Wahai Zinnirah
Kau pertaruhkan indera cahaya dunia
Demi cinta yang engkau damba
Engkau korbankan indah yang maya
Demi redha yang Maha Esa
Zinnirah, begitulah namanya. Namanya jarang sekali disebut orang malah mungkin tidak pernah diperkatakan orang langsung. Zinnirah bukan dari golongan wanita yang terkenal di dunia dan tidak mempunyai suatu apa pun. Tetapi, Allah telah memuliakan wanita ini. Allah telah memuliakannya disebabkan pengorbananya yang begitu hebat sekali.
Zinnirah merupakan wanita suci yang mempunyai ketaqwaan yang begitu tinggi dan tauhid yang mendalam di jiwanya. Walaupun diseksa dengan pelbagai seksaan dan penderitaan, namun hatinya tetap teguh pada kalimah Allah. Dia menerima segala-galanya dengan redha. Biarpun seluruh tubuhnya hancur disebabkan seksaan demi seksaan namun dia tetap menahan aqidahnya dan tidak mahu menyerah kalah.
Menurut sesetengah riwayat, Zinnirah adalah di antara orang yang awal memeluk Islam. Dia adalah wanita dari keturunan bangsa Rom dan telah ditawan untuk dijual di Kota Makkah. Umar Al-Khattab yang pada ketika itu belum memeluk Islam telah membelinya dengan harga yang amat murah dan menjadikannya hamba.
Apabila keislaman Zinnirah diketahui oleh Umar, dia terus berjumpa Zinnirah dan menyeksanya dengan seksaan yang amat pedih. Zinnirah telah disepak, diterajang, kedua-dua belah kakinya diikat dan dibiarkan di tengah sinar mentari. Tubuhnya pula ditimpakan batu yang amat berat. Zinnirah menerima seribu satu macam seksaan dan penderitaan.
Namun, apa yang dialami Zinnirah tidak sedikit pun memberi kesan keatas dirinya. Malah, lidahnya tidak henti-henti mengucapkan kalimah "Allah, Allah, Allah, Allahu Akbar, Alllahlah Ynag Maha Besar". Di dalam sanubarinya berdetik, "Ya Allah! Ini adalah untukMu. Aku menerima kepayahan ini untuk kebahagiaanku di akhirat kelak. Berjihad adalah amat sukar dan tidak pernah sunyi dari penderitaan dan kesengsaraan. Namun, aku sedar untuk beroleh syurgaMu, aku harus melalui jalan berliku yang penuh duri, sedangkan beroleh neraka itu dikelilingi oleh seribu nikmat". Itulah ucapan Zinnirah untuk mengubati segala kesakitannya.
Hukuman yang paling dasyat yang dilakukan ke atas Zinnirah ialah ketika matanya ditusuk dengan besi tajam dan menyebabkan dirinya menjadi buta. Biarpun dugaan amat sukar untuk dilalui oleh Zinnirah, namun dia rela diambil nyawanya dari dipaksa menggadaikan agamanya. Kecintaan terhadap Allah telah memberi semangat dan kekuatan kepadanya untuk menanggung segala penderitaan yang dilalui.
Akhirnya, setelah jemu melihat betapa teguhnya iman yang ditunjukkan oleh Zinnirah, Umar berhenti menyeksanya. Dia merasakan tiada gunanya menyeksa Zinnirah kerana semakin berat seksaan, semakin teguh iman Zinnirah kepada Allah.
Dan, Allah telah menunjukkan kebesaranNya. Zinnirah yang buta itu telah pulih penglihatannya. Matanya lebih jernih dari sebelumnya dan dia dapat melihat dengan lebih jelas. Kilauan matanya terpancar terang hingga mengilaukan pandangan orang-orang Quraisy. Allah telah memberi nikmatNya yang tidak terhingga buat Zinnirah di atas ketaqwaannya. Kemudian Saidina Abu Bakar telah membelinya dan memerdekakan Zinnirah. Bebaslah dia dari kekejaman orang-orang kafir durjana.
Bagi Zinnirah, cukuplah kasih sayang dan perlindungan dari Allah swt. Inilah kemerdekaan yang hakiki dan inilah kemerdekaan yang telah dicapai oleh Zinnirahnya. Dia adalah wanita yang kurang dikenali di dunia namun dia dikenali oleh seluruh makhluk Allah yang di langit dan sentiasa didoakan oleh mereka.
Zinnirah
Hadirmu bersama senyuman
Walau diri hamba tawanan
Kau jadi pedoman
Zinnirah kau gadis pilihan
Hiasan dunia penyeri di firdausi
*Catatan
Rujukan: Riwayat Bidadari Syurga
Penulis: Munif Ahmad
No comments:
Post a Comment