Pages

Photobucket

Tuesday, November 29, 2011

Cerita Tentang Hujan

Hari ini mungkin hujan..tapi esok mentari pasti muncul lagi.
Jika esok masih hujan..yakinlah ia pasti berlalu.

Cerita 1

Kaki langit masih lagi kelihatan suram. Kelabu. Tidak membiru seperti biasa. Hujan masih mencurah-curah membasahi bumi.
'Awak suka hujan?'
Baru aja suka hujan.
'Maksudnya dulu tak suka?'
Ya..sebab kalau kena hujan, pasti akan demam. Lagipun, kalau hujan sukar nak kemana-mana. Leceh.
'Habis, macam mana boleh jadi suka?'
Sebab, dalam hujan saya boleh menangis tanpa orang lain sedari. Dalam hujan juga, saya boleh melepaskan semua perasaan yang terpendam. Macam hujan, curahkan segalanya. Lepas tu, saya rasa tenang.
'Hmm..walau kena hujan boleh demam?'
Iya, walau kena hujan boleh demam. Demam, ada ubatnya. Tapi, kalau dalaman yang 'demam', sukar nak cari penawarnya.

Moral: Lepaskanlah apa yang terpendam di hati. Curahkan segalanya, biar terhapus segala peritnya, biar terpadam segala sakitnya, biar menjauh segala resahnya. Umpama hujan, setelah berhenti pasti mentari bersinar kembali. Malah, mungkin lebih indah dihiasi pelangi. Begitulah hidup. Ujian yang menimpa tidak kekal selamanya. Ia pasti berakhir!

Cerita 2

"Andai waktu itu menunggu..tak perlulah meredah hujan untuk pulang"

Tapi, waktu tidak menunggu sesiapa. Pantas saja ia berlalu. Walaupun pasti basah, tetap juga harus diredah. Kerana yang ada di depan harus dikejar. Jika berlengah, ia pasti semakin menjauh.

"Andai dia menunggu hujan itu, mungkin dia akan terlepas daripada merasakan keindahan titisan hujan..."

Jangan dikhuatirkan akan basah, kerana tanpa meredahnya mana mungkin kita menikmati keseronokan itu. Tanpa mencuba, kita takkan merasainya. Tanpa mencuba, tiadalah pengalaman tercipta.

Moral: Hargailah setiap peluang yang hadir dalam hidup. Usah dibimbangkan akan risikonya. Mungkin peluang itu hadir bersama kesulitan, tapi pengakhirannya menjanjikan sebuah kebahagiaan. Ingatlah, tidak semua orang berpeluang untuk melakukan perkara yang benar-benar disukai, kerana lebih ramai orang yang tidak mempunyai peluang.


Wednesday, November 16, 2011

Kita Tak Sama

Lama tidak meninggalkan coretan di teratak maya ini. Membiarkan sunyi tanpa sepatah kata. Nak dikatakan sibuk, macam tak sibuk sangat. Ada je masa terluang. Boleh lagi santai-santai baca novel, layan facebook dan relax. Tapi entahlah. Macam malas pula nak menulis akhir-akhir ni. Lebih suka menjenguk blog orang sambil mengutip mutiara-mutiara berharga sebagai bekalan kehidupan.

***

Kita berbeza tapi masih bersama ^^

Mereka minum Radix..saya minum nescafe 3 in 1
Mereka baca buku-buku tarbiyyah..saya layan novel cintan-cintun
Mereka sebati dengan usrah dan ceramah..saya kadang-kadang je dengar tazkirah
Mereka belek halaqah daily..saya belek harian metro (first2 bahagian hiburan..)
Mereka hafal tokoh-tokoh ulama..saya hanya tahu artis popular
Mereka berdegang-degung berbicara hal politik..saya cukup tak suka dengan politik
Dan mereka dengan hal mereka..saya dengan hal saya
Nyata, kami berbeza.

Mereka adalah mereka. Mereka bukan saya.
Saya adalah saya. Saya bukan mereka.
Dan saya tak mahu menjadi mereka!
Jangan mempersoalkan hak saya. Tapi, hormatilah perbezaan kita.
I respect you..so, please respect me too.

Tapi..
Tegurlah saya
Nasihatilah saya
Bimbinglah saya
Jika saya terpesong dari landasan syariat Allah
Jika cara saya bertentangan dengan ajaran Islam
Jika prinsip saya jelas salah dan sesat
Jika saya semakin jauh dariNya. 

