Pages

Thursday, April 29, 2010

Bunga atau Mutiara?

Bunga atau mutiara? Buat yang bergelar gadis, perempuan, wanita mahupun muslimat, saya tujukan soalan ini kepada anda. Adakah anda bunga atau mutiara? Bunga cantik, begitu juga dengan mutiara. Mana satukah yang anda pilih? Ya, bunga baunya wangi, warnanya cantik, menggoda dan menarik, manakala mutiara tinggi harganya dan cantik juga.


Tetapi, bunga umurnya pendek. Cepat layu jika dipanah terik matahari atau diganggu oleh tangan manusia atau binatang. Mungkin ada orang memetiknya, lalu ia akan layu dengan cepat. Umur bunga sangat pendek.

Sedangkan mutiara akan kekal kelihatan cantik selama-lamanya jika ia terus berada di dalam cenkerangnya. Ia tidak bersinar melainkan kepada yang berhak dan layak.



Kedua-duanya cantik tetapi kecantikan mutiara berkekalan sementara kecantikan bunga hanya sementara. Demikian juga dengan para gadis. Gadis yang tidak menutup aurat cantik tetapi ia sama seperti bunga. Manakala gadis yang menutup aurat dengan sempurna adalah mutiara yang amat cantik. Pasti terdapat perbezaan antara kedua-duanya.

Oleh itu wahai saudariku! Wahai orang-orang yang merindui syurga dan merindui para pemuda di dalamnya yang kekal abadi serta kenikmatan yang berpanjangan! Ketahuilah syurga Allah mahal harganya! Ketahuilah syurga Allah mahal harganya!


Setiap gadis yang beriman bahawa Allah sebagai tuhannya, Muhammad saw sebagai nabinya dan Islam sebagai agamanya hendaklah memerhatikan firman Allah swt (surah Ali ‘Imran ayat 102):


يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.”


Kembalilah!

Islam bererti menyerah, menerima serta tunduk kepada segala perintah Allah dengan penuh kerelaan dan reda. Apakah yang Allah swt perintahkan kepada anda wahai saudariku? Dia memerintahkan anda supaya menutup aurat. FirmanNya (surah al-Nur ayat 31):

وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ

Maksudnya: “...dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju dengan tudung kepala mereka...”


Jika benar anda beriman, ini bererti anda menyerah, menerima dan tunduk kepada perintah Allah. Jika anda menyerah, menerima dan tunduk kepada perintah Allah, maka taatlah perintah Allah dan laksanakanlah suruhanNya.


p/s: peringatan buat diri sendiri juga..


bisikan hatiku:
Ya Allah, aku memohon bantuanMu. Bantulah daku menghadapi diriku sendiri dan godaan-godaan dunia... Aku bertawakkal kepadaMu, wahai Tuhanku. Engkaulah segala-galanya bagiku... Tiada Tuhan bagiku selainMu. Maka perelokkanlah seluruh hal ehwalku.”

Thursday, April 22, 2010

Biru Itu Indah

Kata orang, biru itu melambangkan ketenangan.
Bagi saya, biru itu bukan sahaja melambangkan ketenangan tapi juga kedamaian dan kelembutan.

Kata sahabat saya, pink lebih cantik. Kata saya, biru lebih cantik dan lebih indah.

Kenapa saya kata macam tu? Sebabnya, biru adalah warna kegemaran saya. Biarpun apa orang kata, biru tetap menjadi pilihan saya. Namun bukanlah saya taksub dengan warna biru. Warna lain tetap menjadi pilihan saya tapi warna biru masih ditangga teratas.

Kenapa saya suka warna biru? Sebabnya, saya suka tengok laut, tengok pantai dan tengok langit. Bila memandangnya, saya rasa tenang. Hilang resah seketika.


tenang dan damai... bilalah dapat pergi pantai lagi?

Kata sahabat saya yang lain, tak kisahlah nak minat warna apa pun, asalkan kita semua bahagia, ceria dan lebih bersemangat.

Hakikatnya, semua warna datang dari Allah. Buatlah apa yang kita sukai, lakukanlah apa yang kita cintai asalkan ia tidak melanggar suruhanNya.

bisikan hatiku:
sambil dengar lagu 'sebiru hari ini'...

Friday, April 16, 2010

Duhai Insan Bergelar Hamba

Duhai insan bergelar hamba,
Ketahuilah hidup ini tidak selalu tenang,
Hidup ini tidak selalu senang...

