Pages

Photobucket

Friday, August 27, 2010

Atas Nama Cinta

Kita belajar makna cinta dari seorang ibu yang menyusui anaknya dalam dukungan. Kedua belah tangannya sibuk membetulkan selimut si bayi. Dalam dadanya tiada sesuatu selain ketulusan memberi atas nama cinta.

Kita belajar makna cinta dari seorang ayah yang membawa pulang sekarung padi dan sejag air setelah seharian berpenat-lelah di sawah. Dalam dadanya, tiada sesuatu selain kegembiraan memberi atas nama cinta.



Kerana cinta bukan hanya sekadar pelukan hangat, belaian lembut, atau kata-kata penuh romantis. Kita belajar apa itu cinta dari apa pun yang ada di muka bumi. Dari cahaya matahari, dari sepasang merpati, dari sujud dan tadahan doa. Dari apapun!

Pada semua kelahiran yang bersambut dengan cinta, hingga kematian dalam cinta, kita dalam hidup ini, tiada lain selain mewujudkan cinta.

Kerana itu, tiada yang boleh kita lakukan selain atas nama cinta kita yang teragung: cinta buat Yang Maha Agung, Allah SWT.

Apapun keputusanNYA buat kita, Allah yang berbicara, yang menentukan untung nasib kita, kerana setiap sesuatu yang ditakdirkan itu pasti ada hikmahnya.

Sunday, August 22, 2010

Bahasa Diam

Awak dah ada seseorang yang istimewa ke?
Diam.
Macam mana awak boleh kenal dia?
Diam lagi.
Dia tu kacak tak? Dia orang mana?
Masih lagi diam. Sesekali tersenyum dengan pertanyaan rakannya itu.
Ish..awak ni. Saya tanya tu, awak diam, saya tanya ni awak diam..malaslah nak layan awak.


***
Kadang-kadang diam adalah pilihan yang paling baik.


Bila tiada jawapan untuk sesuatu persoalan, diam salah satu pilihan.


Bila api kemarahan memuncak tinggi, diam itulah air yang menyejukkan perasaan.


Bila hati dilanda kesedihan, diam itu pengubat rasa.


Bila diri merajuk, diamlah kadang-kadang yang menjadi pemujuk.


Sukar dimengerti, susah untuk difahami. Itulah bahasa diam. Dalam diam ada seribu pengertian. Dalam diam ada seribu persoalan. Dalam diam ada seribu jawapan. Dan dalam diam juga ada seribu tafsiran.


Ada 'diam-diam ubi berisi' dan ada juga 'diam-diam besi berkarat'. Kata orang tua-tua 'diam itu tanda setuju'. Mungkin ya mungkin tidak. Kerana bahasa diam hanya didengari oleh hati yang berbisik. Tiada ucapan mahupun luahan.


Andai berdiam diri itu yang yang terbaik, diamlah. Andai dengan diam mendatangkan keburukan, maka bersuaralah.

Nabi saw bersabda: "Berdiam diri itu mengandungi hikmat-hikmat dan sedikit benar orang yang membuatnya"

Friday, August 13, 2010

No Title 3

Oh, Tuhan!
Untuk semua yang semestinya aku lakukan
tapi tidak aku lakukan
dan untuk semua yang semestinya aku tinggalkan
tapi tidak aku tinggalkan
aku memohon keampunan dari-Mu
Oh, Tuhan!
Untuk dosaku yang kalau sekalipun tidak terhitung
dalam bilangan yang diketahui oleh manusia
dan ingkarku yang kalau sekalipun melayakkan aku
menjadi manusia paling ingkar
aku memohon keampunan dari-Mu
Oh, Tuhan!
Aku sujud penuh hina mengakui
Engkaulah Rabb dan akulah hamba.

Ramadhan yang hadir cuma sekejap, hargai ia sebaik mungkin.
Salam Ramadhan Kareem


Saturday, August 7, 2010

Doa: Kita Meminta DIA Mendengar

Doa itu senjata orang beriman. Doa adalah senjata yang unik. Senjata yang bukan sekadar menyerang, namun senjata yang dapat memberi kekuatan, ketenteraman dan keyakinan kepada diri tuan punya senjata.

Semasa berdoa, kita bercakap dan Tuhan mendengar. Kita merintih, Tuhan mendengar. Kita berdoa dan meminta, Tuhan terus mendengar. Tanpa jemu. Hingga kita jemu berdoa. Sehingga kita dicabut nyawa olehNya. Dia mendengar setiap bisikan hambaNya.

