Pages

Photobucket

Monday, October 25, 2010

Ketika Bayu Menyapa

Awan biru berarak tenang. Sang bayu bertiup nyaman. Laut dan pantai menjadi saksinya. Saksi kita pernah bersama. Bersuka ria. Riang ketawa. Bercanda bersama. Dijalan ini kita bersua. Dan terus bersama. Membawa risalahNya. Dan InsyaAllah sampai menutup mata.

Bayu terus menyapa. Seketika aku terbuai dalam irama sang ombak. Indahnya saat itu. Di depan mata terbentang keagunganNya. Diiringi ketawa teman sekeliling. Dunia ini indah. Bila semuanya kerana Allah.

***

Mana sorakan biru?

Sabar! Tengah berfikir ni.

Yang lain menunggu. Menumpu sepenuh perhatian.

Ok, satu dua tiga…
Biru….tenang…..

Hahaha…ketawa mereka meletus.

Biru, memang si tenang.

***

Di gigi air, masing-masing terbongkok.

Tu, cepat tangkap. Ada satu lagi.
Ok, buat garisan.

Yang lain datang menjenguk. Berminat dan turut serta.

Ish..kesian kat dia. Dah jadi nyawa-nyawa siput.

Haha..pepatah baru ke ni?

***

Dan bayu terus menyapa alam. Kekadang tenang kekadang garang. Moga kami juga seperti bayu. Terus menjalankan amanah. Tetap setia dijalanNya. Walau perlahan atau berlari kencang. Tanpa lelah atau putus asa. Hingga akhir nyawa. Hingga hujung usia.

Satukan hati-hati kami Ya Allah. Ameen.

 memori Kempadang,
Oktober 24, 2010


Thursday, October 21, 2010

Monolog Sang Hati




Allahu Rabbi..
Tiada kata yang terluah
Hanya perasaan diburu gelisah
Allah..
Tanggungjawab kian bertambah
HambaMu ini terlalu lemah
Ya Allah..


Sunday, October 17, 2010

Sujud Cintaku

Kau datang ketika duka
dan bintang bercahya
tunjukku ke jalan syurga

Ku haus di tengah laut
lemas mencari tempat berpaut
kirimkan aku kekuatan
serta pedoman di kesesatan

Kau datang ketika duka
dan bintang bercahya
tunjukku ke jalan syurga

Ku sunyi dalam gembira
perih pedih tanggung derita
sungguh aku bukan wali
yang suci dari hina dan benci

Kau datang ketika duka
dan bintang bercahya
tunjukku ke jalan syurga

Terlalu lama aku mencuba
terlalu banyak cinta yang ku damba
namun tiada yang sempurna, hanyalah fana
Tuhan, ampuni hambaMu yang penuh dosa

Kau datang ketika duka
dan bintang bercahya
tunjukku ke jalan syurga

Ya Tuhanku hanya padamu
tempat mengadu segala rindu
limpahi ku rahmat kasihmu
dalam tahajjud cinta bersujud




Friday, October 15, 2010

Biarlah Bulan Berbicara

Dah sampai ke bulan ke? 

“Allah..ingatkan siapa tadi. Selangkah lagi nak sampai tapi patah balik.” Dia membalas bersahaja. Sekuntum senyuman dilemparkan kepada insan yang menegurnya.

Lain kali kalau nak ke bulan ke, ke angkasa ke, ajaklah saya sekali.

"Nanti awak bosan kalau asyik tengok muka saya je.” Nafas ditarik perlahan sebelum menyambung kembali ucapannya. Awak tak balik lagi?

"Dah nak balik tapi ternampak awak kat sini. Sue...”, ucapannya terhenti di situ.
Diam. Sesaat. Dua saat.

Awak tak nak kongsi? Pertanyaannya mengusir suasana sepi seketika tadi.

Hmmm..kongsi bulan ke? Sengaja dia mengelak dari menjawab soalan itu.

Sue.., saya tahu awak ada masalah. Kalau awak nak bercerita, saya sudi mendengarnya. Kalau awak nak menangis, bahu saya sentiasa ada untuk awak.

Jiha.., macam..macam mana awak tahu? Ucapnya tersekat-sekat.

"Sue, dah berapa lama kita kenal? Dah lama kan?” Soalan dibalas dengan soalan.

Sumayyah mengangguk perlahan.

"Walaupun awak cuba menutup kesedihan dengan senyuman awak tu, saya tahu senyuman tu tak seperti biasa. Tambahan, masa awak solat sunat tadi, awak rukuk lama..awak khusyuk sangat berdoa. Saya pasti tekaan saya betul.”

