu tersemat teguh di dalam hati, diaplikasikan sentiasa setiap hari. Juga ingatan terhadap baginda tidak harus luput dalam diri. Biarlah cinta terhadap baginda sentiasa bersemi, rindu sentiasa mekar mewangi, selawat sentiasa membasahi bibir.

Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini. Terima kasih kepada seluruh ajk yang bertungkus-lumus melancarkan program, terima kasih kepada runner yang sedia menghulurkan tangan, terima kasih kepada semua yang sudi meringankan beban, terima kasih kepada yang iklas berkongsi ke'tension'an, terima kasih kepada yang sentiasa memberi sokongan dan terima kasih kepada semua yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung. Hanya Allah yang mampu membalas jasa kalian.

Penat..memang penat. Tension..sudah semestinya. Tak cukup tidur..tak dinafikan. Risau dan mendebarkan..sangat-sangat terasa. Namun, semua rasa-rasa ini memberi seribu satu kenangan. Pahit, manis, indah..semua ada. Dari kepenatan itulah, pelbagai pengalaman baru diperoleh. Dari ketensionan itulah, pelbagai ragam dirakamkan. Dari debaran dan kerisauan itulah, kepuasan dirasai apabila semuanya selesai.

Benarlah kata orang, walau sepahit mana pun ketika dilalui, ianya sangat indah apabila dikenangkan. Kerana yang pahit dan sukar itulah yang sentiasa dalam ingatan. Ingatan dan kenangan yang sangat berharga untuk diimbas di kemudian hari.

Jutaan maaf juga dipohonkan kepada semua andai terkasar bahasa, tertinggi suara dan segala kekurangan di sepanjang menjayakan program ini. Semoga segala usaha, penat lelah, tension dan segala macam perasaan lagi mendapat keberkatan dariNya.


Bisikan hatiku:
ada ke istilah ke'tension'an?..merosakkan bahasa betul..huhu

Friday, February 26, 2010

Dalam Sedar Dan Mimpi

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Bercakap soal sibuk, pasti ada suara keluhan yang timbul. Penat, letih, tak cukup tidur dan sebagainya. Itulah yang saya rasakan saat ini. Penat, terlalu penat. Namun bukan penat kerana melakukan banyak kerja tapi lebih kepada penat berfikir. Berfikir apa yang harus dilakukan, mampukah saya lakukannya, sempurnakah nanti, berjayakah atau gagalkah? Ahh..semua ini mengganggu fikiran saya.

Hati sedikit gundah, jiwa sentiasa resah. Sungguh, ketenangan seolah diragut pada diri saya. Siang asyik terfikir, malam pula sentiasa termimpi. Sekali diimbas, macam orang mabuk cinta pula. Tapi sayang, ianya tidak seindah mabuk cinta. Siang teringat-ingat, malam termimpi-mimpi..yang ni mabuk apa ye?..

Dalam sedar dan mimpi, ia sentiasa hadir. Kerisauan yang akhirnya memenatkan otak. Kerisauan yang membuatkan fikiran teringat-ingat. Bilakah semua ini akan berakhir? Bilakah? Tak sanggup rasanya untuk terus berada dalam keadaan ini.

Ya Allah,
permudahkanlah segala urusanku
usirkan kerisauan ini jauh dari hidupku
biarkan ia pergi
dan tenanglah duhai diri
kau mampu hadapi

Tuesday, February 2, 2010

Hujung Minggu Yang Hilang

Bismillahirahmannirahim
Segala puji hanyalah bagi Allah swt, tuhan sekalian alam. Salam dan selawat ke atas junjungan mulia, Muhammad Bin Abdullah, kekasih hati setiap mukmin.

Alhamdulillah, syukur padaMu Ya Allah atas segala nikmat yang Kau berikan. Nikmat kekuatan yang terutamanya. Tanpa nikmat ini, mungkin saya tidak mampu bertahan saat ini. Sungguh, saya lemah saat ini. Namun, saya masih boleh bertahan dan masih boleh berdiri lagi walaupun saya sendiri tidak pasti selama mana lagi saya mempu lakukannya.

Seminggu yang memenatkan, seminggu yang dijalani dengan rasa tertekan, seminggu yang penuh suka-duka dan seminggu yang bermacam-macam. Dan tidak boleh dinafikan, minggu lepas adalah minggu air mata. Mana tidaknya, hampir setiap hari air mata menitis. Pelbagai perkara yang membuatkan air mata sering berguguran. Yang bahagia, sedih, tertekan, terharu dan macam-macam perasaan lagi yang timbul yang menyebabkan air mata membasahi pipi.

