Pages

Photobucket

Sunday, February 28, 2010

Berlabuhnya Tirai KEMBARA

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi atas kelancaran program pada kali ini. Akhirnya, KEMBARA '10 selamat melabuh tirainya dengan program terakhir iaitu perarakan dan majlis penutup. Namun banyak lagi kelemahan dan kekurangan yang harus diperbaiki.

Berlabuhnya tirai KEMBARA pada kali ini bukan beerti meneruskan perjuangan baginda terhenti setakat ini bukan juga bermaksud sunnah baginda harus diketepi. Akan tetapi ia perlu tersemat teguh di dalam hati, diaplikasikan sentiasa setiap hari. Juga ingatan terhadap baginda tidak harus luput dalam diri. Biarlah cinta terhadap baginda sentiasa bersemi, rindu sentiasa mekar mewangi, selawat sentiasa membasahi bibir.

Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini. Terima kasih kepada seluruh ajk yang bertungkus-lumus melancarkan program, terima kasih kepada runner yang sedia menghulurkan tangan, terima kasih kepada semua yang sudi meringankan beban, terima kasih kepada yang iklas berkongsi ke'tension'an, terima kasih kepada yang sentiasa memberi sokongan dan terima kasih kepada semua yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung. Hanya Allah yang mampu membalas jasa kalian.

Penat..memang penat. Tension..sudah semestinya. Tak cukup tidur..tak dinafikan. Risau dan mendebarkan..sangat-sangat terasa. Namun, semua rasa-rasa ini memberi seribu satu kenangan. Pahit, manis, indah..semua ada. Dari kepenatan itulah, pelbagai pengalaman baru diperoleh. Dari ketensionan itulah, pelbagai ragam dirakamkan. Dari debaran dan kerisauan itulah, kepuasan dirasai apabila semuanya selesai.

Benarlah kata orang, walau sepahit mana pun ketika dilalui, ianya sangat indah apabila dikenangkan. Kerana yang pahit dan sukar itulah yang sentiasa dalam ingatan. Ingatan dan kenangan yang sangat berharga untuk diimbas di kemudian hari.

Jutaan maaf juga dipohonkan kepada semua andai terkasar bahasa, tertinggi suara dan segala kekurangan di sepanjang menjayakan program ini. Semoga segala usaha, penat lelah, tension dan segala macam perasaan lagi mendapat keberkatan dariNya.


Bisikan hatiku:
ada ke istilah ke'tension'an?..merosakkan bahasa betul..huhu

Saturday, February 27, 2010

Pemergianmu Kami rindui

Tak terlafaz kata mengungkap hiba
Gerhanalah seluruh semesta
Walaupun kau telah tiada
Bersemarak cintamu selamanya


Ya Rasulullah
Kau tinggalkan kami warisan yang abadi
Dan bersaksilah sesungguhnya
Kami merinduimu

Friday, February 26, 2010

Dalam Sedar Dan Mimpi

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Bercakap soal sibuk, pasti ada suara keluhan yang timbul. Penat, letih, tak cukup tidur dan sebagainya. Itulah yang saya rasakan saat ini. Penat, terlalu penat. Namun bukan penat kerana melakukan banyak kerja tapi lebih kepada penat berfikir. Berfikir apa yang harus dilakukan, mampukah saya lakukannya, sempurnakah nanti, berjayakah atau gagalkah? Ahh..semua ini mengganggu fikiran saya.

Hati sedikit gundah, jiwa sentiasa resah. Sungguh, ketenangan seolah diragut pada diri saya. Siang asyik terfikir, malam pula sentiasa termimpi. Sekali diimbas, macam orang mabuk cinta pula. Tapi sayang, ianya tidak seindah mabuk cinta. Siang teringat-ingat, malam termimpi-mimpi..yang ni mabuk apa ye?..

Dalam sedar dan mimpi, ia sentiasa hadir. Kerisauan yang akhirnya memenatkan otak. Kerisauan yang membuatkan fikiran teringat-ingat. Bilakah semua ini akan berakhir? Bilakah? Tak sanggup rasanya untuk terus berada dalam keadaan ini.