ADAB BERDOA

- Ada puji-pujian kepada Allah, selawat dan salan ke atas Rasulullah, keluarga dan para sahabat.
- Berdoa hanya kepada Allah. Sandarkan segala permintaan dan hajat hanya kepadaNya.
- Berdoa dengan bersungguh-sungguh dan penuh keyakinan terhadap kekuasaan Allah SWT dan memohon keampunan daripadaNya.
- Berada dalam keadaan suci dan bersih seperti berwuduk.
- Menjaga sumber rezeki seperti makanan, minuman, pakaian dan segalanya adalah halal.
- Halakan wajah ke arah kiblat dan mengangkat kedua tangan memohon doa.
- Bersikap rendah hati, tulus ikhlas, rendahkan suara, khusyuk serta penuh rasa takut, cinta dan rindu kepada Allah swt.


Ya Allah, kepadaMu aku memohon..

WAKTU DIANJURKAN BERDOA

- Berdoa di dalam Kaabah, ketika di Safa dan Marwah dan di seluruh masjid al-Haram.
- Hari Arafah (9 Zulhijjah), hari yang Allah tidak menolak sebarang permintaan daripada hamba-hambaNya.
- Satu pertiga malam
- Semasa azan dan antara azan dan iqamah
- Semasa sujud dalam sembahyang
- Ketika berhadapan dengan musuh dalam peperangan
- Ketika bermusafir
- Sewaktu hujan turun
- Semasa mendengar ayam berkokok
- Setiap waktu selepas solat fardhu
- Malam lailatulqadar
- Bulan Ramadhan
- Ketika minum air zamzam

Berdoalah. Dan iringi doa dengan usaha dan tawakkal. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar dan Maha Memperkenankan.

Allah suka pada hambaNya yang sentiasa meminta,
tetapi manusia benci pada manusia lain yang suka meminta.
Jadi, berdoalah selalu..

Wednesday, July 28, 2010

MAAFKANLAH!

Berkata memang mudah namun melakukannya cukup sukar. Ya, memaafkan adalah sesuatu yang payah untuk dilakukan lebih-lebih lagi jika hati teruk terluka. Kadang-kadang, bertahun-tahun berlalu namun masih lagi sukar memberi kemaafan.

KEUTAMAAN MEMBERI KEMAAFAN

1) Sikap pemaaf merupakan ciri-ciri orang yang bertakwa.
"Dan segeralah kamu (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhanmu dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa, iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah)! Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara baik." (Ali Imran, 133-134)

2) Allah mengampunkan mereka dan menempatkan mereka di syurga.
"Dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu. Tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah)! Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." (An-Nur, 22)

3) Allah mengasihi mereka yang pemaaf.
"(Orang yang bertakwa ialah) orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah)! Allah Mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara baik" ( Ali Imran, 134)

*****
~ berikanlah kemaafan~

MAAFKANLAH!

Sabda Rasulullah yang bermaksud:
"Orang yang paling gagah perkasa antara kalian semua adalah mereka yang dapat mengawal nafsunya di waktu marah dan orang yang paling sabar antara kamu semua adalah orang yang suka memaafkan kesalahan orang lain padahal dia mampu membalasnya" (Riwayat Ibn Abi al-Dunya dan al-Baihaqi dengan sanad yang daif)

Demi ketenangan jiwa, demi kebahagiaan hidup, maafkanlah mereka yang pernah menyakitimu.

Monday, July 19, 2010

Istikharah: Petunjuk DariNya

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi atas segala nikmat yang diberikan. Syukur kerana kita masih lagi dikurniakan nikmat yang teragung iaitu Islam dan Iman. Syukur kerana kita masih lagi diberi kesempatan untuk terus bernafas di bumi ini. Selagi nadi belum terhenti, selagi kaki melangkah berani, selagi jari masih menari, selagi jasad belum dikebumi, panjatkanlah kesyukuran padaNya atas segala nikmat dan anugerahNya. Ya Allah, terima kasih atas segala anugerahMu padaku.

