Ya Allah..
Jadikan aku tabah seperti Ummu Khadijah
Sehingga dirinya digelar afifah solehah
Dialah wanita pertama
Tiada ragu mengucap syahadah
Pengorbanan bersama Rasulullah
Susah senang bersama
Walau hilang harta kerana berdakwah
Walau dipulau 3 tahun 3 bulan
Imannya sedikit pun tidak berubah
Mampukah aku setabah dirinya?
Andai diuji sedikit sudah rebah
Baru dihina sudah mengalah
Ya Allah..tabahkan aku sepertinya..
Ya Allah..
Jadikan aku semulia Fatimah Az-Zahrah
Betapa tinggi kasihnya pada ayahandanya
Tidak pernah putus asa pada perjuangan dakwah baginda
Anak yang semulia peribadi baginda
Tangannya lah yang membersihkan luka
Tangannya jua yang membersih cela
Pada jasad Rasulullah tercinta
Gagahnya dirinya pada dugaan
Mampukah aku sekuat Fatimah?
Saat diri terluka dendam pula menyapa
Saat disakiti maki pula mengganti
Ya Rabbi..teguhkan hatiku sepertinya..
Ya Allah..
Jadikan aku sehebat Masyitah dan Sumayyah
Tukang sisir yang beriman
Dan keluarga Yasir yang bertaqwa
Sungguh kesabaran mereka menggoncang dunia
Iman tetap terpelihara walau nyawa jadi taruhan
Mampukah sabarku seperti mereka?
Tatkala digoda nafsu dunia
Entah mana hilangnya iman di dada
Ya Rahman
Kuatkan imanku seperti Masyitah
Terjun penuh yakin bersama bayi ke kuali mendidih
Kerana yakin Allah pasti disisi
Sabarkan aku seperti Sumayyah
Biar tombak menusuk jasad
Iman sedikit pun tidak rapuh.
Ya Allah..
Jadikan aku semulia Ummu Sulaim
Perkahwinannya dengan Abu Talhah atas mahar iman
Islamlah Abu Talhah sehingga menjadi sahabat Rasulullah
Betapa hebatnya tarbiyyah isteri pada suami
Hinggakan segala panahan kepada Rasulullah pada hari Uhud
Disambut dengan belakang jasad Abu Talhah
Ya Allah
Tarbiyyahkan aku pada cinta sepertinya
Tingginya nilai cinta pada harga iman
Mampukah aku menatap cinta itu?
Sedangkah fisikal menjadi pilihan
Ketulusan iman diketepikan
Ya Allah..ilhamkan aku pada cinta sepertinya..
Ya Allah..
Jadikan aku sehebat Aisya Humaira
Isteri termuda Rasulullah
Biar dilempar fitnah
Dia tetap teguh pada ketetapanNya
Isteri sejati yang memangku nabi
Pada saat terakhir baginda
Hadis dan sunnah Rasulullah dipertahankan
Betapa hatimu seorang mujahidah
Ya Allah
Mampukah aku contahi dirinya?
Pada fitnah yang melanda
Diri mula goyah dan putus asa
Teguhkan imanku sepertinya..Ya Rahim.
Ya Allah..
Teringat diri pada Khansa
Empat orang anaknya mati dijalan Allah
Dia meratap tangis
Anak sulungnya syahid
Anak keduanya turut syahid
Anak ketiga dan keempatnya jua mati syahid
Namun tangisan itu bukan kerana pemergian anak tercinta
Jawabnya kerana tiada lagi anak yang dihantar untuk berjihad
Ya Allah
Berikan aku kekuatan sepertinya
Agar bersedia pada akhirat.
Wahai kaum Adam yang bergelar khalifah
Diriku bukan setabah Ummu Khadijah
Bukan jua semulia Fatimah Az-Zahrah
Apa lagi sesabar Masyitah dan Sumayyah
Mahupun sehebat Ummu Sulaim
Dan tidak seteguh Aisya Humaira
Kerana diriku cuma An-Nisa' akhir zaman
Dimana ibadah sambil lewa
Dimana dunia yang terus dipuja
Dimana nafsu fana menjadi santapan utama
Dimana batas tidak terjaga
Dimana ukhwah hilang serinya.
Wahai kaum Hawa
Kita cuma An-Nisa'
Para pendosa yang terbanyak di neraka
Lantas walau tak setabah para mujahidah
Tabahlah pada ketetapan Allah
Kerana padanya ada syurga!
Walau tak semulia para wanita sirah
Tapi muliakan diri dengan agama yang memelihara
Kerana padanya ada pahala!
Walau tak sesabar para wanita solehah
Namun sabarkan jiwa pada nafsu dunia yang menyeksa
Kerana padanya ada bahagia!
Sesungguhnya Hawa tercipta dari tulang rusuk kaum Adam
Bukan untuk ditindas kerana lemah
Tapi untuk dilindungi kerana indah
Dan indah apabila tertutup terpelihara
Kerana disitulah terjaganya syahadah
Bak mekarnya wanita dalam sirah
Tuntunlah kami kearah syurga
Bicara dari An-Nisa' yang hina
Makbulkan doaku, Ya Allah...
Amin.
2 comments:
ya Allah , jadikanlah kami mujahidah d jalanMu...yang setia mendamba cintaMu dlm senang mahupun perit....amin
Amin..
Post a Comment