Seusai mengaminkan doa, saya mendongak kepala memandang langit di atas. Biarpun terhalang dek bangunan, saya suka memandang ke luar tingkap itu. Ada ketenangan pada setiap ciptaanNya. Melihat langit biru dan awan berarak tenang memberi saya perasaan yang sukar untuk diluahkan.
Saya memuhasabah diri seketika. Perasaan saya kosong. Kenapa tiada lagi perasaan itu? Perasaan gementar dan berdebar-debar seperti sebelum ini. Mungkin kerana agak lama saya meninggalkannya. Hampir setengah tahun itu satu tempoh yang panjang. Perasaan itu hilang. Kembali memegang amanah selepas satu tempoh membuat saya kekok. Saya berusaha untuk menyesuaikan diri kembali. Namun, saya seolah gagal menemui rentak itu.
Bukan saya sengaja. Setiap perkara ada waktunya. Dan waktu ini mungkin waktu yang sukar buat saya. Banyak perkara yang berlaku. Banyak juga yang perlu difikirkan. Saya melepaskan satu keluhan kecil. Saya inginkan perasaan itu. Kerana gementar itu, saya berusaha melakukan yang terbaik. Kerana debaran itu, saya mempersiapkan diri dengan semaksimumnya. Ya Allah, aku ingin menjadi aku yang dahulu. Kembalikan perasaan itu untuk aku teruskan apa yang tersisa.
Buat renungan bersama.
Saujana - Patah Hati
Kau tidak seperti dulu
Yang ku kenali dulu
Rupa hilang seri
Manakah manisnya
Kau tidak seperti dulu
Yang ku kenali dulu
Madah tak berlagu
Manakah girangnya
Patah hati
Jangan terdampar sepi
Jangan tersungkur mati
Patah hati
Jangan leburkan mimpi
Jangan memakan diri
Bukankah Tuhan ciptakan malam
Untuk beradu menanti siang
Bukankah Tuhan titiskan hujan
Menanti limpah kemarau panjang
Ya Allah, jangan biarkan aku tersungkur. Jangan biarkan aku hanyut. Tetapkan hati ini. Kuatkan diri ini. Peganglah erat hatiku agar aku terus dekat denganMu.
No comments:
Post a Comment