Adakalanya,
Hidup ini sering bergolak,
Hidup ini sering dilambung ombak...

Duhai insan bergelar hamba,
Ketahuilah, hidup ini telah ditentukan,
Hidup ini dirancang Tuhan...

DIA maha mengetahui segalanya,
DIA arif tentang ciptaanNya...

Duhai insan bergelar hamba,
Usah dipertikai segala ketentuan,
Usah dipersoal segala takdir Tuhan,
Usah dirungut segala perancangan...

Tempuhilah kehidupan dengan redha,
Hadapilah segala fitnah manusia,
Harungilah segala fitrah dunia,
Laluilah segala dugaan dariNya...

Gagahi diri dengan keimanan,
Perkasakan diri dengan ketaqwaan,
Kuatkan diri dengan Al-Quran,
Yakinkan diri dengan janji Tuhan...

Duhai mujahid,
Yang impikan mardhatillah,
Usah gentar,
Usah gusar,

Usah sedih,
Usah menangis,
Usah kecewa,
Usah terkesima...

Berjalanlah di bumi ini,
Dengan keyakinan yang mantap.

Bergeraklah di bumi ini,
Dengan keimanan yang kuat.

Berlarilah di bumi ini,
Dengan ketaqwaan yang sebenar.

Jangan!
Jangan ditangisi apa yang terjadi.
Jangan dikesali apa yang menimpa,
Jangan dirunguti apa yang ditentukan.

Segala yang terjadi pasti ada hikmahnya,
Di sebalik kesusahan pasti ada kesenangan.
Di sebalik sedih pasti ada gembira,
Di sebalik tangisan pasti ada hilai tawa.

Duhai pejuang,
Bergembiralah dengan setiap dugaan.

Senyumlah tatkala ditimpa cubaan,
Berbahagialah dengan segala ujian,

Kerana sesungguhnya,
ALLAH dekat denganmu.

Wednesday, April 14, 2010

Layakkah Aku Impikan Mujahid??

Terkadang hati ini tertanya-tanya, siapakah pendamping hidupku kelak? Siapakah mujahid yang bakal menjadi imam pada setiap solatku? Resah gelisah hati menunggu, mengira setiap detik dan waktu, adakah impian ini akan menjadi kenyataan? Bersama-sama si mujahid, menemaninya dalam perjuangannya. Doaku padaNya “Ya Allah, kurniakanlah kepada ku hamba Mu yang soleh sebagai nakhoda duniaku, agar dia dapat melayar dan membimbing hidupku menuju syurgaMu…”

Arghh..apakah aku terlalu bercita-cita? Layakkah diri ini mengimpikan seorang mujahid sedang diri bukanlah seorang mujahidah? Bukan jua impian sang mujahid. Ya Allah, aku lupa.. seorang mujahid, tujuannya satu… berjuang malah berkorban untuk menegakkan Deen-ul-haqq. Tapi, sanggupkah diri ini hanya memperoleh secebis hati si mujahid yang telah sarat dengan cintanya kepada yang lebih berhak?? Sanggupkah diri ini sering ditinggalkan tatkala si mujahid perlu ke medan juang?? Malah sanggupkah diri ini melepaskan si mujahid pergi sedangkan hati ini tahu si mujahid yang teramat dicintai mungkin akan keguguran di medan juang??..

Mampukah aku mengingatkan si mujahid tatkala dia terlupa dan terleka dari cintanya dan tugasnya demi Rabbnya?? Atau aku juga akan turut hanyut malah lebih melemaskan lagi si mujahid dengan cinta duniawi?? Ya Allah, akukah yang akan menjadi fitnah yang melekakannya dari perjuangannya yang dulu cukup ikhlas hanya untuk Rabbnya??? Oh tidak!! Aku tidak mahu menjadi penyebab si mujahid leka akan tanggungjawabnya yang lebih besar…tanggungjawabnya untuk Ad-Deen ini.

Ah..sudahlah wahai hati, hentikan saja angan-anganmu, hentikan saja kiraan waktumu… Masanya belum tiba untuk kau memiliki si mujahid, kerana kau sendiri belum lagi menjadi seorang mujahidah yang sebenar!! Hati, janganlah kau sibuk mengejar cinta mujahid, tetapi kejarlah cinta Penciptanya. Hati, janganlah kau lekakan aku dengan angan-anganmu…sedangkan masih terlalu banyak ilmu yang perlu kau raih. Hati, sedarkah engkau ujian itu sunnah perjuangan?? Tapi kau masih terlau rapuh untuk menghadapinya…kau perlu tabah!! Dan aku tahu, kau tak mampu untuk menjadi sebegitu tabah hanya dalam sehari dua… Duhai hati, bersabarlah… perjalanan kita masih jauh. Bersabarlah…teruskan doamu..

p/s: tiada kena-mengena dengan diri ini...

