Pages

Photobucket

Wednesday, March 10, 2010

Ilmu Dan Iman

Alangkah bagusnya jika setiap muslim menghimpunkan antara ilmu dan iman. Alangkah agungnya seandainya setiap muslim menerapkan akhlak ahli ilmu dan pakaian ahli iman. Ada ilmu agama dan ada pula ilmu dunia. Ilmu agama memperbaiki diri dan hati, meluruskan tingkah laku dan mendorong kepada kebaikan serta menggalakkan berbuat baik dan berkasih sayang sesama manusia.

Manakala ilmu dunia ialah alat untuk menyingkap hakikat semasa, untuk memindahkan ummah dari dasar keterbelakangan dan kebodohan ke pangkuan kemajuan dan kemakmuran.

Ilmu agama menjaga seorang muslim agar tetap berakhlak mulia, bersopan santun dan mencintai orang lain. Sedangkan ilmu dunia menjadikan kita orang yang memahami realiti alam, menyingkap rahsia-rahsianya dan hidup harmoni bersamanya.

Dengan demikian, seorang muslim yang gemar dan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan ilmu akan berjaya dalam hidupnya, sama ada melalui pelajaran formal atau belajar sendiri.

Kita amat memerlukan iman yang benar, yang terpantul pada tingkah laku. Dan kita sangat memerlukan ilmu yang berguna untuk memajukan diri. Sejumlah hadis Nabi selepas ayat-ayat al-Quran mendorong dan menggalakkan kita supaya menuntut ilmu, dan membezakan manusia berdasarkan perbezaan peringkat ilmu mereka.

Allah swt berfirman:
"Katakanlah: Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" (Az-Zumar: 9)

"Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hambaNya hanyalah ulama. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun." (Surah Fatir: 28)

Sedangkan Rasulullah saw. telah bersabda yang maksudnya:
"Siapa yang menempuh suatu jalan untuk menuntut ilmu, Allah akan mudahkan jalan ke syurga baginya."

Bersungguh-sungguhlah, wahai kaum muslimin untuk menuntut ilmu dan berusaha keraslah untuk mendalamkan iman, kerana kedua-duanya merupakan sayap untuk terbang menuju kemajuan bagi umat Islam pada setiap masa.

No comments:

Post a Comment