"Saya tak nak bebankan awak atau sesiapa saja dengan masalah saya. InsyaAllah, saya mampu mengatasinya.”

"Sue..sue..apa guna sahabat kalau bukan untuk berkongsi suka-duka?” Najiha pantas memintas percakapan Sumayyah.

"Jiha, thanks. Saya tahu awak selalu ada untuk saya tapi biarlah keadaan macam ni. Saya lebih selesa begini.” Usai Sumayyah melafazkan kata-kata itu, Najiha terus memeluk sahabatnya . Erat. Pelukan seorang sahabat tanda sokongan. ”Ya Allah, kuatkanlah sahabatku ini”, hatinya berbisik perlahan.

"Jangan berterima kasih kat saya. Saya tak buat apa-apa pun. Berterima kasihlah pada Dia yang mentakdirkan perkenalan kita.” Najiha meleraikan pelukan namun tangannya masih menggenggam erat kedua tangan Sumayyah.

Sumayyah mengangguk lemah. Dalam hatinya tidak putus mengucapkan syukur atas anugerah yang tidak ternilai ini. Perkenalan di masjid ini dua tahun lalu terus berkembang mekar hingga sekarang. Dua tahun lalu iaitu sehari selepas berakhirnya minggu orientasi, dia berteleku di masjid ini selapas isyak. Sengaja dia berada lama di masjid untuk menenangkan perasaan, mengusir perasaan rindu pada keluarga. Salam pertama yang dihulur Najiha saat itu meredakan perasaannya. Akhirnya mereka menjadi sahabat baik sehingga kini. Indahnya persahabatan kerana Allah dan sama-sama berjuang di jalan Allah.

"Cantikkan bulan malam ni?” Najiha memecah kesunyian malam. Angin malam lembut menyapa wajah mereka. Hujung tudung mereka sedikit terbuai disapa bayu.

"A’ah sebab tu ada pepatah yang berbunyi ’seperti pungguk rindukan bulan’. Sebab bulan cantiklah.”

"Mungkin sebab tu juga ada orang tu asyik merenung bulan sampai orang datang kat sebelah pun tak sedar.” Najiha memerli sahabatnya itu. Sumayyah hanya mampu tersenyum.

"Eh, jomlah balik. Jemaah yang lain dah lama balik. Ke awak masih nak berbicara dengan bulan?" Sengaja dia ingin mengusik Sumayyah.

"Ish..sempat lagi nak kenakan saya. Jomlah.” Sumayyah tersenyum. Najiha turut mengukir senyum. Langkah kaki diatur meninggalkan anjung masjid. Bulan diatas sana terus menerangi gelita malam.

*Cerita ini adalah rekaan semata-mata. Segala watak dan latar tidak ada kena mengena dengan yang hidup atau yang telah tiada.

Wednesday, October 6, 2010

Indahnya Bahasa

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah, keadaan kembali normal. Hati semakin tenang walaupun tugasan semakin banyak. Kesibukan makin menghimpit (tapi banyak buang masa lagi...Ish, apa nak jadi ni?). Tak tahu nak coret apa sebenarnya ni. Tapi terasa nak menulis juga. Menulis itu satu terapi. Ye ke? Entahlah. Mungkin ya kot.

Orang kata saya ni bersastera. Haha, rasa macam nak gelak je bila mereka kata macam tu. Tak pernah-pernah pun ambil aliran sastera. Belajar sastera dulu pun sebab memang itu silibus dalam BM. Itu pun hanya komponen sastera (komsas). Tapi saya akui, saya suka bahasa yang puitis. Saya suka kata-kata yang memberi motivasi. Tapi bukanlah ayat-ayat yang tinggi gaya bahasanya. Tak terjangkau dek akal nak fikir apa maknanya. Sastera itu terlalu hiperbola, metafora, anafora, dan macam-macam lagi la. So, saya ni bukanlah orang sastera.

*****
WANITA

Wanita
Kaulah ratu kaulah bidadari
Kau idaman setiap lelaki
Peneman sejati dikala sepi
Penyejuk damai hati ini
Penunjuk arah tatkala gelita
Penawar hati disaat duka.

Oh wanita
Di dunia kaulah harta
Umpama permata yang paling berharga
Dipuja dan didamba oleh semua
Keranamu dua Adam bersengketa
Keranamu jua bahagia tercipta.

Wanita yang kucinta
Kecantikanmu bukan untuk dijaja
Maruahmu bukan untuk dinoda
Mahkotamu bukan untuk manusia durjana
Tapi untuk yang berhak sahaja
Yang berjanji melafaz setia
Berikrar kasih di dalam redhaNya.