---------

Dari Saad Bin Abi Waqas r.a. katanya Rasulullah SAW bersabda:

Di antara kebahagian anak Adam ialah solat Istikharah daripada Allah Taala dalam segala urusannya. - (Hadis 146 Mastika Hadis Jilid 2)

Solat istikharah ialah solat untuk meminta perkhabaran atau meminta petunjuk yang baik iaitu apabila kita menghadapi dua pilihan, atau ragu-ragu dalam mengambil keputusan. Umumnya, bila disebut sahaja solat istikharah kebanyakan di kalangan kita hanya terkenangkan ketika hendak memilih jodoh. Ia begitu sinonim sekali dalam membuat keputusan untuk memilih bakal teman hidup tidak kira bagi lelaki atau perempuan. Namun, istikharah tidaklah rigip kepada soal memilih pasangan semata-mata. Istikharah juga boleh dilakukan untuk perkara yang tidak dianggap terlalu besar atau penting seperti hendak membeli rumah, memilih kursus pengajian dan sebagainya.

Hadith dari Jabir bin Abdillah, dia berkata, ” Nabi saw pernah mengajarkan kepada kami beristhikarah dalam segala perkara sebagaimana baginda mengajarkan kepada kami surah dalam Al-Quran.

"Jika salah seorang di antara kalian bingung dalam menghadapi perkara, maka solatlah sebanyak dua rakaat selain solat wajb."

Kemudian, ucapkanlah:

Ya Allah, aku memohon petunjuk daripadaMu dengan ilmuMu dan aku memohon ketentuan daripadaMu dengan kekuasaanMu dan aku memohon daripadaMu akan limpah kurniaanMu yang besar. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa dan Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkaulah yang Maha Mengetahui segala perkara yang ghaib. Ya Allah, seandainya Engkau mengetahui urusan ini (mohon hajat) adalah baik bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan hidupku sama ada cepat atau lambat, takdirkanlah ia bagiku dan permudahkanlah serta berkatkilah aku padanya dan seandainya Engkau mengetahui bahawa urusan ini (hajat) mendatangkan keburukan bagiku, pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan hidupku sama ada cepat atau lambat, maka jauhkanlah aku daripadanya dan takdirkanlah yang terbaik untukku serta berkatilah aku. Berikanlah kebaikan di mana saja aku berada dan jadikanlah aku ini orang yang redha atas ketentuanMu.  


Secara adatnya, solat istikharah dilakukan pada waktu malam yakni sebelum tidur. Tetapi dari segi syariatnya, solat istikharah boleh dilakukan sama ada siang atau malam, terutamanya bila hati terasa tenang. Sebaik-baik waktu untuk melakukan solat istikharah adalah pada 2/3 malam.

Dari segi hasilnya pula, tidaklah menjadi suatu kemestian di dalam istikharah bahawa seseorang itu mendapat melalui mimpi. Hakikatnya tanda istikharah boleh diperolehi dengan pelbagai cara seperti mimpi, gerak hati, ketenangan hati dan sebagainya.


Wallahua'lam.

---------

Ya Tuhan kami, berilah rahmat kepada kami dari sisiMu dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami (ini). - (Al-Kahfi 18:10)



Friday, July 16, 2010

Istimewa Buatmu

Maha suci Allah Tuhan yang menciptakan seluruh alam.
Duhai manusia, kau sebaik-baik penciptaan.
Wahai muslimah, dirimu itu begitu istimewa.

Khas buatmu yang bergelar muslimah










Seorang muslimah,
Merendah diri dalam ketaatan,
Tenggelam bersama pengabdian kepada Tuhan,
Membentengi diri dengan ketaqwaan,
Menghiasi peribadi dengan kesantunan,
Bertutur penuh hikmah dan kebijaksanaan,
Memperkemaskan diri dengan pengetahuan

Seorang muslimah,
Menjalani hidup penuh kesyukuran,
Mengecapi yang diperoleh penuh kesederhanaan,
Menghadapi kehidupan penuh redha dan kesabaran,
Menghulurkan bantuan pada insan yang memerlukan

Seorang muslimah,
Terpancar dari wajahnya cahaya keimanan dan ketulusan,
Terbias keunggulan peribadi dari kebijaksanaan dan ketelitian,
Penuh hatinya dengan cinta kepada Tuhan,
Rindu jiwanya tuk bertemu kekasih junjungan

Seorang muslimah,
Bersiap sedia untuk berkorban,
Demi agama yang dicintai,
Bersiap sedia untuk berkorban,
Buat insan yang dikasihi

Seorang muslimah,
Jiwanya halus penuh kelembutan,
Amalannya diiring istiqamah dan keikhlasan,
Kerana dia mendamba cinta dari Tuhan,
Mengharap redha dari Rabb sekalian Alam,
Merindui pertemuan dihari kebangkitan,
Dengan kekasih bersifat Rahman,
Dialah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.