Kita berbeza. Kita tak sama.
Tapi, kita berkongsi banyak perkara.
Kita berpijak di atas bumi yang satu.
Kita berdiri dibawah langit yang sama.
Kita hamba pada Dia Yang Esa.
Kita kembali pada Dia Yang Hakiki.

Maka, kita masih boleh bersama.
Biarpun tak sama. Walaupun kita berbeza.
Walau tak serupa, tak sehati sejiwa.
Kerana kita punya matlamat yang sama
Iaitu mencapai redhaNya.

Sunday, October 23, 2011

Dia Yang Telah Pergi

sampai masa..tibalah waktunya

Semalam, kolam air mata hampir melimpah keluar. Segera tangan menyekat daripada membanjiri pipi.

"Raya haji ni, cukup setahun Akim tak ada"

Sebaris ayat itu, cukup membuat hati berlagu pilu. Tanpa dipaksa, air mata terus bergenang. Kotak fikiran segera mengimbau kenangan itu.

Dia yang dipanggil Akim, juga ada yang memanggil dengan nama Nasrul, digelar juga Kecik atau halus kerana fizikalnya yang kecil dan kami biasa memanggilnya adik. Hanya setahun beberapa hari Allah memimjamkan dia kepada kami.

Namun, janji Allah harus kami akur. Setiap yang bernyawa itu pasti merasai kematian. Dan dia pergi menghadap Ilahi setelah seketika bernyawa di dunia persinggahan ini. Kembalinya dia dalam keadaan suci bersih. Tanpa secalit dosa, tanpa noda dunia. Berbahagialah dirimu diSana, wahai adikku.

Dia yang telah tiada, namun kenangan bersamanya kekal dihati. Biarpun cuma seketika hayatnya. Biarpun hanya sementara senyum tangisnya. Tetap takkan lupa di ingatan, takkan pudar di hati.

DaripadaNya kita datang, kepadaNya jua kita kembali. Al-Fatihah..



Saturday, October 15, 2011

Bila Hati Mula Keliru

Tangan kiri kemas memegang novel. Contengan jalanan. Lama dah nak baca novel ni tapi baru hari ni ada orang bagi pinjam. Kira bertuahlah dapat pinjam sebab tuan punya pun belum habis baca lagi :)

Hujung telunjuk kanan pula dibawa berlari membawa kursor. Bahagian arkib laman web LangitIlahi muncul di skrin. Mata difokuskan pada tajuk-tajuk artikel terkini. Part 'Kehidupan' dengan artikel bertajuk 'Maafkan Mereka' tiba-tiba menarik minat. Sekilas isi-isi artikel itu diteroka. Menarik. Then artikel 'Biarkan Semalam Berlalu' dibuka. Heh..baca sebab nak pujuk hati sebenarnya. Tapi, betullah apa yang penulis katakan.

Lepas tu, sambung balik hadap novel. Sekejap baca novel, sekejap review artikel. Jarang dibuat orang benda macam ni. Tiba-tiba hilang fokus nak baca novel. Kalau sebelum ni, selagi tak habis, selagi tu dok hadap baca.

Tapi..wah, siap bertapi-tapi lagi ni. Ayat terakhir yang dibaca kat novel tu benar-benar buat otak ni berfikir. "Kalau kompas tersilap arah, perlu berpatah balik walaupun payah". Ayatnya simple, tak susah pun nak faham makna. Tapi hati membentak kata: "kalau dah yakin arah tujuannya, tapi disepanjang perjalanan di hadapan penuh duri dan halangan, haruskah diteruskan atau berpatah balik ke belakang?"

Tiba-tiba teringat tulisan Ustaz Pahroi dalam majalah Solusi yang dibelek awal pagi tadi. Kata-kata yang lebih kurang sama maknanya. "Kalau sesat dihujung jalan, balik ke pangkal jalan. Tapi kalau jalannya dah betul, namun ada rintangan di hadapan, jangan patah balik tapi teruskan perjalanan!" Itu kata ustaz.

Tapi masalahnya, kalau tak ada persiapan, macam mana nak redah rintangan kat depan tu? Sekali lagi hati membentak.

Teringat pula perbualan di dalam kereta petang tadi. Kata seorang sahabat "kita dah terpilih untuk melalui jalan ni..tapi kita boleh pilih nak teruskan atau tak. Dan rugilah kalau kita tolak sedangkan kita dah ada peluang."