Wanita
Indahmu bukan kerana rupa
Jua bukan kerana lirikan mata
Tidak jua kerana lenggok manja
Tapi kerana iman di dada
Terbias seri pada wajahnya
Kerana taqwa seorang hamba.

Duhai wanita
Jadilah dirimu mentari hati
Sopan bicaramu menambah seri
Lembut gayamu hiasan peribadi
Indah akhlakmu menawan diri
Teguh taqwamu pada Ilahi

Oh wanita ku sayang
Kita penghuni terbanyak di neraka
Kerana dosa diatas dunia
Kitalah jua bidadari di sana
Memegang title wanita solehah di dunia
Lantas wanita ku tercinta
Mana satu yang kau damba?
Nikmat dunia yang sementara
Atau indahnya syurga di hari muka.

*****
Atas permintaan seorang teman, maka terhasillah puisi ini. First time cipta sendiri tapi masih mengambil inspirasi orang lain. Haha..macam mana tu? Yang penting tak copy paste, betul tak? Asalnya seorang teman meminta tolong untuk buatkan sajak tapi mula-mula memang menolak. Ish, memang silap orang dia minta tolong. Tapi tak nak tolong kesian pula. Hajatnya nak copy paste sajak orang lain tapi tak jumpa yang sesuai. Tu sebab jadilah sajak yang entah apa-apa tu.
 
Saya bukan orang sastera kan? Walaupun sastera agak menarik untuk diterokai, namun saya cuma mengkagumi gaya bahasanya sahaja. Indahnya bait-bait kata, halus dan berseni bicaranya. Itulah seni bahasa. Cuma persoalan saya, bersastera dan berpuitis adakah sama?
 
Lagi satu sifat saya, saya tak suka menulis menggunakan shortform. Merosakkan bahasa. Kalau menaip mesej, terpaksa jugalah menggunakannya. Untuk menulis walau hanya chatting bersama kawan, saya sebolehnya mengelak menggunakan shortform. Mungkin untuk menghargai bahasa itu sendiri. Lebih menjengkelkan saya, apabila melihat bahasa muda-mudi sekarang. Ke jadi kew, aku jadi aq dan sebagainya. Dimana bahasa kita? Hehe..macam perjuangan menegakkan bahasa ibunda pula. Kata pepatah, bahasa jiwa bangsa. Jadi, cintailah bahasa kita!
 
Panjang pula coretan petang ni. Tadi kata tak tahu nak tulis apa..huhu.. Alhamdulillah, idea dari Allah. Salam maaf dari saya andai ada yang tidak bersetuju atau terasa dengan kata-kata saya.

Monday, October 4, 2010

Secangkir Rasa Di Hati

Alhamdulillah
Alhamdulillah
Alhamdulillah

3 0ktober 2010, genaplah umur saya 21 tahun. 21 tahun bernafas di atas dunia ini. 21 tahun Allah memberi saya kesempatan untuk menikmati hidup. 21 tahun menjadi hamba Ilahi. Alhamdulillah untuk semua itu. Namun, sepanjang 21 tahun, apakah saya benar-benar menjadi hambaNya. Astagfirullahala'zim...

Allah ya Allah...pada 3 oktober itulah juga saya bermain dengan perasaan. Berperang dalam diri. Saya benar-benar merasa kesakitan itu. Antara menerima atau menolak. Saya dalam dilema. Kepada Dia saya memohon petunjuk. Setelah hampir dua hari berfikir, akhirnya saya terpaksa menolak. Berat untuk saya melakukannya. Rasa bersalah menguasai diri. Tapi saya terpaksa melakukannya atas sebab-sebab tertentu. Kepada mereka, saya mohon maaf. Kepada Allah juga saya memohon agar inilah yang terbaik untuk semua.

daripada seorang sahabat..

Dan buat semua teman yang memberi ucapan dan mendoakan saya, jutaan terima kasih saya ucapkan. Kalian membuatkan saya tersenyum. Tersenyum walaupun hati saya tidak tenteram. Kalian hadiah dariNya untuk merawat kesakitan itu. Terima kasih Ya Allah.

21 tahun telah berlalu...masihkah ada hari esok untuk diri ini?

Friday, October 1, 2010

No Title 4

Arus sungai akan terus mengalir
sehingga tiba ke destinasinya di muara..
lantas ia menjadi gelombang laut
yang jauh lebih dasyat..


Begitu juga...

Arus kehidupan insan di dunia
akan terus bersambung
sehingga ia menemui ajal..
lantas kita menuju ke sebuah kehidupan
yang tiada penghujung di akhirat...