Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
"Satu hari datang seorang pemuda kepada Rasulullah saw dan berkata: Wahai Rasulullah, berikan aku nasihat".
"Rasulullah saw menjawab, jangan kamu marah"
“Lelaki itu bertanya lagi, apakah ada lagi nasihat yang lain?”
“Rasulullah menjawab, jangan kamu marah”
“Sekali lagi lelaki itu bertanya”
“Rasulullah SAW tetap menjawab, jangan kamu marah”
(sila rujuk hadis 16. Jangan marah)
Berkali-kali Rasulullah mengulangi nasihat yang sama; jangan kamu marah. Pasti ada sebabnya, bukan? Saya yakin dan percaya, pasti semua orang pernah merasai perasaan marah. Marahkan seseorang atau sesuatu. Jika tidak pernah, saya ucapkan tahniah kepada anda. Saya cukup kagum dengan anda kerana mampu mengawal kemarahan. Sungguh, kemarahan adalah sesuatu yang sukar dikawal.
“Bukanlah dikatakan gagah itu orang yang kuat bergusti. Akan tetapi yang dikatakan gagah itu orang yang dapat memiliki (mengawal) dirinya ketika marah” [Hadith Muttafaq ‘alayh]
Kenapa Rasulullah berpesan sedemikian? Kerana sifat marah itu adalah salah satu sifat mazmumah. Marah juga adalah antara sifat syaitan. Seringkali kita dinasihatkan, apabila berada dalam keadaan marah, maka berwudhu'lah. Kerana marah itu api, maka untuk meredakannya haruslah dengan air. Dan marah juga boleh menjadi satu permulaan kepada segala perbuatan buruk yang lain. Contoh mudah seperti mengumpat, menfitnah, bergaduh bahkan sanggup membunuh. Dasyatnya 'aura' marah apabila ia menguasai diri kita.
Namun, jangan disalah anggap. Tidak semua marah itu membawa keburukan. Kadang-kadang, marah itu bagus tapi pada tempatnya. Marah itu perlu namun harus kena dengan gayanya. Letakkan akal di atas nafsu bukan marah membuta tuli. Marah yang dicela ialah marah yang perlu dijauhi yakni bukan kerana Allah dan agama.
Kategori Marah
Menurut Imam Ghazali, golongan manusia yang marah ni ada beberapa kategori :
1) Yang cepat marah dan lambat reda
2) Yang cepat marah dan cepat reda
3) Yang lambat marah dan lambat reda
4) Yang lambat marah dan cepat reda
Yang paling bagus antara ni ialah yang ke 4 iaitu, lambat marah dan cepat reda. Agaknya kita tergolong dalam golongan yang mana? Tepuk dada, tanya diri, tanyalah iman..
Bila Saya Marah
Kata kawan-kawan, saya ni sukar menunjukkan marah. Betul ke? Entah, itu kata mereka. Sejujurnya, bukan tak marah tapi tidak mengekspresikan marah itu kepada umum. Saya lebih suka memendam perasaan marah itu. Bila marah, saya lebih suka mendiamkan diri. Atau menjauhi sumber yang membuatkan saya marah. Dan, jika terpaksa berhadapan, maka saya hanya mendiamkan diri. Mengawal kemarahan dalam hati.
Bila saya menunjukkan reaksi marah itu, mereka kata saya ni nampak garang. Pulak dah.. Tapi, ni marah-marah manja je :-) Jika betul-betul marah, saya tak suka bercakap. Sepuluh patah ditanya, satu patah saya jawab =p
Jadi, jangan buat saya marah ye ^_^.
No comments:
Post a Comment