Pages

Photobucket

Monday, February 7, 2011

Belajarlah Untuk Melepaskan


picture by deviantart

Situasi:

Si A seorang yang berkerjaya. Dia berusaha keras untuk menjadi yang terbaik. Prestasinya sangat bagus. Di tempat kerja, dia sentiasa dipuji dan disanjungi. Banyak masa dihabiskan untuk bekerja. Bahkan masanya di rumah banyak dihabiskan untuk menyiapkan kerja. Satu hari si A ini jatuh sakit tetapi dia melawan sakitnya itu untuk menyiapkan satu tugasan penting. Malangnya, dia terlewat untuk membentangkan hasil kerjanya kepada client. Lebih malang lagi, clientnya itu menerima hasil kerja orang bawahannya yang mana satu saat dia pernah menolak idea orang bawahannya itu. Segala penat lelahnya sia-sia dan dia kecewa sendiri. Akhirnya, si A itu sedar.

Pengajaran:

Dalam hidup ini, andai kita menggapai dan menggenggam sesuatu dengan kedua-dua belah tangan, maka kita tidak akan mampu lagi menggapai yang lain. Bagaimana jika kita melepaskan sebelah tangan itu? Sebelah tangan erat menggenggam dan sebelah tangan lagi masih bebas. Maka, kita masih berpeluang untuk menggapai sesuatu yang lain, bukan? Bahkan, tangan yang bebas itu boleh berpaut pada huluran tangan yang lain. Dengan itu, andai kita kecewa, kita punya tempat berpaut. Saat kita terluka, masih ada lagi yang menggagahkan kita.

Kadang-kadang, kita terlalu obses mengejar sesuatu. Mengejar dan terus mengejar tanpa menoleh ke kiri atau kanan. Kadang-kadang, kita terleka bahawa yang dikejar itu bukan milik kita. Adakala, kita terlalu ingin memiliki sesuatu. Ingin ia sentiasa kemas di genggaman kita. Fokusnya cuma satu, matlamatnya hanya itu. Tiada dua, tiada tiga, tiada yang lainya. Sampai satu saatnya, kita buta bahawa yang di genggaman itu membuatkan kita terluka.

Ada saatnya, kita harus belajar untuk memperlahankan langkah kejaran kita. Jika perlu, berhentilah seketika untuk melihat sekeliling. Pandanglah ke kiri dan kanan. Tolehlah ke belakang walau sekilas pandang. Sepertimana si A yang terlalu mementingkan kerjayanya, rupa-rupanya dia terlepas bahawa disepanjang perjalanan ke tempat kerja dihiasi taman yang cantik. Bunga-bunga indah mekar menghiasi alam. Bila fikiran hanya berfokus pada yang satu, segala yang ada disekeliling seolah ghaib. Akhirnya, diri sendiri yang rugi apabila tidak menyedari segala keindahan yang wujud.

Ingatlah, hidup ini bukan tertumpu kepada satu perkara sahaja. Banyak lagi yang harus diberi perhatian. Kata orang, dalam mengejar dunia, jangan dilupa bekalan untuk akhirat. Andai akhirat yang difokus, perlu diingat dunia juga harus diisi. Dengan lain kata, kedua-duanya harus seimbang.

Jika ia milikmu, ia tetap akan menjadi milikmu. Cuma cepat atau lambat saja bezanya. Jika ia bukan milikmu, ia takkan kau miliki walau sudah di genggamanmu.

No comments:

Post a Comment