Ya Allah,
permudahkanlah segala urusanku
usirkan kerisauan ini jauh dari hidupku
biarkan ia pergi
dan tenanglah duhai diri
kau mampu hadapi

Tuesday, February 23, 2010

KEMBARA 2010













Sambutan Maulidur Rasul 2010 dengan mengangkat tema KEMBALI KE MADRASAH RASULULLAH SAW (KEMBARA '10) insyaAllah akan membuka tirainya pada 25 Febuari ini. Program yang berlansung dari 25-28 ini menjanjikan pelbagai aktiviti menarik untuk disertai. Jadi, apa tunggu lagi.. Ayuh warga UMP, jangan lepaskan peluang ini.
JOM RAMAI-RAMAI MEMERIAHKANNYA!
Sama-samalah kita menghidupkan sunnah baginda, mengimbas kembali zaman kegemilangan Islam dan berusaha melakar kembali sejarah itu.

Tuesday, February 9, 2010

Muhasabah Cinta

Subhanallah, alhamdulillah.. Syukur kita pada Allah SWT kerana masih lagi diberikan kita kesempatan untuk kita teruskan kehidupan seperti biasa sehingga hari ini, selasa 9 Febuari 2010 bersamaan 24 Safar 1431H.

“Cinta”.. Perkataan yang biasa kita dengar dan ungkapkan. Setiap manusia yang berpeluang hidup di muka bumi ini pasti mengalami perasaan cinta. Manusia memang dilahirkan secara fitrahnya mempunyai perasaan cinta.

Seorang ibu sanggup berkorban nyawa untuk anaknya kerana cintanya kepada anak. Seorang bapa sanggup berkorban harta dan tenaga kerana perasaan cintanya kepada keluarga. Seorang penuntut sanggup mengharungi susah dan payah kerana cintanya kepada ilmu. Seorang perwira sanggup berkorban jiwa kerana cintanya kepada tanahair. Seorang hartawan sanggup berkorban masa dan maruah kerana cintanya kepada harta. Dan seorang pencinta kononnya sanggup merentasi lautan berapi lantaran cintanya kepada kekasihnya. Secara dasarnya, kita sanggup berbuat apa sahaja kerana ingin menjaga dan mengejar cinta.

Itulah cinta. Ia fitrah. Dan ia juga boleh menjadi fitnah. Ia boleh menjadikan seseorang mulia atau hina. Ia bisa merubah manusia menjadi lebih baik di sisi Tuhan dan manusia. Dan ia bisa juga menjatuhkan nilai seseorang dari sudut pandangan Tuhan dan manusia.

Sudah lama kita menjalani kehidupan ini. Dan sudah banyak kali perkataan ‘cinta’ kita ungkapkan dan luahkan. Di kesempatan yang terbatas ini, marilah kita bermuhasabah. Muhasabah tentang cinta. Mudah-mudahan muhasabah ini bisa menyedarkan kita semua akan di mana letak duduknya rasa cinta kita? Di tempat yang sepatutnyakah? Atau sudah tersasarkah cinta kita selama ini?

1. Orang yang beriman sangat cinta kepada ALLAH

“Dan di antara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah; mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman sangat cinta kepada Allah...” (Surah ke-2, al-Baqarah: ayat ke-165)

2. Amaran Kepada Yang Meletakkan Cinta Kepada Makhluk Melebihi Cinta Kepada ALLAH

Katakanlah: “jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya.” Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik. (Surah ke-9, at-Taubah: ayat ke-24)

Cukuplah dengan 2 ayat al-Quran di atas bagi kita mula bermuhasabah. Jika selama ini kita telah meletakkan cinta dan perhatian kepada makhluk, nah mulai hari ini marilah kita letakkan semula rasa cinta dan kasih itu di tempat yang sepatutnya. Menyedari bahawa meletakkan cinta kepada ALLAH mengatasi segala-galanya, kita mesti membuktikan rasa cinta itu. Tidak cukup dengan hanya kalimah “aku cintakan ALLAH” atau “ALLAH adalah segala-galanya buatku” atau seumpama dengannya. Ia mesti dibuktikan!

