Pages

Photobucket

Friday, May 7, 2010

Dia Lebih Tahu

Assalamualaikum wbt.
Salam Jumaat yang indah dan penuh berkat. Moga hari ini menghadirkan keceriaan di wajah juga di jiwa kita semua. Sedikit perkongsian untuk hari ini. Moga-moga bermanfaat untuk kita semua. InsyaAllah.

Kita kecewa apabila pilihan hati melupakan kita. Kita berdukacita kerana tidak berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Pendek kata, kita merasa hampa apabila sesuatu yang kita kejar tidak kesampaian. Setiap keputusan yang berlaku ke atas diri kita merupakan ketentuan atau qada’ dan qadar Allah kepada kita, baik yang seiring dengan kemahuan kita mahupun tidak adalah rahmat daripadaNya. Allah SWT berfirman mafhumnya ”.... dan boleh jadi kamu benci akan sesuatu, sedang ia lebih baik untuk kamu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedang ia tidak baik untukmu. Dan Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah 216)


Pengetahuan kita tentang baik atau buruk sesuatu yang kita kejari itu jauh lebih cetek berbanding dengan pengetahuan Allah SWT kerana Dia Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana. Kesemua pilihan atau ketetapanNya untuk setiap hamba seperti kita adalah yang terbaik dan paling tepat. Rahmat dan pemberian Allah kepada para hambaNya datang dalam bentuk dan gambaran yang berbeza-beza. Adakalanya ia terhidang dalam bentuk kebaikan, iaitu ketetapan-ketetapan yang sealiran dengan apa yang dihasratkan oleh hamba-hambaNya. Adakalanya juga ia terhidang dalam bentuk keburukan, iaitu ketetapan-ketetapan yang bertentangan dengan apa yang dicita-citakan oleh hambaNya.

Al-Imam Ibnu Athaillah Assakandary ada berkata yang membawa maksud ;
"Apabila Allah memberi kepadamu, nescaya Dia saksikan kepadamu kebaikanNya. Dan apabila Dia menolakmu, nescaya Dia saksikan kepadamu kekuasaanNya. Maka Dia di dalam semua itu memperkenankan dan menghadapkan kepadamu dengan sifat kehalusanNya kepadamu.”

Jangan sesekali kita merasa ragu-ragu atau sangsi dengan kebaikan dan ketetapan Allah ke atas kita. Selagi kita bergelar mukmin selama itulah kita tidak perlu kecewa walaupun ketetapan yang menimpa kita tidak sepertimana yang kita jangkakan kerana ketetapan yang datang daripada Allah SWT itu adalah untuk kebaikan kita. Rasulullah SAW yang mafhumnya ;
"Demi zat yang diriku ada ditanganNya tiadalah Allah menentukan sesuatu keputusan kepada hambaNya yang mukmin melainkan akan membawa kebaikan kepadanya...." (Muslim)

Golongan mukmin seperti kita wajib menyambut qada’ dan qadar Allah SWT dengan dada yang terbuka. Pilihan-pilihan Allah SWT untuk para hambaNya, adalah yang terbaik kerana Dia Maha Mengetahui. Allah SWT yang Maha Penyayang tidak akan sesekali menganiayai para hambaNya, malah ketetapan-ketetapanNya ke atas kita adalah untuk memastikan kita semua beroleh kebaikan sama ada di dunia mahupun di akhirat. Janganlah ada keraguan lagi dalam hati kita, seolah-olah yang lain dari ketentuanNya itu lebih baik dan lebih sempurna. Tiada ketentuan yang akan membinasakan hambaNya kecuali ke atas mereka yang tidak mengingatiNya. Terimalah dan peliharalah ketentuan Allah dengan baik, sama ada dari segi rezeki, jodoh dan seumpamanya.

Jika ketentuan itu selari dengan apa yang kita cita-citakan maka panjatkanlah kesyukuran kepadaNya. Jika ketentuan itu bercanggah dengan hasrat kita, sambutlah ketentuan itu dengan hati yang terbuka kerana mengikut ilmuNya, ketentuan tersebutlah yang terbaik untuk kita walaupun bertentangan dengan kemahuan kita yang asal. Apabila kita menerima ketetapan-ketetapan Allah dengan penuh ikhlas maka akan terpadam rasa kekecewaan dan keresahan. Kegagalan tidak lagi kita rasa sebagai kegagalan. Kesusahan tidak lagi dirasai sebagai kesusahan.

Apa sahaja ketetapan Allah SWT ke atas kita umat Islam, sama ada ia seiring dengan kemahuan kita atau sebaliknya, kesemuanya untuk kebaikan kita. Dan setiap sesuatu yang tidak kita perolehi itu, InsyaAllah akan digantikan olehNya dengan yang lebih baik daripada apa yang kita inginkan. Walau apapun, percayalah dan yakinilah bahawa Allah SWT lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita berdasarkan ilmu dan kebijaksanaanNya.

Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment