Pages

Photobucket

Monday, January 18, 2010

Semaikan Cinta Ini

Berbicara tentang cinta, usah sempitkan pemikiran kita. Cinta itu luas maknanya. Cinta itu universal. Kerana cinta, kita bahagia. Kerana cinta, hati terluka. Kerana cinta juga, kita mampu mengecap kejayaan dan kecemerlangan baik di dunia mahupun di akhirat. Berbicara soal ini, teringat saya kepada ceramah semasa program Semalam Bersama Masjid yang diadakan baru-baru ini. Saya tertarik dengan tip 5C dari pengkongsian ceramah itu. Jika inginkan kecemerlangan dunia dan akhirat, suburkan 5C ini. Bukan cerdik, cerdas, ceria, cakna mahupun cermat tetapi CINTA.

1) CINTA KEPADA ALLAH DAN RASUL
Cinta yang utama hanyalah kepada Allah dan diikuti cinta kepada rasulNya. Usah sandarkan cinta kita kepada manusia kerana cinta sejati hanya milikNya. Bagaimana untuk mencintai Dia? Patuh, taat dan tunduklah pada suruhanNya. Tinggalkan segala perkara yang dilarangNya. Lakukan apa yang disuruh serta tinggalkan apa yang ditegah..itulah bukti cinta kita.

2) CINTA KEPADA IBUBAPA
Cintailah mereka dengan sepenuh hati seperti mana mereka mencintai kita. Berbaktilah kepada kedua orang tua kita kerana jasa mereka tak ternilai harganya. Restu mereka penentu kejayaan dan kebahagiaan kita. Sesungguhnya, redha Allah terletak pada redha ibubapa kita.

3) CINTA KEPADA ILMU
Jika kamu inginkan kejayaan di dunia, hendaklah dengan ilmu,
Jika kamu inginkan kejayaan di akhirat, hendaklah dengan ilmu,
Jika kamu ingin kejayaan kedua-duanya, hendaklah juga dengan ilmu – (imam syafie)

Disini kita dapat melihat peri pentingnya ilmu dalam kehidupan kita. Bukan setakat untuk berjaya di dunia malah untuk akhirat juga kita memerlukan ilmu. Oleh itu, usah dikejar ilmu keduniaan sahaja sehingga melupakan akhirat tetapi seimbangkanlah kedua-dua ilmu duniawi dan ukhrawi ini. Cintailah ilmu kerana dunia akhirat tagihkan ilmu.
Rasulullah saw. bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang merintis jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan mempermudahkan baginya jalan untuk ke syurga.”


4) CINTA KEPADA PERSAINGAN
Persaingan yang dimaksudkan disini ialah persaingan sihat. Bukan persaingan yang akan menjatuhkan orang lain. Kita bersaing untuk memperbaiki diri dari tidak baik kepada baik, dari baik kepada lebih baik dari lebih baik kepada yang terbaik. Kita bersaing untuk mendapat cintaNya, mencapai redhaNya. Kita berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan. Bersaing secara sihat, bersaing secara hormat..inilah yang kita perlukan.
Dan C yang terakhir bukanlah cinta kepada kekasih, teman wanita, teman lelaki atau seangkatan dengannya tetapi C itu ialah cinta kepada...


5) CINTA KEPADA UMMAH
Untuk mendapat kejayaan yang sebenar disisi Allah, cinta kepada ummah inilah pelengkapnya. Kita dituntut untuk mengasihi antara satu sama lain. Kita juga punya tanggungjawab yang besar terhadap ummah, terhadap saudara kita. Hormat-menghormati, tolong-menolong serta yang paling utama ialah mengajak kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran. Inilah peranan kita.

Cinta..cinta..cinta..Dan cinta inilah yang membawa kita kepada kejayaan. Jadi, semaikan ia, suburkan ia. Semoga kejayaan mengiringi kehidupan kita. InsyaAllah..

No comments:

Post a Comment