Pages

Photobucket

Wednesday, October 6, 2010

Indahnya Bahasa

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah, keadaan kembali normal. Hati semakin tenang walaupun tugasan semakin banyak. Kesibukan makin menghimpit (tapi banyak buang masa lagi...Ish, apa nak jadi ni?). Tak tahu nak coret apa sebenarnya ni. Tapi terasa nak menulis juga. Menulis itu satu terapi. Ye ke? Entahlah. Mungkin ya kot.

Orang kata saya ni bersastera. Haha, rasa macam nak gelak je bila mereka kata macam tu. Tak pernah-pernah pun ambil aliran sastera. Belajar sastera dulu pun sebab memang itu silibus dalam BM. Itu pun hanya komponen sastera (komsas). Tapi saya akui, saya suka bahasa yang puitis. Saya suka kata-kata yang memberi motivasi. Tapi bukanlah ayat-ayat yang tinggi gaya bahasanya. Tak terjangkau dek akal nak fikir apa maknanya. Sastera itu terlalu hiperbola, metafora, anafora, dan macam-macam lagi la. So, saya ni bukanlah orang sastera.

*****
WANITA

Wanita
Kaulah ratu kaulah bidadari
Kau idaman setiap lelaki
Peneman sejati dikala sepi
Penyejuk damai hati ini
Penunjuk arah tatkala gelita
Penawar hati disaat duka.

Oh wanita
Di dunia kaulah harta
Umpama permata yang paling berharga
Dipuja dan didamba oleh semua
Keranamu dua Adam bersengketa
Keranamu jua bahagia tercipta.

Wanita yang kucinta
Kecantikanmu bukan untuk dijaja
Maruahmu bukan untuk dinoda
Mahkotamu bukan untuk manusia durjana
Tapi untuk yang berhak sahaja
Yang berjanji melafaz setia
Berikrar kasih di dalam redhaNya.

Wanita
Indahmu bukan kerana rupa
Jua bukan kerana lirikan mata
Tidak jua kerana lenggok manja
Tapi kerana iman di dada
Terbias seri pada wajahnya
Kerana taqwa seorang hamba.

Duhai wanita
Jadilah dirimu mentari hati
Sopan bicaramu menambah seri
Lembut gayamu hiasan peribadi
Indah akhlakmu menawan diri
Teguh taqwamu pada Ilahi

Oh wanita ku sayang
Kita penghuni terbanyak di neraka
Kerana dosa diatas dunia
Kitalah jua bidadari di sana
Memegang title wanita solehah di dunia
Lantas wanita ku tercinta
Mana satu yang kau damba?
Nikmat dunia yang sementara
Atau indahnya syurga di hari muka.

*****
Atas permintaan seorang teman, maka terhasillah puisi ini. First time cipta sendiri tapi masih mengambil inspirasi orang lain. Haha..macam mana tu? Yang penting tak copy paste, betul tak? Asalnya seorang teman meminta tolong untuk buatkan sajak tapi mula-mula memang menolak. Ish, memang silap orang dia minta tolong. Tapi tak nak tolong kesian pula. Hajatnya nak copy paste sajak orang lain tapi tak jumpa yang sesuai. Tu sebab jadilah sajak yang entah apa-apa tu.
 
Saya bukan orang sastera kan? Walaupun sastera agak menarik untuk diterokai, namun saya cuma mengkagumi gaya bahasanya sahaja. Indahnya bait-bait kata, halus dan berseni bicaranya. Itulah seni bahasa. Cuma persoalan saya, bersastera dan berpuitis adakah sama?
 
Lagi satu sifat saya, saya tak suka menulis menggunakan shortform. Merosakkan bahasa. Kalau menaip mesej, terpaksa jugalah menggunakannya. Untuk menulis walau hanya chatting bersama kawan, saya sebolehnya mengelak menggunakan shortform. Mungkin untuk menghargai bahasa itu sendiri. Lebih menjengkelkan saya, apabila melihat bahasa muda-mudi sekarang. Ke jadi kew, aku jadi aq dan sebagainya. Dimana bahasa kita? Hehe..macam perjuangan menegakkan bahasa ibunda pula. Kata pepatah, bahasa jiwa bangsa. Jadi, cintailah bahasa kita!
 
Panjang pula coretan petang ni. Tadi kata tak tahu nak tulis apa..huhu.. Alhamdulillah, idea dari Allah. Salam maaf dari saya andai ada yang tidak bersetuju atau terasa dengan kata-kata saya.

No comments:

Post a Comment