Allah.. Memang jalan ni yang benar. Tapi kat depan sana belum tahu apa yang sedang menanti sedangkan persiapan memang tak ada langsung. Teruskan berjalan atau berhenti kat sini?

Alang-alang dah berjalan, ayuh..kita teruskan! Yakin pada diri..pejamkan mata, panjatkan doa. Allah, please guide me. Amin.


Wednesday, October 12, 2011

Ada Aku Kesah?

Bila kita jadi jahat, ORANG BENCI
Bila jadi baik, ORANG MELUAT

Bila kita ikut suruhan agama, ada orang kata kita BERLAGAK ALIM
Bila kita langgar suruhan agama, ada orang kata "ASTAGHFIRULLAH.. APA LAH NAK JADI.. NAK KIAMAT KOT?"

Bila kita ikut peraturan, ada orang kata kita SKEMA
Bila kita langgar peraturan, ada orang kata kita ni macam TAKDE MASA DEPAN

Bila kita tegur dengan baik, ada orang kata kita ni BAJET BAGUS
Bila kita tegur dengan kasar, ada orang kata kita ni KURANG AJAR

Bila kita pakai sopan-sopan, ada orang kata kita ni 'KAMPONG GILERR'
Bila kita pakai 'dedah sana-sini' ada orang kata kita ni TAKDE HARGA DIRI sebab tayang free

Bila kita bagi nasihat, ada orang kata "JANGAN SIBUK JAGA TEPI KAIN ORANG, BOLEH?!"
Bila kita sindir-menyindir, ada orang kata "TAK RETI BAGI NASIHAT LEKLOK?"

Bila kita tolong buat kerja, ada orang kata "YANG SEBOK SANGAT NAK TOLONG BUAT KEJE ORANG LAIN NI WATPE!?"
Bila kita tak tolong apa-apa, ada orang kata "APSAL PEMALAS SANGAT NI? NAK TOLONG PON SUSAH?"

Dan sebenarnya ramai orang lain yang tak berpuas hati dengan diri kita. Apa yang kita buat semua salah. Semuanya tak betul di mata mereka. Kalau buat salah sudah tentunya salah, tetapi jika buat baik pun masih ada yang mengata. Maka, dalam setiap keputusan yang akan kita ambil, langkah yang akan kita mula, perkara pertama yang perlu kita fikirkan ialah pandangan ALLAH SWT terhadap kita, bukan pandangan manusia yang diciptakan oleh ALLAH SWT. Dan kita takkan boleh tutup mulut orang sampai bila-bila.

Biar la apa orang nak kata, asalkan apa yang kita buat tu Allah suka.
Korang nak kata apa pun, ada aku kesah? ^^



Sunday, October 2, 2011

Seteguh Iman Zinnirah

Wahai Zinnirah
Kau pertaruhkan indera cahaya dunia
Demi cinta yang engkau damba
Engkau korbankan indah yang maya
Demi redha yang Maha Esa

Zinnirah, begitulah namanya. Namanya jarang sekali disebut orang malah mungkin tidak pernah diperkatakan orang langsung. Zinnirah bukan dari golongan wanita yang terkenal di dunia dan tidak mempunyai suatu apa pun. Tetapi, Allah telah memuliakan wanita ini. Allah telah memuliakannya disebabkan pengorbananya yang begitu hebat sekali.

Zinnirah merupakan wanita suci yang mempunyai ketaqwaan yang begitu tinggi dan tauhid yang mendalam di jiwanya. Walaupun diseksa dengan pelbagai seksaan dan penderitaan, namun hatinya tetap teguh pada kalimah Allah. Dia menerima segala-galanya dengan redha. Biarpun seluruh tubuhnya hancur disebabkan seksaan demi seksaan namun dia tetap menahan aqidahnya dan tidak mahu menyerah kalah.

Menurut sesetengah riwayat, Zinnirah adalah di antara orang yang awal memeluk Islam. Dia adalah wanita dari keturunan bangsa Rom dan telah ditawan untuk dijual di Kota Makkah. Umar Al-Khattab yang pada ketika itu belum memeluk Islam telah membelinya dengan harga yang amat murah dan menjadikannya hamba.

Apabila keislaman Zinnirah diketahui oleh Umar, dia terus berjumpa Zinnirah dan menyeksanya dengan seksaan yang amat pedih. Zinnirah telah disepak, diterajang, kedua-dua belah kakinya diikat dan dibiarkan di tengah sinar mentari. Tubuhnya pula ditimpakan batu yang amat berat. Zinnirah menerima seribu satu macam seksaan dan penderitaan.

