Dah sampai ke bulan ke?
“Allah..ingatkan siapa tadi. Selangkah lagi nak sampai tapi patah balik.” Dia membalas bersahaja. Sekuntum senyuman dilemparkan kepada insan yang menegurnya.
Lain kali kalau nak ke bulan ke, ke angkasa ke, ajaklah saya sekali.
"Nanti awak bosan kalau asyik tengok muka saya je.” Nafas ditarik perlahan sebelum menyambung kembali ucapannya. Awak tak balik lagi?
"Dah nak balik tapi ternampak awak kat sini. Sue...”, ucapannya terhenti di situ.
Diam. Sesaat. Dua saat.
Awak tak nak kongsi? Pertanyaannya mengusir suasana sepi seketika tadi.
Hmmm..kongsi bulan ke? Sengaja dia mengelak dari menjawab soalan itu.
Sue.., saya tahu awak ada masalah. Kalau awak nak bercerita, saya sudi mendengarnya. Kalau awak nak menangis, bahu saya sentiasa ada untuk awak.
Jiha.., macam..macam mana awak tahu? Ucapnya tersekat-sekat.
"Sue, dah berapa lama kita kenal? Dah lama kan?” Soalan dibalas dengan soalan.
Sumayyah mengangguk perlahan.
"Walaupun awak cuba menutup kesedihan dengan senyuman awak tu, saya tahu senyuman tu tak seperti biasa. Tambahan, masa awak solat sunat tadi, awak rukuk lama..awak khusyuk sangat berdoa. Saya pasti tekaan saya betul.”
"Saya tak nak bebankan awak atau sesiapa saja dengan masalah saya. InsyaAllah, saya mampu mengatasinya.”
"Sue..sue..apa guna sahabat kalau bukan untuk berkongsi suka-duka?” Najiha pantas memintas percakapan Sumayyah.
"Jiha, thanks. Saya tahu awak selalu ada untuk saya tapi biarlah keadaan macam ni. Saya lebih selesa begini.” Usai Sumayyah melafazkan kata-kata itu, Najiha terus memeluk sahabatnya . Erat. Pelukan seorang sahabat tanda sokongan. ”Ya Allah, kuatkanlah sahabatku ini”, hatinya berbisik perlahan.
"Jangan berterima kasih kat saya. Saya tak buat apa-apa pun. Berterima kasihlah pada Dia yang mentakdirkan perkenalan kita.” Najiha meleraikan pelukan namun tangannya masih menggenggam erat kedua tangan Sumayyah.
Sumayyah mengangguk lemah. Dalam hatinya tidak putus mengucapkan syukur atas anugerah yang tidak ternilai ini. Perkenalan di masjid ini dua tahun lalu terus berkembang mekar hingga sekarang. Dua tahun lalu iaitu sehari selepas berakhirnya minggu orientasi, dia berteleku di masjid ini selapas isyak. Sengaja dia berada lama di masjid untuk menenangkan perasaan, mengusir perasaan rindu pada keluarga. Salam pertama yang dihulur Najiha saat itu meredakan perasaannya. Akhirnya mereka menjadi sahabat baik sehingga kini. Indahnya persahabatan kerana Allah dan sama-sama berjuang di jalan Allah.
"Cantikkan bulan malam ni?” Najiha memecah kesunyian malam. Angin malam lembut menyapa wajah mereka. Hujung tudung mereka sedikit terbuai disapa bayu.
"A’ah sebab tu ada pepatah yang berbunyi ’seperti pungguk rindukan bulan’. Sebab bulan cantiklah.”
"Mungkin sebab tu juga ada orang tu asyik merenung bulan sampai orang datang kat sebelah pun tak sedar.” Najiha memerli sahabatnya itu. Sumayyah hanya mampu tersenyum.
"Eh, jomlah balik. Jemaah yang lain dah lama balik. Ke awak masih nak berbicara dengan bulan?" Sengaja dia ingin mengusik Sumayyah.
"Ish..sempat lagi nak kenakan saya. Jomlah.” Sumayyah tersenyum. Najiha turut mengukir senyum. Langkah kaki diatur meninggalkan anjung masjid. Bulan diatas sana terus menerangi gelita malam.
*Cerita ini adalah rekaan semata-mata. Segala watak dan latar tidak ada kena mengena dengan yang hidup atau yang telah tiada.
No comments:
Post a Comment