ALLAH swt telah berfirman di dalam al-Quran tentang pembuktian cinta kepada ALLAH adalah dengan mengikuti segala suruhan dan perintah yang disampaikan oleh Rasulullah SAW.

Katakanlah: “Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.” Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Surah ke-3, ali-Imran: ayat ke-31)

Justeru, bagi merealisasikan rasa cinta kepada ALLAH, kita juga mesti meletakkan rasa patuh dan cinta kepada Rasulullah saw. Al-hubb (cinta) dan al-ittiba’ (ikut) Rasulullah saw adalah suatu yang dituntut agama.

Muslimin-muslimat sekalian,

Sudah banyak rasa kecewa menyinggahi jiwa kita. Sudah tidak terkira kita rasa sedih apabila orang yang kita cintai membuat sesuatu yang tidak kita sukai. Sudah acap kali kita didatangi keresahan apabila harta yang kita cintai hilang atau berubah hak milik. Ya, cinta kepada makhluk pasti mengundang kekecewaan.

Sekiranya cinta dan kasih diletakkan kepada ALLAH melebihi rasa cinta kita kepada makhlukNYA, nescaya kita tidak akan didatangi kecewa. Sedih yang melanda akan segera terubat apabila cinta kepada ALLAH menguasai jiwa. Malah, jiwa akan hidup dalam ketenangan dan kemanisan iman akan mula menyerap ke dalam jiwa.

Hadis riwayat Anas radhiAllahu ‘anhu, dia berkata bahawa Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Ada tiga hal yang barang siapa mengamalkannya, maka ia dapat menemukan manisnya iman, yaitu orang yang lebih mencintai Allah dan Rasul-Nya daripada yang lain, mencintai orang lain hanya kerana Allah, tidak suka kembali ke dalam kekufuran (setelah Allah menyelamatkannya) sebagaimana ia tidak suka dilemparkan ke dalam neraka.” (Shahih Muslim No.60)

Semoga tulisan yang ringkas ini bisa mencetus rasa ingin memperbaiki rasa cinta kepadaNYA. Mudah-mudahn kita semua tergolong di dalam kumpulan manusia yang meletakkan dambaan cinta dan redha ALLAH sebagai yang utama, amin…

WAllahu'alam.
Sumber: sahabatmusleem.blogspot.com

bisikan hatiku:
Aku pasti akan menyintai dan dicintai..tapi Tuhan, jika Kau takdirkan aku jatuh cinta, Kau jatuhkanlah cintaku ini kepada dia yang mencintaiku keranaMu..

Sunday, February 7, 2010

Men'Top-Up' Iman

Senario:

"Maaf, baki anda tidak mencukupi untuk membuat panggilan"..

Kita sering saja mendengar perkataan ini daripada operator telefon apabila kita kehabisan kredit. Selalunya, apabila kita ingin membuat panggilan, lebih-lebih lagi kepada yang tersayang, apabila mendengar perkataan ini keluar dari telefon, kita akan berasa kecewa dan terus bergegas mencari bekalan topup. Kita akan memastikan bahawa kredit kita sentiasa penuh. Tetapi, pernah tidak kita aplikasikan ini kepada sesuatu yang lain?

Realiti:

Cuba kita bayangkan. Satu hari, satu suara berkata kepada kita.."Maaf, pahala anda tidak mencukupi untuk membolehkan anda masuk ke syurga". Pernah tak kita berfikir seperti itu? Bayangkan di hari kebangkitan nanti, perkataan seperti itu diucapkan kepada kita. Bagaimana agaknya perasaan kita ketika itu? Apakah kita masih boleh men'top-up' pahala kita di saat pahala amalan kita yang terlampau sedikit ini dihitung. Bayangkan rasa kecewa yang menyelubungi diri kita, melebihi segala kekecewaan kita gagal dalam peperiksaan di dunia, kecewa dalam interview, kecewa dalam kerja, kecewa dalam percintaan dan sebagainya.