Namun, apa yang dialami Zinnirah tidak sedikit pun memberi kesan keatas dirinya. Malah, lidahnya tidak henti-henti mengucapkan kalimah "Allah, Allah, Allah, Allahu Akbar, Alllahlah Ynag Maha Besar". Di dalam sanubarinya berdetik, "Ya Allah! Ini adalah untukMu. Aku menerima kepayahan ini untuk kebahagiaanku di akhirat kelak. Berjihad adalah amat sukar dan tidak pernah sunyi dari penderitaan dan kesengsaraan. Namun, aku sedar untuk beroleh syurgaMu, aku harus melalui jalan berliku yang penuh duri, sedangkan beroleh neraka itu dikelilingi oleh seribu nikmat". Itulah ucapan Zinnirah untuk mengubati segala kesakitannya.

Hukuman yang paling dasyat yang dilakukan ke atas Zinnirah ialah ketika matanya ditusuk dengan besi tajam dan menyebabkan dirinya menjadi buta. Biarpun dugaan amat sukar untuk dilalui oleh Zinnirah, namun dia rela diambil nyawanya dari dipaksa menggadaikan agamanya. Kecintaan terhadap Allah telah memberi semangat dan kekuatan kepadanya untuk menanggung segala penderitaan yang dilalui.

Akhirnya, setelah jemu melihat betapa teguhnya iman yang ditunjukkan oleh Zinnirah, Umar berhenti menyeksanya. Dia merasakan tiada gunanya menyeksa Zinnirah kerana semakin berat seksaan, semakin teguh iman Zinnirah kepada Allah.

Dan, Allah telah menunjukkan kebesaranNya. Zinnirah yang buta itu telah pulih penglihatannya. Matanya lebih jernih dari sebelumnya dan dia dapat melihat dengan lebih jelas. Kilauan matanya terpancar terang hingga mengilaukan pandangan orang-orang Quraisy. Allah telah memberi nikmatNya yang tidak terhingga buat Zinnirah di atas ketaqwaannya. Kemudian Saidina Abu Bakar telah membelinya dan memerdekakan Zinnirah. Bebaslah dia dari kekejaman orang-orang kafir durjana.

Bagi Zinnirah, cukuplah kasih sayang dan perlindungan dari Allah swt. Inilah kemerdekaan yang hakiki dan inilah kemerdekaan yang telah dicapai oleh Zinnirahnya. Dia adalah wanita yang kurang dikenali di dunia namun dia dikenali oleh seluruh makhluk Allah yang di langit dan sentiasa didoakan oleh mereka.

Zinnirah
Hadirmu bersama senyuman
Walau diri hamba tawanan
Kau jadi pedoman
Zinnirah kau gadis pilihan
Hiasan dunia penyeri di firdausi

*Catatan
Rujukan: Riwayat Bidadari Syurga
Penulis: Munif Ahmad


Saturday, August 6, 2011

Berakhirnya Ceritera Disini

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah, lafaz pujian hanya untukNya yang masih memberi kita nyawa untuk merasai kemuliaan Ramadhan. Terima kasih Ya Allah kerana Kau izinkan aku untuk merasai lagi Ramadhan. Semoga Ramadhan kali ini adalah yang terbaik buat kita semua.

Berakhir sudah perjalanan hidup selama 12 minggu disini. Alhamdulillah. Perjalanan suka duka, riang ketawa, kerinduan, kesunyian, kebosanan, keseronokan, bersendirian mahupun bersama-sama diadun sebati selama tempoh itu. Akhirnya adunan itu menjadi memori yang indah untuk dikenang. Tamatlah sebuah ceritera kehidupan yang penuh warna-warni.

perjalanan sebuah kehidupan :-)

Haruskah diucap selamat tinggal? Ya, harus kerana inilah saatnya. Selamat tinggal ibd, selamat tinggal utm, selamat tinggal negeri johor. Menanti detik-detik masa untuk meninggalkan kembara hidup disini. InsyaAllah, jika dipanjangkan umur, diberi peluang dan ruang, kaki ini akan berpijak lagi di bumi selatan ini.

Terima kasih buat semua yang meraikan diri ini. Terima kasih atas layanan yang diberi. Pertemuan yang cukup membahagiakan, kenangan yang sangat indah serta pengalaman yang begitu berharga akan terpatri kukuh di ingatan. InsyaAllah, andai berjodoh kita bersua kembali bertemu lagi. Selamat  tinggal, johor ^_^