Pages

Photobucket

Tuesday, January 12, 2010

Semalam..Hari Ini..Esok

Semalam..
Putaran masa kenangan datang menjelma. Ada yang mahu dikenang dan ada yang mahu dilupa. Ada yang mampu membuatkan ketawa lucu terbit secara tak sengaja.. Ada jua yang mampu membuatkan hati membara dan terbit linangan airmata kecewa.. Namun walau cuba dilenyapkan semuanya.. sudah namanya kenangan dan ingatan pastinya ia kekal ada di kepala.. di fikiran letaknya.. Cuma bila kenangan itu tiba seketika.. Fikiran pula berkata-kata.. Untuk apa dikenang semuanya.. Untuk apa diingat yang duka lara.. Kenanglah yang gembira ceria.. Ingatlah yang indah sentiasa.. Tapi hati pula menjawab perlahan sahaja.. Ya itu benar dan nyata.. tapi yang duka kecewa walau selama mana cuba diabaikan sedetik cuma.. Kesannya hati ini yang merasa.. hati ini juga yang luka amatnya.. walau tidak ada setitik pun terbit merah darahnya.. Kesan luka itu masih kekal ada.. di situ.. berbekas kekal selamanya.. Adakah itu namanya dendam rasa? Adakah itu namanya pentingkan jiwa? Adakah itu kerana aku hanya seorang manusia biasa? Punya akal fikiran dan jiwa raga?

Hari ini..
Ya.. kini rasa-rasa itu aku biarkan berlalu pergi.. Seolah kini ia tidak lagi berbekas di hati ini.. Walaupun kadang ia datang singgah menyepi dan duduk di sebelah mohon menemani.. Aku hanya mampu memandang ia sepi dan pergi.. Cukuplah kata diri ini.. Aku sudah tidak mampu lagi menemani dan menanti.. Aku sudah tidak mampu jua berdiri dan berlari seiring selari.. Laluan kehidupan kini sudah berbeza langkah hari demi hari.. Tahun juga berganti.. dan terus berganti.. Cukuplah semua yang pernah dilalui.. Pasrah.. Redha.. itu sahaja yang ada di dalam rasa ini.. Tidak terdaya rasanya bahu menanggung bebanan itu dan ini.. Aku kini mahu terus berlari.. dan terus berlari.. dan kadangkala juga berhenti seketika menikmati indahnya alam yang ditinggalkan jauh di sana sini.. Merenung bezanya musim yang berganti.. Merakamkan keindahan yang tidak lama berdiri.. Mendengar keluhan yang merengus sedih sepi.. Memegang erat yang sentiasa setia mengabdi.. Memeluk rasa jiwa buat mereka yang sekadar bertanya khabar diri saban hari.. Senyum pada yang mengerti dan memahami..

Esok..
Hanya Dia sahaja yang Maha Mengetahui.. Dan aku biarkan ketentuan hari esok itu di tangan Yang Maha Esa..Namun, takkan sesekali ku menyerah tanpa berusaha terlebih dahulu. Kerana kusedar, walau apa pun ketentuan masa depan.. Setiap kita punya tanggungjawab untuk mencorakkan sendiri masa depan.. Setiap kita juga punya etika untuk berhemah dalam membuat tindakan dan perbuatan.. Setiap kita juga punya amanah untuk dipikul dalam membina kehidupan.. Setiap kita juga punya definisi sendiri dalam memberi makna jatidiri kendiri.. Setiap kita juga punya suara untuk membuat sebarang keputusan. Dan kuharap biarlah esok lebih baik daripada semalam mahupun hari ini...

No comments:

Post a Comment