Tuesday, April 13, 2010

R.E.M.A.J.A.

Remaja adalah kekuatan, ia bagaikan sinar mentari, sesungguhnya mentari tidak dapat bersinar di senja hari secerah ketika di waktu pagi. Begitu juga pepohonan berbuah ketika masih muda, sesudah itu semua pohon tidak lagi menghasilkan apapun kecuali ranting. Remaja adalah tahap umur yang datang setelah berakhirnya masa kanak-kanak. Pertumbuhan dan perkembangannya sangat cepat sehingga menyebabkan perubahan yang besar terhadap sikap, kesihatan dan keperibadiannya.



Jadilah remaja yang mampu berbakti kepada agama..

Remaja adalah insan yang mencari sesuatu dalam dirinya sendiri, kekalutan dalam menemukan titik identiti diri menyebabkan ia bagaikan meraba gajah di dalam gelap. Seseorang yang kebetulan memegang kaki gajah mengatakan bahawa gajah itu hanya sebesar bola, sedangkan seorang lagi terpegang telinganya mengatakan bahawa gajah itu lembut dan lemah seperti kelinci, begitu juga yang lain kebetulan memegang gadingnya mengatakan bahawa gajah itu kecil dan tajam. Begitulah persepsi para remaja dalam mengertikan kehidupan.

Remaja yang ingin melihat dirinya dalam bentuk yang utuh harus memahami akan hakikat dirinya sendiri agar tidak menjadi seperti meraba gajah di dalam gelap. Sesungguhnya di dalam diri insan terdiri dari unsur roh, jasad dan nafsu. Roh merupakan sumber kehidupan yang mengatur fikiran dan hati untuk bertanggungjawab kepada Ilahi. Jasad, berasal dari tanah dan akhirnya akan kembali ke tempat asalnya. Begitu juga nafsu, jika dibawa ke jalan yang lurus, maka akan luruslah kehidupan kita, namun jika diikuti kehendaknya maka tersesatlah dalam jurang kenistaan. Hiasi diri dan peribadi dalam menempuh kehidupan yang mungkin masih panjang.

Setiap remaja harus mempersiapkan diri sebagai khalifah Allah. Mereka harus mempunyai tujuan dan kesungguhan sebagai insan yang taat dan kreatif. Tujuan hidup yang tidak bercanggah dengan kehendak Islam hendaklah disemai ke dalam diri seorang remaja jika mereka mahu berjaya dan maju sebagai generasi yang cemerlang dan diberkati.


REMAJA HARAPAN AGAMA!

Saturday, April 10, 2010

Salam Imtihan

Ya Allah Ya Tuhan Kami!
Kami memohon daripadaMu kefahaman para nabi, ingatan para rasul dan malaikat terhampir.

Ya Allah Ya Haq!
Jadikanlah lidah kami ini basah dengan zikir kepadaMu, hati kami dipenuhi dengan takut kepadaMu. Sesungguhnya Engkau maha berkuasa di atas segala apa yang Engkau kehendaki.

Ya Allah Ya Rahim!
Sesungguhnya kami menitip apa yang kami baca, faham dan hafal kepadaMu. Maka kembalikanlah ia kepada kami ketika kami memerlukannya. Sesungguhnya Engkau maha berkuasa di atas segala sesuatu.

Ya Allah Ya Azim !
Lapangkanlah bagi kami dada kami. Dan mudahkanlah bagi kami tugas kami. Dan lepaskanlah simpulan daripada lidah kami, supaya mereka faham perkataan2 kami.

Ya Allah Ya Sobur!
Tidak ada kesenangan melainkan pada perkara yang engkau jadikan kesenangan padanya. Dan engkau menjadikan kedukacitaan dan kesukaran sebagai mudah dan senang jika Engkau kehendaki.

Ya Allah Ya Tuhan Kami!
Permudahkan segala urusan kami dan jadikanlah kejayaan itu MILIK KAMI !

~SALAM IMTIHAN BUAT SEMUA~