Kita selalu menangis apabila kita kehilangan sesuatu yang amat berharga kepada diri kita. Tetapi, pernahkah sekali kita menangis mengenangkan dosa-dosa silam kita? Pernah tak kita mendengar kisah-kisah para alim ulama', tabi' tabii'n dahulu yang selalu menangis mengenangkan dosa mereka yang sedikit. Sedangkan kita? Dosa kita terlalu sedikitkah berbanding mereka yang menyebabkan terlalu sukar untuk kita menitiskan air mata. Tetapi apabila kekasih meninggalkan kita, sampai bengkak mata kita menangis. Betapa lemahnya iman kita...

Konklusi:
Ubatilah hati kita selagi peluang bertaubat terbentang dan janganlah menunggu sehingga terbentangnya maksiat-maksiat kita di hari akhirat, baru kita hendak menyesal kerana sperti pepatah melayu "sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna". Marilah kita sama-sama merenung dan menangisi dosa-dosa yang pernah kita lakukan. Tidak rugi untuk menitiskan air mata kita kerana takutkan Allah kerana titis-titis air mata itu dan amalan-amalan baik kita umpama 'top-up' yang akan mengisi 'kredit' untuk kita pada hari perhitungan nanti, insyaAllah...

" Sesungguhnya orang-orang yang beriman adalah mereka yang apabila desebut nama Allah, gementar hatinya dan apabila dibacakan ayat-ayatNya kepada mereka, bertambah (kuat) imannya dan hanya kepada Tuhan mereka bertawakkal" (Al-Anfal, 2)

Tuesday, February 2, 2010

Hujung Minggu Yang Hilang

Bismillahirahmannirahim
Segala puji hanyalah bagi Allah swt, tuhan sekalian alam. Salam dan selawat ke atas junjungan mulia, Muhammad Bin Abdullah, kekasih hati setiap mukmin.

Alhamdulillah, syukur padaMu Ya Allah atas segala nikmat yang Kau berikan. Nikmat kekuatan yang terutamanya. Tanpa nikmat ini, mungkin saya tidak mampu bertahan saat ini. Sungguh, saya lemah saat ini. Namun, saya masih boleh bertahan dan masih boleh berdiri lagi walaupun saya sendiri tidak pasti selama mana lagi saya mempu lakukannya.

Seminggu yang memenatkan, seminggu yang dijalani dengan rasa tertekan, seminggu yang penuh suka-duka dan seminggu yang bermacam-macam. Dan tidak boleh dinafikan, minggu lepas adalah minggu air mata. Mana tidaknya, hampir setiap hari air mata menitis. Pelbagai perkara yang membuatkan air mata sering berguguran. Yang bahagia, sedih, tertekan, terharu dan macam-macam perasaan lagi yang timbul yang menyebabkan air mata membasahi pipi.

Dan minggu ini pula adalah minggu yang genting. Minggu yang akan menyesakkan kepala dengan himpunan test. Lima test dalam masa satu minggu, bermula dengan semalam dan empat lagi pada hujung minggu ini. Alhamdulillah, berita baik yang diterima tadi sedikit sebanyak melegakan. Satu test akan ditunda ke minggu depan.

Memikirkan test, assignment, usrah dan bermacam-macam program membuatkan hati tidak tenteram. Semuanya serentak dan bertindih pada hujung minggu. Hujung minggu kini bukan lagi masa untuk berehat, untuk bersenang-senang di atas katil atau bergoyang kaki. Teringat kata-kata seorang sahabat " jangan fikir nak himpunkan kerja dan siapkan hujung minggu..kerana hujung minggu bukan milik kita lagi.."

Lumrah manusia, bila terlalu sibuk..mengeluh nakkan rehat, merungut tak cukup masa dan sebagainya tapi bila tak ada kerja..masa dibuang begitu sahaja. Aishh..bilalah nak buang perangai yang satu ni?

Hargailah setiap saat yang kita ada kerana masa tidak akan menunggu kita. Masa yang telah berlalu takkan kembali lagi. Semoga minggu ini dapat dilalui dengan baik..

Bisikan Hatiku:
Ya Allah, berikan aku kekuatan dalam menghadapi hari-hari mendatang..