Dan minggu ini pula adalah minggu yang genting. Minggu yang akan menyesakkan kepala dengan himpunan test. Lima test dalam masa satu minggu, bermula dengan semalam dan empat lagi pada hujung minggu ini. Alhamdulillah, berita baik yang diterima tadi sedikit sebanyak melegakan. Satu test akan ditunda ke minggu depan.

Memikirkan test, assignment, usrah dan bermacam-macam program membuatkan hati tidak tenteram. Semuanya serentak dan bertindih pada hujung minggu. Hujung minggu kini bukan lagi masa untuk berehat, untuk bersenang-senang di atas katil atau bergoyang kaki. Teringat kata-kata seorang sahabat " jangan fikir nak himpunkan kerja dan siapkan hujung minggu..kerana hujung minggu bukan milik kita lagi.."

Lumrah manusia, bila terlalu sibuk..mengeluh nakkan rehat, merungut tak cukup masa dan sebagainya tapi bila tak ada kerja..masa dibuang begitu sahaja. Aishh..bilalah nak buang perangai yang satu ni?

Hargailah setiap saat yang kita ada kerana masa tidak akan menunggu kita. Masa yang telah berlalu takkan kembali lagi. Semoga minggu ini dapat dilalui dengan baik..

Bisikan Hatiku:
Ya Allah, berikan aku kekuatan dalam menghadapi hari-hari mendatang..

Saturday, January 30, 2010

Tak Mampu Ku Hindari

Air mata perlahan-lahan membasahi pipi. Perasaan saya bercampur aduk. Antara sedih, bersalah, menyesal, serabut, down...semuanya menjadi satu..membuatkan hidup saya tidak tenang. Sedih melayan perasaan ketika membaca sebuah cerpen, bersalah kerana telah melukai hati seseorang, menyesal kerana bertindak mengikut nafsu, serabut dengan segala bebanan kerja dan down dengan semangat yang kian hilang.

Namun, rasa bersalah lebih mengatasi segalanya. Bersalah kerana menyebabkan orang lain terasa dengan kata-kata saya. Mungkin seorang, mungkin dua atau mungkin lebih yang telah terasa dengan saya. Namun saya pasti, ada yang terasa. Percayalah, saya tak bermaksud untuk melakukannya. Bukan itu niat saya.

Betullah kata orang, 'terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata sesalnya tak sudah'. Mungkin ada yang menyokong tindakan saya, namun itu tidak membuatkan rasa bersalah itu hilang. Kerana saya tahu, ada hati yang terluka.
Tak mampu ku hindari apa yang telah terjadi. Done is done, past is past. Tiada apa yang boleh mengubahnya. Namun yang kupohon, maafkanlah saya. Maafkan kekhilafan diri ini. Kerana saya insan yang tak sempurna, punyai banyak kelemahan dan kekurangan. Maafkan segala salah dan silap saya. Hanya ini pintaku.


Bisikan hatiku:
Andai saya pernah menyakiti sesiapa.. baik secara sengaja mahupun tidak, saya minta maaf..

Tuesday, January 26, 2010

Damai Yang Ku Cari


Hijau itu kedamaian,
Hijau itu ketenangan..


cantik...




Subhanallah...



indah ciptaanMu...



jangan ikut resmi lalang...


sehijau warna daun...



Melihat kehijauan..

Hati inginkan kedamaian..

Inginkan ketenangan..



Tenanglah hati..

Hadapi dengan kekuatan diri..


Thursday, November 19, 2009

Akhirnya...

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah, selesai sudah segala perjuangan untuk semester ini. Perjuangan bagi seorang yang bergelar pelajar. Perjuangan menuntut ilmu yang mana berakhir di dewan peperiksaan. Dan semalam adalah saat itu yang mana berakhir dengan paper mechanics.
Saat kaki melangkah keluar dari dewan exam, nafas lega mampu ditarik. Lega kerana berjaya mengharungi segalanya, lega kerana akhirnya penat lelah, stress, dan segala masalah boleh ditolak ke tepi. Biarpun ia hanya untuk sementara.
Ya..ianya hanya sementara. Perjuangan ini masih belum berakhir. Perjalanan hidup ini masih jauh. Masih banyak lagi yang menanti di hadapan. Semoga hari-hari mendatang mampu kutempuhi dengan tabah. Semoga hari-hari esok menjanjikan kejayaan dan kebahagiaan. Amin..



Bisikan hatiku:
masa untuk balik kampung..
my home..wait for me!..